Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ma.lah] | ماله

Definisi : malah I = malahan 1. bahkan, kian (ber­tambah), makin (bertambah): bukan itu sahaja, ~ aku sanggup berbuat apa sahaja utk menolong engkau; hujan yg kelihatan reda sebentar tadi ~ lebih lebat sekarang; 2. padahal, sedangkan: jangankan hendak pergi, ~ bergerak dr tempat duduknya pun tidak. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ma.lah] | ماله

Definisi : Mn 1. lah: kalau disewa kereta, rugi ~ awak; 2. marilah: ~ kita ke pasar; 3. kalau, asalkan; ~ begitu kalau begitu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ma.lah] | ماله

Definisi : = malahan 1 lebih drpd itu; bahkan juga; semakin bertambah: Selepas minum ubat, ~ menjadi-jadi sakitnya. Usahkan menegur, ~ memandangnya pun aku tidak sudi. 2 sebaliknya pula: Dia kelihatan tidak bersukacita, ~ berdukacita. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
malah
Kata Terbitan : malahan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
apakah perbezaan antara namun begitu dengan namun? bolehkah kedua-duanya di letakkan di hadapan ayat? bolehkah kata malah digunakan di hadapan ayat sebagai penanda wacana? kalau kata malah diletakkan pada tengah-tengah ayat, perluke letak koma sebelum kata malah? cth: Saya tidak pernah menghinanya, malah saya memujinya.

Kata namun dan namun begitu, kedua-duanya boleh digunakan dan maknanya sama sahaja, oleh itu memadai dengan penggunaan namun. Tanda koma perlu diletak sebelum kata malah (apabila berada di pertengahan ayat).

Tatabahasa09.08.2010
Adakah frasa "malah lebih-lebih lagi" merupakan penggunaan perkataan lewah dalam ayat?Frasa malah lebih-lebih lagi menjadi lewan, penggunaan salah satu sama ada malah atau lebih-lebih lagi telah memadai.Tatabahasa31.10.2012
Dia bukan sahaja rajin bahkan juga/malah/malahan pemurah. Ayat di atas betulkah? kata bukan sahaja... patut dipadankan dengan kata malah/malahan/bahkan juga ? yang mana satu padanannya? patutkah tanda koma diletakkan selepas kata rajin? tolong berikan contoh ayat untuk kata hubung berpasangan 'bukan sahaja... tetapi juga'. terima kasih.Lazimnya frasa "bukan sahaja" boleh diikuti oleh perkataan malah, malahan dan bahkan dalam ayat tersebut kerana ketiga-tiga perkataan membawa makna yang sama. Tidak perlu tanda koma selepas perkataan rajin dalam ayat tersebut.
Tatabahasa12.06.2012
kalau kata malah/malahan digunakan pada tengah ayat, perlu tak letak tanda koma? cth ; saya bukan sahaja tak pernah mencacinya malah saya memujinya.Perlu diletakkan koma. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Gaya dewan Edisi Ketiga di bawah tajuk Tanda Baca.Tatabahasa14.03.2010
asslm. saya hanya ingin bertanya tentang ayat saya yang menggunakan perkataan bukan sahaja dan malah. contohnya, "mereka bukan sahaja boleh bergurau malah boleh berpelukan." betulkah ayat ini? atau dimanakah silapnya? minta bantuan. TK.Penggunaan kedua-dua kata/frasa tersebut adalah betul.Tatabahasa08.06.2011
Bolehkah frasa Tambahan lagi/Malah/Malahan digunakan sebagai penanda wacana dalam karangan? atau lebih sesuai digunakan pada bahagian tengah-tengah ayat? tq

Saudara Yew,

Penggunaan frasa tambahan lagi, malah atau malahan merupakan penanda penghubung, iaitu penghubung tambahan yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.  Oleh itu, ia boleh digunakan bergantung pada struktur ayat yang dibina. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525.

Tatabahasa09.02.2010
1.kenapakah penggunaan justeru, manakala,malahan,malah serta namun di awal ayat dianggap salah? 2.Hal ini kerana atau hal ini demikian kerana?mengapa? 3.Penggunaan kata 'walaupun' diikuti 'tetapi' di dalam ayat dibolehkan?TQVM

1. Kata hubung justeru, manakala, malahan, malah berfungsi sebagai kata hubung gabungan yang menyambungkan dua klausa atau lebih. Oleh itu, kata hubung ini perlu diletakkan di tengah, bukan permulaan ayat.

2. Frasa yang betul ialah "hal ini demikian kerana". "Kerana" ialah kata keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Ini bermakna klausa yang hadir sebelum "kerana" ialah klausa utama yang lengkap subjek dan predikatnya seperti "hal ini demikian" sedangkan frasa "hal ini" bukan klausa.

3. 'Walaupun' ialah kata hubung pancangan keterangan, manakala 'tetapi' ialah kata hubung gabungan.  Mengikut tatabahasa, kedua-dua kata hubung ini tidak boleh digunakan dalam satu ayat kerana terdiri daripada klausa tidak bebas.

Tatabahasa26.05.2011
Ingin bertanya tentang jawapan yang sesuai mengikut konteks ayat seperti berikut Pakaian yang ketat dan jarang bukan sahaja______mata malah bertentangan dengan nilai ketimuran. A. menjolok B. mencolok C. mencucuk b) Bagaimanakah hendak membezakan penggunaan perkataan tersebut?Pakaian yang ketat dan jarang bukan sahaja mencolok mata malah bertentangan dengan nilai ketimuran. Untuk melihat perbezaan penggunaan setiap perkataan yang diberi sila rujuk kamus dan memilih makna yang paling sesuai dengan ayat tersebut.Tatabahasa01.09.2008
Selamat sejahtera. :) 1. Adakah separuh sama dengan setengah? 2. Hampir ________ daripada murid-murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis tulisan khat. A. separuh C. sebilangan B. setengah D. sesetengah 3. Adakah bahkan = malah = malahan ? 4. Beliau bukan sahaja pemurah ________ prihatin terhadap rakyat miskin. A.malah B. walaupun C. bahkan Terima kasihBerdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, separuh bermaksud 1. setengah, seperdua: pantun yg saya nyanyikan itu ~ saya dapat drpd orang Kelantan dan ~ drpd Orang Laut; 2. tidak sepenuhnya, tidak seratus peratus (kira-kira 50%): pertandingan ~ profesional; ~ akhir pusingan atau perlawanan paling hampir sebelum ke peringkat akhir (bkn bola sepak dsb); ~ hati tidak sungguh-sungguh; ~ jalan sekerat jalan; ~ mahir belum cukup mahir atau terlatih sepenuhnya utk melakukan sesuatu pekerjaan khusus: pekerja ~ mahir; ~ masak setengah masak, belum masak betul; ~ mati setengah mati; ~ sedar tidak sedar sepenuhnya; ~ umur setengah umur; manakala setengah pula bermaksud 1. separuh, seperdua: luasnya tanah itu ~ ekar; bekerja ~ hari; 2. tidak sempurna, tidak sepenuh-penuhnya, tidak ... betul; 3. bp kurang waras fikirannya (otaknya, akalnya), agak gila: bercakap merepek-repek tidak tentu hala spt percakapan orang ~; 4. setengah-setengah.Lain-lain31.05.2017
adakah struktur ayat betul? Rumah kelab penduduk eksklusif dengan rekaan bergaya dan mewah, bukan sahaja menawarkan suasana selera untuk bersenam malah satu ruang demi menjalinkan hubungan mesra antara jiran.

Ayat tersebut tidak lengkap dengan keterangan atau maksud yang ingin disampaikan. Misalnya keterangan berkenaan 'ruang' yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Contohnya 'ruang kecil atau ruang keluarga'. Cadangan kami untuk ayat tersebut ialah 'Rumah kelab penduduk jenis esklusif bukan sahaja mewah malah mempunyai ruang yang sesuai untuk bersenam dan juga ruang yang sesuai untuk menjalinkan hubungan mesra antara jiran'. Harap maklum.

Tatabahasa22.07.2008
123456789

Kembali ke atas