Dia bukan sahaja rajin bahkan juga/malah/malahan pemurah. Ayat di atas betulkah? kata bukan sahaja... patut dipadankan dengan kata malah/malahan/bahkan juga ? yang mana satu padanannya? patutkah tanda koma diletakkan selepas kata rajin? tolong berikan contoh ayat untuk kata hubung berpasangan 'bukan sahaja... tetapi juga'. terima kasih. | Lazimnya frasa "bukan sahaja" boleh diikuti oleh perkataan malah, malahan dan bahkan dalam ayat tersebut kerana ketiga-tiga perkataan membawa makna yang sama. Tidak perlu tanda koma selepas perkataan rajin dalam ayat tersebut.
| Tatabahasa | 12.06.2012 |
salam. saya inginkan kepastian sama ada 'malahan' boleh digunakan untuk memulakan ayat atau tidak. sekian. | Malahan bermaksud bahkan, padahal atau sedangkan, dan perkataan itu digunakan di tengah-tengah ayat. | Tatabahasa | 05.11.2009 |
Apakah perbezaan "bukan sahaja...malahan" dan "bukan sahaja... tetapi juga" ? Terima kasih.. | Frasa "bukan sahaja" dan "malahan" dalam satu ayat lazimnya digunakan dalam ayat yang menandakan ada pertambahan sifat/keadaan daripada kenyataan yang pertama. Frasa "bukan sahaja" dan "tetapi" dalam satu ayat lazimnya digunakan apabila terdapat perbezaan hal/keadaan daripada kenyataan yang pertama. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
Bolehkah frasa Tambahan lagi/Malah/Malahan digunakan sebagai penanda wacana dalam karangan? atau lebih sesuai digunakan pada bahagian tengah-tengah ayat? tq | Saudara Yew, Penggunaan frasa tambahan lagi, malah atau malahan merupakan penanda penghubung, iaitu penghubung tambahan yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Oleh itu, ia boleh digunakan bergantung pada struktur ayat yang dibina. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525. | Tatabahasa | 09.02.2010 |
1.kenapakah penggunaan justeru, manakala,malahan,malah serta namun di awal ayat dianggap salah? 2.Hal ini kerana atau hal ini demikian kerana?mengapa? 3.Penggunaan kata 'walaupun' diikuti 'tetapi' di dalam ayat dibolehkan?TQVM | 1. Kata hubung justeru, manakala, malahan, malah berfungsi sebagai kata hubung gabungan yang menyambungkan dua klausa atau lebih. Oleh itu, kata hubung ini perlu diletakkan di tengah, bukan permulaan ayat. 2. Frasa yang betul ialah "hal ini demikian kerana". "Kerana" ialah kata keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Ini bermakna klausa yang hadir sebelum "kerana" ialah klausa utama yang lengkap subjek dan predikatnya seperti "hal ini demikian" sedangkan frasa "hal ini" bukan klausa. 3. 'Walaupun' ialah kata hubung pancangan keterangan, manakala 'tetapi' ialah kata hubung gabungan. Mengikut tatabahasa, kedua-dua kata hubung ini tidak boleh digunakan dalam satu ayat kerana terdiri daripada klausa tidak bebas. | Tatabahasa | 26.05.2011 |
Benarkah perkataan "justeru" tidak boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam penulisan karangan? Tolong jelaskan cara penggunaan perkataan tersebut ( dengan beberapa contoh ) supaya kami tidak mengulangi kesilapan penggunaannya pada masa akan datang. | Justeru bermaksud 1. kebetulan,tepat,kena benar. 2. malahan,bahkan.Justeru yang bermaksud malahan digunakan sebagai penanda wacana penghubung yang merupakan penghubung untuk memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Contoh; kuasa melalui proses undang-undang diiktiraf oleh mahkamah. undang-undang bukan sahaja menentukan bahawa kuasa itu sah, justeru(malahan) menentukan bahawa kuasa itu digunakan dengan munasabah,adil,jujur dan saksama. Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut tentang penanda wacana. | Tatabahasa | 01.08.2008 |
Mohon jelaskan frasa "justeru" dan "justeru itu". Saya sering keliru penggunaannya dalam surat rasmi. Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, justeru bermaksud 1. kebetulan, tepat, kena benar; dan 2. malahan, bahkan. Justeru yang bermaksud malahan digunakan sebagai penanda wacana penghubung yang merupakan penghubung untuk memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Lazimnya kita tidak berkata malahan itu, bahkan itu. Oleh itu kata justeru telah memadai dan diikuti dengan tanda koma. Berdasarkan makna tersebut memadai dengan justeru, bukan justeru itu. | Tatabahasa | 15.01.2013 |
(a) Berpandukan Kamus Dewa, "juteru" membawa maksud (i) kebetulan, tepat, kenar benar (ii) malahan, bahkan. Persoalannya, mengapakah kata "justeru" digunakan sebagai penanda wacana untuk mengungkapkan maksud "oleh itu" dalam penulisan? (b) Frasa sendi "di kalangan pelajar" sepatutnya "dalam kalangan pelajar". Persoalannya, frasa sendi yang mana betul sama ada "di khalayak ramai" atau "dalam khalayak ramai"? Sekian, terima kasih. | a)Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kata justeru digunakan untuk membawa maksud i. kebetulan,tepat,kena benar ii. malahan,bahkan. Kata justeru tidak digunakan sebagai penanda wacana untuk membawa maksud oleh itu.b)Frasa yang betul ialah dalam kalangan dan dalam khalayak. | Tatabahasa | 01.07.2008 |
justeru bermaksud 1. kebetulan, tepat, kena benar: kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi? 2. malahan, sebaliknya, bahkan: sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia. Tetapi mengapa ramai yang beranggapan bahawa justeru boleh ditukar ganti dengan oleh itu atau maka? Terima kasih | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat "justeru" bermaksud. 1. kebetulan, tepat, kena benar. 2. Makna kedua ialah malahan, bahkan. Penggunaan "justeru" yang membawa maksud "oleh itu" adalah salah dan tidak boleh digunakan. Anggapan bahawa "justeru" boleh ditukar ganti dengan "oleh itu" mungkin disebabkan individu yang menggunakan perkataan tersebut tidak tahu maksud sebenar perkataan tersebut. | Makna | 07.04.2012 |
kalau kata malah/malahan digunakan pada tengah ayat, perlu tak letak tanda koma? cth ; saya bukan sahaja tak pernah mencacinya malah saya memujinya. | Perlu diletakkan koma. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Gaya dewan Edisi Ketiga di bawah tajuk Tanda Baca. | Tatabahasa | 14.03.2010 |