Semua markah peperiksaan adik tinggi. Adakah penggunaan kata adjektif "tinggi" sesuai dalam ayat ini? jika tidak, apakah yang sepatutnya? | Kata adjektif yang digunakan betul. | Tatabahasa | 20.11.2012 |
Selamat pagi : 1.Bagi murid tahun 1 dan 2 , jika mereka menulis ayat a.Ali sedang bersenam.( 3 markah ) Pada pendapat tuan , berapakah markah dapat diberi untuk ayat itu??? 2.Betulkah semua kata kerja berimbuhan MeN- mesti diikuti dengan objek?????.Jika murid menulis kata kerja tak transitif CTHnya:Kassim membaca di dalam dewan.Ayat ini betul????Dapat markah ??? | 1. Ayat tersebut betul dan lengkap. 3 markah adalah memadai bergantung pada jumlah dan bentuk soalan yang lain. 2.Tidak semua kata kerja diikuti dengan objek, misalnya memberontak atau menangis. Ayat "Kassim membaca di dalam dewan" itu betul. | Tatabahasa | 14.08.2007 |
Tuan, betulkah ayat penyata ini? guru mengira markah khemah kumpulan manakah paling cantik. Betulkah penggunaan kata manakah sebagai kata soal yang digunakan dalam ayat penyata. minta penjelasan | Ayat yang gramatis ialah guru mengira markah khemah kumpulan yang paling cantik. Seperti yang tuan maklum, kata tanya tidak digunakan dalam ayat penyata. | Tatabahasa | 08.11.2012 |
Selamat pagi: 1.Sebagai guru, adakah ayat berikut boleh diberi markah: a.Saya sedang menyiram. b.Bapa saya sedang memasak. 2.Apakah yang dimaksudkan dengan ayat inti? 3.Pada pendapat tuan , untuk murid-murid tahun 1 dan 2 jika mereka menulis ayat seperti (a) dan (b ) , wajarkah markah diberikan kepada mereka? terima kasih atas bantuan daripada tuan. | Ayat inti atau ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Ayat yang lebih gramatis adalah : saya sedang menyiram bunga; Bapa saya sedang memasak nasi. Oleh sebab ayat yang diberikan tidak lengkap maka mereka tidak boleh diberi markah penuh. | Tatabahasa | 07.08.2007 |
Berdasarkan jawapan tuan berkaitan dengan soalan 107. Rasanya saya semakin faham akan penjelasan tuan. Jadi saya ingin memperkukuh pemahaman saya dengan soalan di bawah. Tuan memberikan contoh ayat " Azmi mendapat markah penuh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu". Kalau saya gugurkan 'mata pelajaran' dalam ayat tersebut, adakah maksud ayat tersebut masih sama dengan contoh ayat tuan? Adakah 'Bahasa Melayu' masih diberikan huruf besar selepas mata pelajaran digugurkan? Terima kasih tuan. | Azmi mendapat markah penuh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, dan Azmi mendapat markah penuh dalam Bahasa Melayu. Kedua-duanya betul dan ayat kedua juga merujuk makna yang sama seperti ayat pertama kerana markah penuh dalam ayat tersebut merujuk mata pelajaran Bahasa Melayu. | Tatabahasa | 24.05.2010 |
Sila semak karang berikut, markah penuh ialah 30. Tajuk : Aku sebatang pen Aku merupakan sebatang pen. Nama aku Pilot. Aku dibuat di sebuah kilang yang diletakkan di Shah Alam. Setelah siap diperbuat, aku dan kawan-kawan dihantar ke sebuah kedai buku. Aku dan kawan-kawan dihantar ke sana dengan sebuah lori. Pekerja kedai buku meletakkan aku di sebuah almari yang bercermin. Aku juga berkenal banyak kawan yang lain di situ. Pada suatu hari, seorang wanita membawa anak lelakinya datang ke kedai buku untuk membeli alat menulis. Anak lelaki wanita itu telah tertarik pada aku. Anak lelaki iut membelek-belek aku dan meminta ibunya membeli aku. Wanita itu telah membeli aku dengan harga RM1.50. Aku dibawa balik ke rumah mereka. Rupa-rupanya, tuan aku ialah seorang murid sekolah rendah dan bernama Beng Hung. Tuanku menggunakan aku untuk membuat kerja rumah di sekolah. Tuan aku menjaga aku dengan berhati-hati semasa menggunakan aku. Aku bersyukur kerana mempunyai seorang tuan yang baik. Aku berharap aku boleh bekhimat tuanku selama-lamanya. | Untuk makluman, soalan puan adalah di luar skop perkhidmatan kami. Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) membantu pengguna menyelesaikan pelbagai masalah penggunaan bahasa Melayu seperti ejaan Rumi dan Jawi, perkataan dan istilah serta penyemakan bahasa. KNDBP juga turut melayan pertanyaan yang berkaitan dengan aktiviti sastera, penerbitan dan korporat. Untuk semakan dan pemarkahan karangan sila rujuk guru bahasa Malaysia di sekolah puan. Dan untuk semakan sendiri sila rujuk buku Tatabahasa Dewan kerana banyak ditemukan kesalahan dalam ayat tersebut termasuklah penggunaan kata terbitan yang tepat dan ejaan. | Tatabahasa | 06.04.2013 |
Semua peserta telah diberi taklimat ringkas berkaitan dengan pertandingan dan markah yang diberikan. Adakah penggunaan "berkaitan dengan" itu betul. | Encik Mohd Fadhil terima kasih kerana menghubungi KNBDBP Penggunaan yang lebih gramatis ialah berkenaan pertandingan itu. terima kasih | Tatabahasa | 11.11.2009 |
1. Dua orang guru yang terlibat dalam aktiviti ini. (Adakah ayat ini tergantung?) 2. Murid ini melampau aktif. (perkataan 'melampau' boleh digunakan ataupun perlu ditukar kepada 'terlampau?) 3. Guru telah menyediakan rancangan pelajaran tahunan atau Rancangan Pelajaran Tahunan? 4. Murid A memperoleh 70 markah. Murid B memperoleh 72 markah. Kedua-dua orang murid ini.....(Bolehkah saya gunakan 'ini' atau perlu ditukar kepada '...murid tersebut'?) 5. Guru mengajarkan ilmu Matematik kepada murid. (Betulkah penggunaan kata kerja 'mengajarkan' di dalam ayat ini?) 6. 'dalam kalangan' atau 'di kalangan' yang betul atau lebih sesuai digunakan? | 1. Ayat tak lengkap. 2. Perlu ditukar menjadi - Murid ini terlampau aktif 3. Guru telah menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan. 4. Perlu ditukar menjadi - kedua-dua orang murid tersebut. 5. Penggunaan mengajarkan dalam ayat tersebut adalah betul. 6. Kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 11.09.2008 |
Assalamualaikum, Saya ingin memohon bantuan DBP untuk membina frasa yang sesuai dan tepat bagi tugas PENYELARAS MARK SHEET.Penyelaras "Mark Sheet" berperanan menyalaraskan markah peperiksaan pelajar sama ada ujian bulanan mahupun peperiksaan.Saya berpendapat PENYALARAS MARK SHEET boleh ditukar ke bahasa Melayu terutama maksud "mark sheet" itu sendiri.Sesuai tak kalau disebut Penyelaras Helaian Pemarkahan atau Penyalaras Pemarkahan? Terima kasih. | Frasa yang tepat ialah Penyelaras Pemarkahan. | Istilah | 28.07.2009 |
Bolehkah "para hadirin sekalian" ditulis dalam karangan berformat syarahan? Saya telah menulis "para hadirin sekalian" sebanyak 3 kali dalam peperiksaan SPM 2011 hari ini, jika salah, adakah banyak markah peperiksaan akan merosot? Sila beritahu jika salah, terima kasih. | Pengulangan perkataan/frasa dibolehkan asalkan bersesuaian maknanya dan fungsinya dalam wacana tersebut. Walau bagaimanpun untuk tujuan peperiksaan lebih baik saudara merujuk dan berbincang dengan guru mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. | Tatabahasa | 14.11.2011 |