Selamat pagi Tuan. Pada 09/06/15, kami membuat permohonan khidmat pengesahan bahasa bagi Papan Tanda Pusat Tuisyen kami. Malangnya, sehingga hari ini (150615) kami belum menerima sebarang maklumbalas dari pihak tuan. pada masa-masa lalu, kami mendapat maklumbalas pada hari itu juga dan perkhidmatan dbp amat efisen dan mengkagumkan. Kami rasa keliru kenapa tiada maklumbalas dari pihak tuan lagi. Kami amat berharap pihak tuan dapat bangkitkan perkara atau kesalahan, jika ada, dalam papan tanda kami supaya kami boleh betulkannya. Dilampirkan bersama, gambar papan tanda kami. Sekian terima kasih. | Permohonan tuan telah diproses dan diluluskan. Sila kembali ke domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP" untuk mencetak sijil kelulusan. | Lain-lain | 15.06.2015 |
Selamat Pagi. Soalan saya, sedikit masa lalu kita diperkenalkan dengan penggunaan bahasa baku. pada hari ini saya dapati tiada lagi penggunaan bahasa baku. Namun penggunaan bahasa baku masih diamalkan di Singapura. Apa status bahasa baku di Malaysia. Masihkah lagi diamalkan? Jika tidak, mengapa? Mohon penjelasan pihak tuan. | Baku tidak terbatas pada aspek sebutan semata-mata. Komponen yang terdapat dalam bahasa baku termasuklah ejaan, tatabahasa, peristilahan, perbendaharaan kata, gaya atau laras bahasa dan sebutan. Walau bagaimanapun sebutan baku dihentikan pada tahun 2000 (bermula pada 1998) tanpa ada alasan yang kukuh. Proses pengukuhan sedang diusahakan dan DBP tetap berpegang pada sebutan baku kerana salah satu fungsi DBP ialah membakukan sebutan, ejaan dan istilah. Jika semua bahasa ada sebutan baku, maka bahasa Melayu juga harus ada sebutan baku. | Lain-lain | 03.10.2012 |
Adakah perkataan "dejavu" adalah bahasa Melayu asal? Apakah maksudnya? | Saudara, Makna 'dejavu' ialah perasaan yang pernah dirasai masa lalu berserta rentetan peristiwa yang sama kini dirasai. | Makna | 26.02.2010 |
Saya Nur-ainee Wealoh Belajar Bahasa Melayu Dasar Ingin Bertanya Bahasa Melayu Apakah makna Nastalagia Terima Kasih | Untuk makluman, "Nastalgia" tidak ada dalam data DBP. Akan tetapi, "Nostalgia" bermaksud kerinduan pada sesuatu yang pernah dialami (dinikmati dan sebagainya) pada masa lalu. | Makna | 28.10.2015 |
Tuan; 1- Adakah wujud perbezaan dalam penggunaan nostalgia dan kenangan? Jika ada perbezaan, boleh tuan berikan contoh ayat? 2- Toleransi sama juga maksud dengan tolak-ansur. Benarkah? | 1. Nostalgia bermaksud kerinduan pada sesuatu yang pernah dialami (dinikmati dan sebagainya) pada masa lalu atau kenang-kenangan disertai keinginan terhadap sesuatu yang telah berlalu, manakala kenangan pula ialah apa yang dikenangkan atau yang timbul (terbayang) dalam ingatan tetapi tidak membabitkan perasaan rindu atau keinginan terhadap sesuatu. 2. Toleransi ialah sikap toleran, iaitu sedia menghormati atau menerima pendapat orang lain yang berbeza daripada pendirian sendiri, manakala tolak ansur saling menuruti atau saling memberi. | Makna | 30.09.2011 |
Polis trafik sanggup mengorbankan masa untuk mengawal lalu lintas pada musim perayaan ini.(kata hubung dalam ayat ini ialah "untuk" kenapa tidak menggunakan perkataan "demi"?) | Demi ialah kata sendi nama dan hadir di hadapan kata nama, bukan kata hubung. | Tatabahasa | 26.10.2021 |
Apa itu masa? | Masa ialah 1. waktu, ketika: ~ dan tempat perundangan itu harus dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak; bila-bila ~; 2. jangka waktu yg agak lama (ketika sesuatu kejadian dll yg penting berlaku), zaman; ~ Jepun zaman pendudukan Jepun; 3. jangka waktu yg tertentu (ada permulaan serta batasnya); ~ capaian (Komp) masa yg diperlukan utk mendapatkan data yg diproses; ~ kerja waktu yg ditentukan utk sesuatu pekerjaan; separuh ~ pertama (kedua) waktu permainan bola sepak dll dr permulaan hingga pertengahan (dr pertengahan hingga akhir); ~ depan (hadapan, datang) zaman yg akan datang; ~ karbon zaman lapisan karbon terbentuk (dlm tanah); ~ kecil ketika masih kecil (zaman masih budak-budak); ~ kering musim kering; ~ lampau waktu yg telah lalu (lepas); ~ lapang (lega) waktu senggang; ~ peralihan masa berlaku perubahan atau pergantian (drpd suatu keadaan kpd keadaan lain); ~ Permian (Geo) zaman selepas zaman karbon; ~ rehat waktu utk berehat; dr se~ ke se~ dr satu waktu ke waktu lain; | Makna | 13.10.2010 |
1) Titi itu dibina (pada) lapan belas tahun yang lalu. 2) Titi itu dibina (sejak) lapan belas tahun yang lalu. Penggunaan kata sendi nama yang manakah lebih tepat?Pada atau sejak? Mohon pencerahan pihak tuan. Saya dahului dengan ucapan terima kasih. | Penggunaan kata sendi nama yang betul dalam contoh ayat yang diberikan ialah sejak. Sejak merupakan kata sendi nama yang bertugas membawa maksud penanda waktu atau masa dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Contoh ayat, Titi itu dibina sejak 18 tahun yang lalu. Manakala kata sendi pada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat serta digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh ayat, Bas bertolak pada pukul 7.00 pagi, Tulis nama pada kertas itu dan Wang itu ada pada ibu. | Tatabahasa | 10.03.2021 |
berikan saya maksud masa dan lewat | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan masa bermaksud waktu, ketika. Perkataan lewat bermaksud lalu, berjalan(di samping, di hadapan, dekat). lampau, habis, selesai. Sila rujuk kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1000 dan 934. | Makna | 12.03.2008 |
Cabaran dan tantangan terhadap bahasa Melayu dalam arus teknologi masa kini amat mencabar. Mohon pandangan dan pendapat tuan/puan bagaimanakah atau apakah langkah yang boleh/perlu diambil dalam usaha untuk membuanakan persuratan Melayu melalui teknologi maklumat dan komunikasi moden masa kini dan masa hadapan? Bagaimana aplikasi seperti facebook, twitter, youtube, web TV DBP dpt membantu dlm hal ini? Bagaimana perancangan E-BUana, E-Pendeta dan lain-lain pula? Mohon maklum bls pihak tuan/puan. Terima kasih. | Pada pandangan saya, semua bahasa menghadapi cabaran yang sama ekoran cetusan teknologi maklumat. Dalam konteks bahasa Melayu, pastinya lebih mencabar dan membimbangkan. Suka atau tidak, kita sebagai pendukung bahasa Melayu perlu menghadapi situasi tersebut dengan mengambil peluang menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dengan menggunakan medium baharu, khususnya media sosial. Oleh sebab itu, segala saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya perlu dimanfaatkan bagi memastikan bahasa Melayu terus segar dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan zaman untuk menjadi bahasa moden, bahasa ilmu, dan bahasa budaya tinggi. Peringkat pembinaan ini sudah dimulakan DBP sejak beberapa dekad lalu dan akan berterusan selagi bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi negara. Usaha pembinaan bahasa Melayu oleh DBP sentiasa disemarakkan, terutamanya dalam bidang sistem ejaan, peristilahan, tatabahasa, perkamusan sebutan, dan laras Bahasa. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 13.03.2018 |