Adakah ayat-ayat berikut betul? 1 Beburung itu berkicauan pada waktu pagi. 2 Ayah menerima masak-masak cadangan kakak itu. | Ayat yang betul ialah 1. Burung itu berkicauan pada waktu pagi. 2. Ayah memikirkan masak-masak cadangan kakak itu. Untuk makluman, tidak ada perkataan beburung yang merujuk kepada burung. Memikirkan masak-masak ialah memikirkan dalam-dalam dan tidak ada menerima masak-masak. | Tatabahasa | 28.05.2011 |
Saya ingin tanya mengenai tatabahasa. Masak lemak cili api udang galah atau udang galah masak lemak cili api yang betul? ayam masak kicap atau masak kicap ayam | Frasa yang tepat ialah udang galah masak lemak cili api dan ayam masak kicap. Dalam hukum tatabahasa D-M (diterangkan-menerangkan), bagi binaan inti-penerang, inti (unsur yang diterangkan) harus berada di hadapan penerang (unsur yang menerangkan inti.) Dalam contoh yang diberikan, udang galah ialah unsur yang diterangkan, manakala masak lemak cili api ialah unsur yang menerangkan inti. Begitu juga dengan ayam (unsur yang diterangkan), manakala masak kicap (unsur yang menerangkan inti.) Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 531. | Tatabahasa | 10.03.2025 |
Apakah yg dimaksudkan dengan sukan proaktif | Tidak ada maklumat tentang sukan proaktif dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan proaktif bermaksud sikap positif (individu, institusi dll) merangka atau melakukan sesuatu tindakan (setelah difikir masak-masak) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan yang berkenaan (tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku). | Makna | 04.07.2013 |
1. Adakah penggunaan perkataan "masak" betul bagi ayat ini : Abang Kamal memetik sayur yang masak di kebun datuk. 2. Bagaimanakah hendak membezakan penggunaan perkataan 'masak' dan 'matang'? 3. Adakah penggunaan perkataan 'masak' dan 'matang' hanya dalam benda-benda tertentu ? Contohnya masak hanya digunakan dalam buah-buahan, fikiran dll. Terima kasih. | Selamat pagi; 1. Penggunaan perkataan masak boleh digunakan bagi ayat: Abang Kamal memetik sayur yang masak di kebun datuk. 2. Soalan 2 dan 3: Penggunaan perkataan 'masak' dan 'matang boleh digunakan mengikut konteks penggunaan. Sila rujuk kamus DBP. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 21.09.2016 |
Telur separuh masak atau Telur masak separuh. Mohon penjelasan daripada jawapan yang diberikan. Terima kasih. | Telur separuh masak | Lain-lain | 02.12.2015 |
1) Apakah perbezaan antara separuh dengan setengah? 2) Telur separuh / setengah masak atau telur masak separuh / setengah? Terima kasih! | 1) "Separuh" dan "setengah" mempunyai maksud yang sama. 2) Perkataan yang betul ialah "telur separuh/setengah masak". | Makna | 11.02.2022 |
Salam DBP, Saya ingin tahu sama ada ayat di bawah ini tepat atau tidak. 1) Emak masak lauk-pauk kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami. Menurut penulis buku berkenaan, bahagian yang salah ialah kata 'masak'. Menrutnya kata yang sesuai ialah 'bermasak-masak' seperti ayat yang berikut: Emak bermasak-masak lauk-pauk kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami. Menurut Kamus, 'bermasak-masak' bermaksud 'sedang membuat lauk-pauk (kuih-muih dll) Tolong jelaskan kepada saya. Terima kasih. | Emak bermasak-masak lauk-pauk kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami. Ayat ini kurang tepat atau lewah kerana bermasak-masak bermaksud sedang membuat lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya sepatutnya ayat ini menjadi Emak bermasak-masak kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami.
| Tatabahasa | 19.05.2011 |
penggunaan mana yang betul "telur masak separuh" atau "telur separuh masak" | Telur separuh masak ialah istilah yang digunakan dan terjemahan daripada half-boiled egg. | Lain-lain | 05.08.2016 |
Yang manakah betul: Ibu masak gulai ikan atau Ibu masak ikan gulai? | Ayat yang betul ialah "Ibu masak gulai ikan". | Tatabahasa | 01.11.2014 |
dia amat menggemari ayam masak merah. dia amat gemar ayam masak merah. mana satu ayat di atas betul? | Ayat yang tepat ialah "Dia amat menggemari ayam masak merah". | Tatabahasa | 08.08.2022 |