| makna perkatan "MADANI" saperti ingin dibayangkan dengan perkataan 'Masyarakat madani' perbezaan dengan masyarakat modern ; -harmonis ; -aman ; -maju atau yang agak sama maksud nya. Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat kata madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan(berkenaan dengan masyarakat, generasi dsb.). Moden bermaksud dari masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, yang terbaru,cara(kaedah)baru, mutakhir. Harmonis bermaksud selaras, seimbang, sepadan,sesuai atau bersesuaian(antara satu sama lain). Aman bermaksud bebas daripada keadaan kacau-bilau(seperti peperangan, pergaduhan, permusuhan,dsb.); bebas daripada gangguan atau sesuatu yang tidak menyenangkan ,damai, tenang,tenteram. Maju bermaksud bergerak ke muka, melangkah ke hadapan, mengasak ke hadapan; bertambah baik baik keadaannya(dalam pelajaran, perniagaan dll.);tinggi tamadunnya(peradabannya,taraf hidupnya, dll). Berdasarkan makna di atas , maka dapat dilihat perbezaan antara konsep-konsep tersebut.Masyarakat madani melibatkan kemajuan dari segi pemikiran dan kerohanian, masyarakat moden melibatkan kemajuan dari segi fizikal seperti pembangunan dsb., masyarakat harmonis dan aman melibatkan keadaan masyarakat yang stabil dan bebas daripada kacau-bilau, dan masyarakat maju pula melibatkan keadaan masyarakat yang bertambah baik dari segi ekonomi, pembangunan, industri dsb. | Makna | 30.05.2008 |
| Ayat yang mana tepat ? 1. Masyarakat mula celik akan kepentingannya. ( nya merujuk kepada ayat sebelum ayat ini. 2. Masyarakat mula celik tentang kepentingannya. | lAyat kedua yang gramatis, masyarakat mula menyedari tentang kepentingannya. | Tatabahasa | 13.01.2014 |
| Bagi individu yang mempunyai gelaran Pengiran pada permulaan nama nya, adakah panggilan hormat Encik bersesuaian? | Pengiran membawa maksud gelaran untuk keturunan tertentu dalam susur galur masyarakat Melayu Brunei-Darussalam. Panggilan tuan di hadapan gelaran Pengiran lebih sesuai digunakan dalam konteks rasmi, manakala dalam konteks tidak rasmi, panggilan Pengiran sahaja boleh digunakan. Oleh yang demikian, panggilan Encik tidak sesuai digunakan di hadapan perkataan Pengiran. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1666. | Lain-lain | 13.10.2025 |
| mengenai masalah bahasa rojak yang di gunakan di malaysia, bagaimana kah cara mengatasi nya? adkah ia memudaratkan bahasa melayu? atau menjatuhkan martabat bahasa melayu? | Sila rujuk bahan ini : 1. Bahasa rojak jejaskan bahasa MElayu : Lia, Agatha. Dewan Siswa.1/06/2006. 2. Bahasa rojak mencemarkan bahasa Melayu . Juanaidah Ahmad Ghazali.Pelita Bahasa. 1/06/2004 3. Bahasa rojak nilai rasmi bahasa kebangsaan luntur. Awang Sariyan. Dewan Masyarakat.1/07/2004 4. Bahasa rojak perosak bahasa Melayu. Nik Safiah Karim. Pelita Bahasa.1/06/2004 | Lain-lain | 18.01.2008 |
| ADAKAH MAKSUD DARJAT DAN MARTABAT ADALAH SAMA | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, darjat ditakrifkan sebagai 1. tingkatan atau taraf kedudukan dlm masyarakat (sebagaimana yg biasanya ditentukan atau dipengaruhi oleh asal keturunan, kekayaan dll), tingkatan kedudukan (dlm pengertian yg luas), martabat: ayahnya masih tetap mempertahankan ~ keturunannya; 2. ark taraf (besar kecilnya dll), darjah, tingkatan: denda yg dikenakan adalah mengikut ~ atau takrif kesalahan yg dilakukan; 3. Id darjah: sekolah yg sama ~nya dgn S.M.A; 4. Id unit ukuran (sudut, suhu): sudut 45 ~; 15 ~ C; 5. Id gelaran kpd pelajar yg lulus dlm peperiksaan peringkat universiti; manakala martabat pula bermaksud kedudukan pd mata masyarakat, darjat, pangkat, tingkat. Berdasarkan takrifan tersebut, darjat dan martabat membawa makna yang sama. | Istilah | 25.02.2009 |
| Salam sejahtera. Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia menggunakan tajuk program Pelibatan Ibu Bapa dan Sekolah. Adakah maksud atau penggunaan nya berbeza dengan Penglibatan Ibu Bapa dan Sekolah? | Mengikut Tatabahasa Dewan, berdasarkan faktor fonologi, perubahan peN- ...-an menjadi pe-...an apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf m, n, ng, r, l, y dan w. Oleh sebab itu, bentuk yang betul bagi kata libat ialah 'pelibatan'. Namun disebabkan kekerapan masyarakat menggunakan 'penglibatan' maka Kamus Dewan dan Kamus Pelajar memasukkan entri ‘penglibatan” iaitu melibatkan diri sesuatu hal atau perkara, jadi “penglibatan” juga boleh digunakan untuk maksud yang sama dengan “pelibatan”. | Tatabahasa | 19.02.2014 |
| Dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 796), kata 'ianya' dimasukkan/dirakamkan kerana kata ini hadir dalam penggunaan masyarakat penutur bahasa Melayu, khususnya dalam karya-karya klasik. Sila lihat contoh penggunaan kata 'ianya' yang diberikan dalam kamus ini. Bandingkan juga contoh penggunaan bagi kata 'ia'. Dalam kamus dewan perdana, contoh "ianya" juga merangkumi penggunaan ayat moden yang menyatakan itu ialah kata ganti diri bukan manusia walaupun sudah terang-terangan pakar bahasa menyatakan ianya ialah betuk bahasa yang salah, mohon pencerahan. Menteri itu mencadangkan ianya diseragamkan dengan kaedah penilaian barangan import. | 1. Pemasukan kata ianya berserta takrif dan contoh perkataan adalah bertujuan perakaman penggunaan kata tersebut. 2.Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 104) tidak menyenaraikan ianya sebagai kata ganti nama diri orang ketiga. Namun buku ini menyatakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. 3. Nahu Melayu Mutakhir (DBP, 2009:91) menyatakan bahawa ianya merupakan ganti nama diri bukan manusia (kata nama abstrak) yang digunakan dalam teks-teks lama. Menurut buku ini lagi, kata ianya muncul semula dalam tahun 1960-an. 4. Analisis korpus terkini mendapati bahawa penggunaan kata ianya terdapat dalam teks moden yang ilmiah walaupun pengajaran di sekolah telah menyatakan bentuk ini adalah salah. Hasil analisis mendapati bahawa makna bagi kata ianya adalah seperti yang terkandung dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:796). | Makna | 26.08.2022 |
| 1. Adakah penggunaan perkataan 'antaranya @ antara' boleh hadir di pangkal ayat? Contoh ayat; Antara langkah-langkah membanteras gejala rasuah adalah..., Antaranya ialah... 2. Adakah penggunaan perkataan 'ia' boleh digunakan untuk merujuk kepada sesuatu tajuk? Contoh ayat; Bergotong-royong merupakan salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Secara tidak langsung, ia akan memastikan kerjasama dalam masyarakat terjalin erat. | 1. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. 2. Ia, kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. Penggunaan "ia" menggantikan benda/subjek (bukan binatang) yang dibicarakan adalah betul sama seperti penggunaan it dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada benda/subjek yang dibicarakan. | Tatabahasa | 23.08.2014 |
| Raja Muhamad Taufiq 30 JANUARY 22:52 Assalamu'alaikum. Saya nak bagi cadangan, ada Bahasa Melayu (Bukan Bahasa Malaysia/Kebangsaan) yang segelintir kecil orang di Malaysia yang masih menggunakan bahasa Melayu lama. Antara ayat2 nya. - Apa dihempap? - Batuk tersembo. - Loyong. - Hantu pemburu. Dan banyak lagi. Boleh tak wujudkan Kamus Bahasa Melayu..bukan kamus Bahasa Malaysia. Pure Malay Language. | Terima kasih atas keprihatinan tuan dalam hal ini. Selepas Sistem Ejaan Rumi Baru 1972 tiada lagi perubahan yang berlaku pada sistem ejaan. Apa yang berlaku mungkin kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang belum mengetahui tentang perubahan tersebut dan masih terikut-ikut dengan sistem ejaan lama. DBP menerbitkan Kamus berbahasa Melayu dan dinamakan Kamus Dewan. | Lain-lain | 30.01.2017 |
| Assalamualaikum dan hi, saya ingin mengajukan soalan berkenaan tatabahasa: Boleh saya tahu, adakah perkataan "ianya" dan "memperbaharui" betul daripada segi tatabahasa (sumber: Kamus Dewan Perdana)? Jika ya, apakah kaedah penggunaan kedua-dua perkataan ini? Ini kerana jika mengikut tatabahasa, "ia" dan "nya" tidak digunakan sebagai satu perkataan kerana kedua-duanya ialah kata ganti nama ketiga. Manakala, untuk perkataan "memperbaharui" pula, jika tidak silap, penggunaan imbuhan "memper" yang dipadankan dengan kata adjektif tidak boleh diletakkan imbuhan di belakang seperti "i", "kan". Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan, fungsi kamus ialah merakamkan perkataan yang lazim digunakan oleh masyarakat. Perkataan "ianya" banyak ditemukan penggunaannya dalam wacana/teks bahasa Melayu dan kamus menghuraikan maksudnya. Walau bagaimanapun, untuk penggunaan yang standard khususnya dalam penulisan rasmi, perlulah merujuk rumus tatabahasa. Kata "memperbaharui" pula terhasil daripada apitan memper- -i dan apitan ini tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Kata "memperbaharui" sama maksud dengan "membaharui" dan kata ini wujud hasil daripada pengembangan bahasa. Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga menghuraikan apitan memper-...-kan dengan kata kerja dan kata nama, tiada rumus yang sedemikian untuk apitan memper-...-i. | Tatabahasa | 16.01.2024 |