Assalamualaikum, Ekoran pertanyaan saya berkaitan penggunaan -nya keada bukan manusia, bolehkan -nya digunakan untuk merujuk binatang atau tumbuhan. Contohnya dalam ayat yang berikut: a. Binatang: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkainya dibiarkan di tepi jalan. b. Tumbuhan 1. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harganya meningkat dengan mendadak. Terima kasih | Waalaikummussalam saudara Mohd Januri, Nya ialah kata ganti diri nama orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" merujuk kepada manusia bukannya merujuk kepada haiwan dan tumbuhan. Menerusi contoh ayat yang diberikan memadai sekiranya diganti dengan menggunakan perkataan di bawah: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkai anjing itu dibiarkan di tepi jalan. 2. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harga bawang meningkat dengan mendadak. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 08.09.2012 |
apa maksud waris kadim | Kadim ialah kerabat, saudara yg dekat. Sekadim pula ialah seketurunan yg dekat (spt adik-beradik dll); saudara ~ saudara seayah. Waris pula ialah 1. orang atau pihak yg berhak menerima pusaka orang yg telah meninggal: apabila seseorang mati meninggalkan harta, maka harta itu mestilah diturunkan kpd ~nya; ahli ~ orang yg menjadi waris; 2. penjaga atau wali (kanak-kanak): apakah hukumnya jika penjaga atau ~ kanak-kanak yg berumur tujuh hingga sepuluh tahun mengabaikan ajaran sembahyang kpd kanak-kanak tersebut? | Makna | 30.12.2009 |
Saya ingin mencari makna yang tepat 3 perkataan berikut... 1. Ilmu 2. Iman 3. Amal | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, ilmu bermaksud 1. pengetahuan dlm perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dll; ~ akhirat pengetahuan bkn segala sesuatu sesudah manusia itu mati; ~ kalam salah satu cabang usuluddin; mencari ~ berusaha utk mencari kepandaian dan pengetahuan; menuntut ~ belajar; 2. kajian bkn sesuatu perkara: ~ bumi; ~ masyarakat; ~ terapi cabang perubatan yg berkaitan dgn rawatan penyakit; 3. sampainya diri kpd makna, dan hadirnya makna dlm diri seseorang (dlm konteks agama Islam); ~ padi, makin berisi makin tunduk prb makin banyak ilmu atau makin tinggi pangkat, makin merendahkan diri; menunjukkan ~ kpd orang menetek prb membuat pekerjaan yg sia-sia; Manakala iman bermaksud Ar 1. keyakinan terhadap wujudnya Allah dgn hati, yg dilafazkan dgn kata-kata, dan dilaksanakan dgn amalan: di mukanya, kelihatan sinar takwa dan ~; 2. ketetapan hati, kekuatan batin: walau bagaimana kuat pun godaan syaitan, namun ~nya tidak bergoncang; kurang ~ kurang kuat hatinya, mudah terpengaruh atau tertipu; membawa ~ menyebarkan agama Islam; dan amal bermaksud 1. apa sahaja yg dilakukan, perbuatan, pekerjaan: banyak ~, sedikit bicara; 2. perbuatan baik (yg mendatangkan faedah kpd orang lain): bersedekah ialah satu drpd ~ kebajikan; ~ ibadat perbuatan mengerjakan perkara-perkara yg diwajibkan oleh ajaran agama (spt bersembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat, dll); ~ jariah perbuatan yg diredai Allah utk kepentingan atau faedah masyarakat (spt berderma, menolong orang dlm kesusahan, dll), kebajikan kpd orang ramai; | Makna | 18.10.2010 |
Cikgu Tan amat tertarik dengan/oleh tingkah laku Ali (kekeliruan tertimbul, ada munsyi kata oleh=dengar, ada pula kata tidak boleh, ) walhal, boleh atau tak boleh? | Kata sendi nama oleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud yang berikut: (a) Menunjukkan hubungan pembuat dalam ayat pasif yang menggunakan bentuk-bentuk berikut: di-, ter- dan kena. Contohnya: 1. Kuih itu dibeli olehnya. 2. Buku Pelita Bahasa terkarang oleh Za'ba. 3. Pencuri itu kena tangkap oleh polis. (b) Menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Contohnya: 1. Ia mati oleh senjatanya sendiri. 2. Pemain badminton itu kalah oleh kekurangan latihan. Oleh itu, ayat yang betul ialah Cikgu Tan amat tertarik oleh tingkah laku Ali. Kata sendi nama dengan hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud yang berikut: 1. Membawa maksud bersama-sama atau berserta Contohnya: Ayah pergi ke pekan dengan ibu. 2. Membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan. Contohnya: Kerja ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak. 3. Membawa maksud memakai atau menggunakan. Contohnya: Ani melukis potret itu dengan cat air. 4. Menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama. Contohnya: Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya. | Tatabahasa | 19.01.2012 |
Pemancing itu .........(menyentak/menarik/merentap/merenggut) kailnya apabila umpan kailnya diragut ikan. Pilihan jawapan yang mana satu yang paling tepat kerana apabila saya merujuk kamus maksud kesemua perkataan berkenaan hampir sama terutama menyentak/ merentap dan merenggut. Terima kasih. | Saudara, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat: Menyentak bermaksud menarik kuat-kuat, merengkuh, merenggut: disentak-nya nyiur gading dr mulut ular itu dgn tangan kiri; 2. menarik dgn pantas (keris, pedang, dll), mencabut, menyendal: maka Terung Pipit disentaknyalah keris panjang, dilambungnya naik ke perahu; 3. menarik (mengecut, mengendur) dgn tiba-tiba: mesti-lah ada sebab otot itu ~ semasa tersentuh pd tembaga atau besi Menarik pula membawa maksud 1. menghela supaya bergerak ke arah diri sendiri (maju ke hadapan, keluar, tercabut, dll), menyentak, menyeret: ~ perahu ke darat; Merentap bermaksud menarik dgn paksa atau kekerasan, menyentak, merenggut: dgn marah, ia ~ tangan gadis itu; Manakala, merenggut didefinasikan sebagai 1. menarik (mengambil, mencabut, menyentak, merebut) dgn kekerasan, merampas: perompak itu ~ beg dr tangannya; Ratna dgn tiba-tiba ~ surat khabar yg sedang dibaca Mansor; 2. meraih, merengkuh: ~ dayung; ~ kaki menarik-narik kaki, hampir mati. Seperti yang diterangkan oleh saudara, ketiga-tiga perkataan iaitu menyentak, merentap dan merenggut memiliki maksud yang hampir sama, jadi ketiga-tiga perkataan tersebut boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 05.08.2012 |