Pilih jawapan yang betul. Syarikat telekomunikasi terkenal itu telah melabur berjuta-juta ringgit untuk ---- rangkaian perkhidmatan perhubungan ke seluruh negara. A mengadakan B melaksanakan C meningkatkan D menganjurkan | Jawapan yang betul "meningkatkan". | Tatabahasa | 06.08.2015 |
Ali A) tidak ada lagi modal / B) tidak lagi ada modal yang boleh melabur dgn membeli barangan. Mana satukah adalah sesuai? Berdasrkan pangkalan data bagi maksud "habis modal", terdapat 2 penjelasan: a) tidak ada lagi modal yg tinggal; b) tidak ada bahan atau idea lagi (utk meneruskan perbincangan dll); sekiranya kedua-dua "tidak ada lagi" dan "tidak lagi ada" adalah betul, bolehkah beri penjelasan tentang penggunaannya berserta contoh? | "Lagi" ialah kata penegas atau partikel yang berfungsi untuk memberi penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Kata penegas "lagi" bersifat bebas dari segi kehadirannya dalam ayat. Berdasarkan contoh yang diberikan, penggunaan lagi yang betul adalah seperti yang berikut: 1. tidak ada lagi modal 2. tidak ada modal lagi 3. tidak ada lagi bahan atau idea 4. tidak ada bahan atau idea lagi | Tatabahasa | 28.03.2014 |
Tolong translate 3 perkataan ini 1) Banking Hub 2) Vibrant Business Community 3) Winnig Reason to Invest | Terjemahannya ialah 1. hab/pusat perbankan. 2. Komuniti Niaga Cemerlang. 3. Sebab- sebab menguntungkan untuk melabur. Walau bagaimanapun terjemahan yang berikut boleh berubah mengikut konteks tertentu. | Istilah | 23.03.2007 |
Soalan 1 Merujuk kepada jawapan yang diberikan pada 24/12, bukankah dalam Kamus Dewan Edisi keempat, jarang=jarang-jarang, justeru, mengapakah ayat:Pelajar itu terpilih sebagai pelajar cemerlang kerana dia jarang ponteng sekolah, salah? Soalan 2 Merujuk kepada jawapan yang diberikan pada 24/12, imbuhan ter- dan sekali merupakan dua darjah penghabisan, justeru, mengapakah "terkenal sekali" adalah betul?Berikan penjelasan selanjutnya Soalan 3 Apakah perbezaan antara menasihati dan menasihatkan? Kemukakan beberapa contoh ayat yang menunjukkan penggunaannya. Soalan 4 Yang mana betul? a)Kita sepatutnya mendengar arahan guru kita b)Sepatutnya kita dengar arahan guru kita c)Kita sepatutnya mendengar arahan daripada guru kita d)Sepatutnya kita dengar arahan daripada guru kita Soalan 5 Yang mana betul?Berikan penjelasan a)Ikatan kain itu hampir terlucut daripada pinggangnya b)Ikatan kain itu hampir terlucut dari pinggangnya Soalan 6 Yang mana betul? Berikan penjelasan a)Memahami dengan lebih mendalam lagi tentang kebaikan melabur dalam saham amanah b)Memahami kebaikan melabur dalam saham amanah dengan lebih mendalam lagi Soalan 7 Apakah perbezaan antara pembelajaran dan pemelajaran?Berikan beberapa contoh ayat yang menunjukkan penggunaan kedua-dua istilah tersebut.Selain itu, ayat manakah yang betul? a)Sekolah seharusnya menyediakan suasana pembelajaran yang baik b)Sekolah seharusnya menyediakan suasana pemelajaran yang baik | 1. Pelajar itu terpilih sebagai pelajar cemerlang kerana dia jarang ponteng sekolah. - ayat ini betul 2. Yang betul ialah terkenal - kami mohon maaf atas kekeliruanyangtimbul. 3. Tidak ada perbezaan yang jelas antara menasihati dan menasihatkan, kedua-duanya bermaksud memberi nasihat atau tunjuk ajar. 4. Kita sepatutnya mendengar arahan daripada guru kita. ayat yang betul 5. Ikatan kain itu hampir terlucut daripada pinggangnya. - ayat yang betul 6. kedua-dua ayat ini betul. 7. Pembelajaran bermaksud proses belajar, untuk memperoleh ilmu pengetahuan (sesuatu kepandaian dll), manakala Pemelajaran bermaksud proses belajar untuk mengetahui sesuatu dengan mendalam. Berdasarkan makna tersebut pemelajaran memerlukan usaha yang lebih yang biasanya merujuk mereka yang terlibat dalam kerja penyelidikan. Oleh itu ayat yang tepat ialah - Sekolah seharusnya menyediakan suasana pembelajaran yang baik. | Tatabahasa | 24.12.2008 |
Apakah perbezaan antara 'pelaksanaan' dan 'perlaksanaan' dan bagaimanakah kaedah penggunaannya? Terima kasih. | Pelaksanaan bermaksud perihal, perbuatan atau proses melaksanakan (menjalankan, mengusahakan) rancangan (tugas dan ssebagainya). Perlaksanaan bermaksud hasil daripada melaksanakan (mengerjakan, menyelesaikan) sesuatu rancangan (tugas dan sebagainya). Contoh penggunaan: (1) Pelaksanaan KBSR (3M) tahap pertama sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. (2) Dengan perlaksanaan skim caruman itu, maka dapatlah orang kampung melabur.
| Makna | 26.04.2017 |