| Selamat petang tuan. Ingin saya tanyakan bahawa mengapakah binaan frasa seperti "memasak banyak makanan" tidak betul? Dr. Awang Sariyan menyalahkan binaan frasa perbuatan melampau (perbuatan melampau = kata kerja transitif) demikian kerana berpendirian bahawa kata "banyak" bukan kata bilangan, tetapi kata sifat, dan kata sifat tidak boleh diletakkan di antara perbuatan melampau dengan penyambut (objek) kerana menjadi sisipan yang menghalang kelangsungan hubungan perbuatan melampau dengan penyambut. Perbuatan melampau mesti dikenakan langsung terhadap penyambut. Saya pula tidak berijtihad atau berpendapat sedemikian. Saya merasakan bahawa "banyak" kata bilangan tak tentu seperti yang tercatat dalam Tatabahasa Dewan (keterangan ini ada dalam lampiran WordPad). Frasa perbuatan melampau seperti "memasak banyak makanan" terdiri daripada perbuatan melampau "memasak" yang disambut oleh penyambut frasa nama "banyak makanan", dan frasa nama itu terbahagi kepada kata bilangan tak tentu "banyak" sebagai penentu hadapan yang diikut kata nama inti "makanan". Diperhatikan bahawa "banyak" bukan sisipan, tetapi termasuk dalam frasa nama penyambut sebagai salah satu bahagian. Untuk pemahaman lanjut, sila tuan rujuk WordPad yang telah saya lampirkan. WordPad ini berisi soal saya tentang hal ini yang saya kirim kepada Dr. Awang Sariyan melalui e-mel beliau. Pinta tuan menolong saya menyelesaikan soal ini juga. Terima kasih atas iltizam dan kesudian tuan! | Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu a) kata bilangan menunujukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Pihak kami menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama.
| Lain-lain | 07.11.2016 |
| Ini rupa kedua surat soal saya yang berjudul Mendalami Binaan Pencukup. Saya menyunting surat asal saya kerana ada beberapa istilah yang saya sebut pada tempat yang tiada sepatutnya, seperti mengistilahkan "perbuatan melampau" pada kata "menjadi" walhal kata "menjadi" perbuatan tiada melampau dan mengistilahkan "perbuatan tiada melampau" pada kata "memandang" sedang “memandang" patut diberi istilah "perbuatan melampau". Beberapa ayat yang telah saya diperbaik daripada segi binaan supaya nampak lebih lancar dan lebih senang difahami. Haraf saya dimaafi kerana menghantar surat soal ini dua kali yang menyusahkan tuan membaca surat yang terlalu panjang ini dua kali juga. Tuan DBP, adakah rangkai kata seperti "bertujuan memuji alam" betul? Adakah rangkai kata (frasa) "memuji alam" bekerja pencukup atau pelengkap (istilah dalam Tatabahasa Dewan) kepada perbuatan tiada melampau (kata kerja tak transitif) "bertujuan"? Dapatkah rangkai kata perbuatan (frasa kerja) seperti "memuji alam" menjadi pelengkap? Lampiran saya berkenaan dengan soal yang saya anjurkan kepada Dr. Awang Sariyan. Saya juga mengharapkan kebijaksanaan tuan DBP dalam soal ini, oleh itu saya menyertakan surat tanyaan saya kepada Dr. Awang Sariyan untuk tatapan tuan DBP juga. Harap tuan dapat mengorak simpul kesulitan saya. Terima kasih. | Mengikut rumus Tatabahasa Dewan, frasa "bertujuan memuji alam" kurang tepat. Frasa yang betul dari segi rumus tatabahasa dan aspek maknanya ialah "bertujuan untuk memuji keindahan alam". | Tatabahasa | 01.12.2016 |
| Platform apakah yang paling sesuai untuk saya adukan mengenai lagu yang tular namun mengandungi lirik dengan bahasa rojak yang melampau dan ada yang tidak memberi erti apa pun. Saya merujuk kepada lagi Lotus dari kumpulan Forceparkbois. Sila rujuk di laman sesawang youtube. | Untuk membuat aduan berkaitan penggunaan bahasa rojak dalam lirik lagu tersebut, sila klik pautan "Pantau Tegur Bahasa" di bawah Menu Utama di sebelah kiri. | Lain-lain | 29.12.2021 |
| Salam hormat kepada tuan. Masalah saya yang terkini bermauduk "Kata Darjah Sifat + Perbuatan Tidak Melampau". Karangan soal saya lampirkan, mohon tuan baca dan huraikan kesulitan saya. | Sila kemukakan soalan tuan dengan jelas. Berdasarkan sedikit maklumat ini, tidak ada subtajuk Kata Darjah Sifat + Perbuatan Tidak Melampau dalam buku Tatabahasa Dewan. Nyatakan sumber rujukan tuan, tetapi perlu diingat kami tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan oleh pihak lain, khususnya yang tidak selari dengan Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 14.08.2016 |
| tolong betulkan ayat ini jika ada kesalahan. Tragedi Kondominium Highland Tower runtuh ini berlaku dalam tahun 1993 di Taman Hillview, Ulu Klang. Ia merupakan satu tragedi bangunan runtuh paling buruk di Malaysia dalam bulan November dan Disember membawa hujan yang lebat melampau yang boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat | Tragedi keruntuhan Kondominium Highland Tower di Taman Hillview, Ulu Kelang berlaku pada tahun 1993. Ia merupakan tragedi bangunan runtuh paling buruk di Malaysia sehingga kini. Lazimnya hujan yang lebat melampau yang boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat berlaku pada bulan November dan Disember. | Tatabahasa | 09.04.2013 |
| Tuan DBP, "lupa akan bahawa..." atau "lupa bahawa" betul? Minta baca surat WordPad saya yang bertajuk "Lupa bahawa..." atau "Lupa akan bahawa...". Saya pada asalnya berpendapat bahawa "lupa akan bahawa" betul kerana selepas perbuatan tiada melampau "lupa", mesti ada sendi nama seperti "akan" barulah dapat disambungkan klausa komplemen "bahawa...". Namun begitu, kebelakangan ini saya sedar bahawa rangkai kata "lupa akan bahawa..." salah kerana ada dua penghubung "akan" dan "bahawa". Penghubung yang tersesuai "bahawa" kerana menyambungkan perbuatan tiada melampau "lupa" pada ayat seperti "hari ini hari jadi anaknya". (Contoh: ...lupa bahawa hari ini hari jadi anaknya). Untuk pendapat lanjut saya, pohon tuan menyelidik surat tanyaan saya dalam WordPad. | Merujuk buku Tatabahasa Dewan, kata kerja tak transitif diikuti oleh kata sendi nama. Oleh itu, frasa yang betul ialah "lupa akan bahawa". Sebarang dapatan baharu boleh dikemukakan untuk perbincangan kepada pihak yang berwenang seperti pengkaji dan pakar bahasa. Dalam ruangan yang terhad ini, tidak dapat melihat dan menilai sesuatu kajian kerana memerlukan pembacaan yang banyak dan penelitian yang rinci. Antara medan yang sesuai ialah Jurnal Bahasa terbitan DBP yang mengumpulkan banyak kajian ilmiah oleh pakar, pengkaji dan penggiat bahasa. Kami menghormati sebarang pandangan, namun teras perkhidmatan kami ialah rumus yang telah disusun dalam Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 04.12.2016 |
| Tuan, apakah beda antara "puas" dengan "berpuas"? Pada saya, beda dua kata itu hanya golongan kata, iaitu "puas" sifat dan "berpuas" perbuatan tiada melampau kerana telah ditambahi awalan ber- pembentuk perbuatan tiada melampau. Dalam Tatabahasa Dewan pada halaman ke-169, apabila sifat rasa seperti gembira, sedih bergabung dengan awalan ber-, ber- bermaksud berada dalam keadaan sifat rasa itu. Maka bermaksudlah "berpuas" berada dalam keadaan puas. Saya tidak melihat beda makna antara "puas" dengan "berpuas", hanya cara penggunaan kedua-dua kata dalam ayat mungkin sedikit lain. "Berpuas" bermaksud berasa puas, maka berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan = berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan. Kalau digunakan kata "berpuas", digunakan kata "berpuas" sahaja, iaitu "berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan" tetapi jika yang digunakan "puas", mungkin perlu disertakan kata "berasa", iaitu "berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana berasa puas = berpuas. Namun begitu, tanpa kata "berasa", saya tidak melihat kesalahan frasa "puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana jika cerita frasa sifat "puas" dapat diluaskan dengan frasa sendi nama keterangan "kepada jayanya dalam peperiksaan". Saya telah mengetahui bahawa kedua-dua kata ini bermakna serupa dan golongan kedua-dua kata ini berbeda, yang hendak saya soalkan: adakah "puas" dan "berpuas" ini senjang kaedah penggunaannya dalam ayat? Bolehkah tuan menunjukkan kesenjangan tersebut? | Awalan beR- membentuk kata kerja yang bersifat tak transitif sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap. Pada dasarnya perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar seperti bertukar dan bersenam. Namun begitu terdapat juga pengertian khusus, bergantung pada golongan perkataan tertentu seperti bercukur, bertumbuk dan bertulis. Kata kerja bermain membawa maksud yang terkandung dalam kata dasar main. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang menandai masa perbuatan didahului dengan perkataan telah, sedang dan akan. Walau bagaimanapun dalam konteks ayat yang dapat menjelaskan masa berlakunya sesuatu perbuatan, maka perkataan telah, sedang dan akan boleh digugurkan. Contohnya ayat Ahmad sedang bermain bola sepak di Stadium Bukit Jalil menunjukkan perbuatan itu sedang dilakukan dan ayat Ahmad bermain bola sepak di stadium semalam, tidak perlu lagi didahului kata telah.
| Tatabahasa | 22.12.2016 |
| apa perbezaan personafikasi dan hiperbola ? | Personafikasi bermaksud memberikan sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang atau benda-benda yang abstrak. Hiperbola bermaksud gaya bahasa yang berlebih-lebihan dengan menggunakan metafora atau kiasan yang melampau. Hiperbola digunakan untuk melahirkan kesan kelucuan atau menegaskan sesuatu fakta dalam sesuatu situasi. Biasanya hiperbola terdapat dalam puisi dan drama cinta. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk https://prpm.dbp.gov.my/ | Lain-lain | 19.08.2022 |
| Salam sejahtera, izinkan saya meluahkan lagi pendapat, memang peminjaman berlaku dalam semua bahasa, berlaku secara meluas dan menjadi kelaziman tetapi kita sebagai pencinta bahasa Melayu perlulah mempertahankan bahasa kita dengan mengurangkan peminjaman bahasa yang melampau sehingga istilah yang sudah sedia ada pun juga dipinjam. Seperti istilah Inggerisnys iaitu "infrastuktur" menggantikan istilah Melayunya iaitu "prasarana", istilah "program" dan "agenda" dalam bahasa Inggeris menggantikan "acara" dalam istilah Melayunya, istilah "koleksi" menggantikan "kumpulan" dan "himpunan" dan lain-lain lagi. Banyak lagi istilah yang sudah ada juga dipinjam dalam bahasa Inggeris. Maafkan jikalau saya katakan itu adalah dinamakan pembaziran bahasa dan salah satu punca terjadinya "bahasa rojak". Bahasa Melayu kaya dengan perkataan dan kosa kata. Jadi, untuk apa dipinjam lagi? jikalau tiada istilah yang sesuai maka ciptalah istilah baru seperti apa yang dilakukan oleh Pendeta Za'ba seorang pejuang bahasa Melayu. Kita perlu menjaga dan mempertahankan kesucian, keaslian dan kejatian bahasa Melayu. Selain itu, kita perlu mencontohi sikap pejuang bahasa Thai, Cina dan Korea yang mempertahankan bahasa mereka daripada serangan istilah asing. Jikalau dibuat kajian dan perbandingan bahasa Cina, Korea dan Thai memang saya cukup kagum kerana istilah-istilah dan kosa kata bahasa mereka lebih banyak daripada istilah dan kosa kata pinjaman. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan bersama-samalah kita berusaha mempopularkan kata asli Melayu yang telah mengungkapkan makna yang terkandung dalam perkataan tersebut. Kami sendiri sentiasa berusaha menggunakan perkataan kegiatan bagi mengungkapkan maksud aktiviti dan iltizam bagi mengungkapkan maksud komitem. Semoga usaha kecil kita ini mendapat perhatian daripada masyarakat di luar sana dan bersama-sama menghayati keindahan bahasa kita. Bahasa kita jati diri bangsa kita. | Lain-lain | 15.11.2015 |
| (Pertanyaan yang telah dikemaskinikan) Salam hormat kepada tuan. Minta maaf tuan kerana menghantar pertanyaan yang tidak berlampiran. Ini karangan yang berlampiran. Masalah saya yang terkini bermauduk "Kata Darjah Sifat + Perbuatan Tidak Melampau". Karangan soal sudah saya lampirkan, mohon tuan baca dan huraikan kesulitan saya. | Kami menghadapi masalah melihat fail yang dilampirkan. Sila kemukakan soalan tuan dengan jelas dan jika ada lampiran - dalam Microsoft Word 2007. | Lain-lain | 14.08.2016 |