AsSalam, Antara yang berikut, yang manakah penggunaan ayat yang betul? 1. ... melihat keluar dari tingkap 2. ... melihat keluar daripada tingkap 3. ... melihat ke luar tingkap 4. ... melihat keluar tingkap Terima kasih | ... melihat ke luar tingkap. | Tatabahasa | 06.04.2011 |
Apakah maksud "konteks ayat"? Bagaimanakah caranya melihat konteks ayat? | Konteks ayat bermaksud bentuk ayat, makna dan apa tujuan ayat. Melihat konteks ayat dengan melihat perkataan yang digunakan sesuai atau tidak dengan makna ayat yang hendak disampaikan. Contoh: Ada satu perkataan yang sama ejaan dan hampir sama bunyi yang boleh menyebabkan kekeliruan tetapi berlainan maksud apabila ditulis dalam ayat yang berlainan. Contohnya "sepak" boleh bermaksud melempang dengan tangan atau menendang dengan kaki. Masa inilah kita kena lihat konteks ayat, iaitu makna, bentuk, tujuan atau kedudukan ayat. Sekiranya ayat itu bermaksud membuat sesuatu dengan kaki terhadap bola maka perkataan sepak itu bermaksud menyepak bola dengan kaki. | Makna | 17.12.2014 |
1. melihat rumah contoh atau melihat contoh rumah, soalan contoh atau contoh soalan. 2. Bolehkah memulakan ayat dengan kata hubung spt dengan atau justeru? | Saudara, Frasa rumah contoh, contoh rumah, soalan contoh atau contoh soalan boleh digunakan bergantung pada aspek kata nama yang hendak dijelaskan. Kata hubung seperti dengan atau justeru digunakan untuk memulakan ayat dalam konteks sudah terdapat wacana atau perenggan sebelumnya dan penggunaan kata hubung ini adalah sebagai sambungan wacana tersebut. | Tatabahasa | 12.10.2010 |
"Kita Melihat dengan mata". Soalan#1: Dari segi tatabahasa, adakah ayat bawah ini betul? atau sepatutnya "Kita melihat dengan mengunakan mata?" Soalan #2: Melihat - kata kerja transitif atau tidak transitif? Soalan #3: Kata Sendi "dengan" sebagai "mengunakan sebagai alat" -- bolehkah diikuti dengan kata nama? | Salam sejahtera, Ayat yang betul, "Kita melihat dengan mata". Berdasarkan Tatabahasa Dewan (halaman 280), kata sendi nama "dengan" berada di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan. Contoh: 1) Sumbangannya kami terima dengan hati terbuka. 2) Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 22.10.2018 |
Salam sejahtera. Ayat 1: Tamanah hendak melihat perarakan. Ayat 2: Perarakan sudah tamat. Jika ayat 1 dan 2 digabungkan, maka ayat berikut yang manakah betul? Atau kedua-duanya betul? Ayat majmuk 1: Tamanah hendak melihat perarakan tetapi sudah tamat. Ayat majmuk 2 : Tamanah hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat. Terima kasih. | Tamanah hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat. | Tatabahasa | 29.07.2013 |
Beza antara perkataan 'melihat' dan 'memandang'. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, melihat bermaksud 1. nampak apabila memandang, tidak buta, celik: ia tidak dapat ~ lagi kerana matanya sudah kabur; 2. memandang (menengok, menonton, dll) dgn menggunakan mata: mereka pergi ke tepi pantai ~ kapal yg terdampar itu; 3. menilik, meramal (nasib dll): ~ nasib; 4. membuat kesimpulan dgn menggunakan pancaindera, memaklumi (mengetahui dsb) dgn atau setelah melihat (mendengar dsb), meninjau: setelah ~ raja murka itu segalanya orang besar-besar semuanya takut gementar tulangnya; dlm hal ini kita cuba ~ beberapa sebab tersebut; dilihat dr sudut bahasa, beliau tidak menyambung pencapaian bahasa dlm cerpen-cerpen Keris Mas; 5. melawat (orang sakit dll), menziarahi: ~ orang sakit; ~ bulan datang haid. Memandang pula ditakrifkan sebagai 1. menggunakan mata utk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati: dipandangnya bangunan yg tiga tingkat itu; segala perempuan yg ~ itu semuanya tertawa gelak-gelak; 2. menganggap: Wan Derus dipandang sbg seorang ketua; 3. memikirkan, mempedulikan, memerhatikan: keadilan tidak ~ pangkat atau harta; 4. menghormati, menghargai: ia dipandang orang di kampung itu; ~ berat menganggap sesuatu bukan sbg perkara kecil atau tidak penting, memberikan perhatian dgn penuh kesungguhan; ~ enteng (gampang, mudah, ringan, sepi) menganggap enteng (gampang dll), menganggap tidak penting; ~ hina (rendah) a) menganggap hina (rendah); b) menghinakan (merendahkan); ~ jauh (ke hadapan) memberikan perhatian kpd atau memperhitungkan perkembangan (kepentingan dsb) jangka panjang; ~ kpd mengambil kira akan, memperhitungkan, memikirkan; ~ serong menganggap tidak jujur, tidak mempercayai. | Istilah | 03.12.2009 |
Apakah yang dimaksudkan dengan "mata hati" ? Bagaimana melihat dengan "mata hati" ? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat frasa mata hati bermaksud a) perasaan hati b) sl wakil peribadi,ganti diri. Melihat dengan mata hati bermaksud melihat dengan perasaan hati. | Tatabahasa | 15.03.2009 |
Bolehkah perkataan di mana digunakan dalam ayat di bawah: Untuk melihat jawapan, sila klik pada butang rekod pertanyaan di mana pengguna boleh melihat semua pertanyaan dan jawapan | Di mana digunakan untuk kata tanya. Penggunaan " di mana" dalam ayat berikut tidak tepat dan boleh digantikan dengan kata hubung lain yang tidak merubah maksud, contohnya "supaya". Untuk melihat jawapan, sila klik butang rekod pertanyaan supaya pengguna boleh melihat semua pertanyaan dan jawapan. | Tatabahasa | 06.06.2017 |
ketumbukanSaya melihat bahawa mungkin terdapat kekeliruan dalam maksud ketumbukan yang dipamerkan dalam laman ini.Saya dapati bahawa ianya ditakrifkan sebagai sepasukan atau sekumpulan tentera bawah perintah seorang mejar jeneral.Saya tidak faham kenapa perkataan mejar jeneral berada disitu. Bagaimana kalau ia dibawah leftenan jeneral atau jeneral? munglin lebih sesuai jika perkataan panglima tentera digunakan kerana ia lebih umum. | Untuk makluman, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud ketumbukan ialah pasukan atau kumpulan. Maksud yang dikemukakan itu terdapat dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua. Perkara ini akan dikemukakan kepada Bahagian Perkamusan. | Makna | 08.01.2015 |
Sekiranya melihat kepada dua buah ayat: 1. Ali memberi pendapatnya. 2. Ali memberikan pendapatnya. Ayat yang manakah yang lebih tepat? Bilakah imbuhan 'kan' sepatutnya digunakan? | Perkataan 'memberi' dan 'memberikan' merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan 'memberi' hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa seperti memberi budak itu..., manakala 'memberikan' hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa seperti memberikan nasihat. | Tatabahasa | 05.11.2012 |