Bolehkan perkataan "meluncur" digunakan sebagai kata kerja untuk meluncur dari papan gelongsor? | Meluncur bermaksud menggelongsor turun; atau melungsur. Oleh itu, boleh digunakan untuk merujuk perbuatan meluncur dari papan gelongsor. | Tatabahasa | 23.01.2011 |
Apakah istilah yang boleh digunakan untuk 'bodyboarding', iaitu aksi meluncur air menggunakan 'bodyboard'. Terima kasih. | Kami mencadangkan "bodyboarding" diterjemahkan sebagai "meluncur", tanpa perlu merujuk jenis papan luncur atau kaedah yang digunakan untuk aktiviti melungsur di atas air. | Istilah | 24.11.2020 |
Saya mengalami kebuntuan untuk padanan nama aktiviti sukan untuk "surfing" dan "skating". Saya dapati kedua-duanya bermaksud "luncur/meluncur". Walaupun begitu penggubalan berkenaan dengannya memerlukan perbezaan padanan bahasa antara kedua-dua perkataan tersebut. Mohon khidmat nasihat tuan/puan. | Betul, "surfing" dan "skating" keduan-duanya bermaksud luncur kerana konsep perbuatannya sama, iaitu meluncur. Namun, pengguna boleh membezakan penggunaan kedua-dua kata tersebut mengikut terjemahan istilah yang berkaitan dan konteks penggunaannya, "surfing" ialah luncur air (laut), manakala "skating" ialah luncur ais. | Istilah | 24.02.2023 |
Apakah nama sukan air yang meluncur di ombak menggunakan surfboard, luncur ombak atau luncur air? Saya keliru sebab ada sesetengahnya menggunakan nama luncur ombak dan ada sesetengah yang lain pula menggunakan nama luncur air. Terima kasih. | Istilah yang betul ialah luncur air. | Istilah | 13.04.2016 |
Adakah istilah pelancaran dan peluncuran sama? | Ya, sama maknanya bagi hal, perbuatan atau proses meluncur, meluncuri atau meluncurkan sesuatu seperti dalam ayat ini: Peluncuran buku tersebut berjalan lancar. Kata peluncuran terbit daripada salah satu makna "melancarkan" iaitu memperkenalkan (produk, program dan sebagainya) yang baharu kepada umum buat kali pertamanya secara rasmi. Kedua-dua kata ini tidak sama bagi makna yang lain.
| Makna | 20.11.2024 |
Mengikut saranan nasihat yang terdahulu, "untuk" boleh digunakan pada pangkal ayat, tapi semua contoh yang diberikan sama iaitu "Untuk makluman…" Bagi terjemahan ayat bahasa Inggeris di bawah, bolehkah "untuk" digunakan di pangkal ayat atau ayat tersebut perlu diubah susunannya? To stay aloft and travel long distances, he must learn to ride the wind. Terjemahan yang sesuai: 1) Kondor perlu belajar meluncur angin untuk kekal terapung dan mengembara jauh. 2) Untuk kekal terapung dan mengembara jauh, kondor perlu belajar meluncur angin. Adakah ayat (2) salah dari segi tatabahasa? Terima kasih. | 1. Kondor perlu belajar meluncur angin untuk kekal terapung dan mengembara jauh. 2. Untuk kekal terapung dan mengembara jauh, kondor perlu belajar meluncur angin. Kedua-dua ayat ini betul, ayat pertama susunan biasa dan ayat kedua susunan songsang. Perkataan "untuk" pada pangkal ayat, lazimnya digunakan dalam susunan songsang. | Tatabahasa | 02.02.2022 |
Mutakhir ini kerap ditemui pada poster-poster hebahan mengenai penggunaan perkataan "peluncuran" bagi maksud pelancaran (launching) buku, garis panduan, portal dan sebagainya. Adakah penggunaan perkataan peluncuran dalam konteks ini gramatis dan telah diterima pakai? Sekian, terima kasih | Penggunaan perkataan yang betul ialah pelancaran, bukan peluncuran. Peluncuran bermaksud perihal (perbuatan dan sebagainya) meluncur, meluncuri atau meluncurkan. Selain itu, ia juga membawa maksud tempat utk meluncur. Untuk keterangan lebih lanjut, saudara boleh rujuk di laman web http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=peluncuran&d=175768&#LIHATSINI
| Lain-lain | 28.12.2020 |
Apakah maksud madani dan peluncuran? Perkataan ini tiada dalam sistem DBP | Makna madani dalam Kamus Dewan Perdana: madani adj (bkn masyarakat, generasi dsb) maju dr segi pemikiran, kerohanian, akhlak dan kebendaan. Makna peluncuran dalam Kamus Dewan Perdana: peluncuran n 1. hal, perbuatan atau proses meluncur, meluncuri atau meluncurkan sst. 2. tempat utk meluncur. meluncur ktt 1.(bkn kenderaan, ular dll) bergerak dgn lancar ke sst arah.2 (bkn kata-kata) keluar dgn lancar. meluncuri kt 1. bergerak dgn lancar di (kolam, jalan raya dsb). 2. melihat atau melawat (laman sesawang, laman sosial dsb) utk mencari maklumat, data dsb. meluncurkan kt 1. menggerakkan (sst) dgn lancar. 2. mengeluarkan (kata-kata) dgn lancar. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu. Kata-kata dan makna-makna baharu yang ditemui akan dikumpulkan dan dirakamkan dalam kamus edisi yang seterusnya.
| Makna | 25.07.2023 |
Salam sejahtera. Saya ada dua pernyataan. Harap tuan/puan dapat membantu saya. 1. Yang manakah betul? Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Perpaduan dan Bulan Akademik Peringkat Sekolah atau Majlis Peluncuran Sambutan Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Perpaduan dan Bulan Akademik Peringkat Sekolah? 2. Boleh tuan/puan jelaskan penggunaan "serta"? Terima kasih. | 1. Perkataan “peluncuran” merujuk kepada hal, perbuatan atau proses meluncur, meluncuri atau meluncurkan sesuatu atau tempat untuk meluncur. Manakala, perkataan “pelancaran” pula merujuk kepada perihal atau perbuatan melancarkan, iaitu memulakan sesuatu gerakan, rancangan dan sebagainya. Penggunaan perkataan “pelancaran” dalam konteks di negara kita telah mantap dan mengikut kesesuaian makna. Manakala, penggunaan perkataan “peluncuran” tidak menjadi kebiasaan penggunaan di negara kita, namun boleh digunakan sebagai variasi penggunaan dalam konteks yang bersesuaian. Ayat tersebut diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Perpaduan dan Bulan Akademik Peringkat Sekolah.” 2. Kata hubung “serta” merupakan kata hubung gabungan, iaitu jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Ayat yang terbentuk dengan menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1234 dan 1367 dan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 251.
| Tatabahasa | 30.05.2025 |
assalamualaikum, saya ialah penulis buku teks sains tahun 5 kssr. saya menghadapi masalah mencari satu perkataan yang sesuai untuk aktiviti yang saya tulis. apakah perkataan yang sesuai untuk roket air yang saya lancarkan di udara? perkataan melayang atau perkataan terbang. sebagai contoh; saiz roket yang manakah akan melayang tinggi di udara apabila dilancarkan? atau saiz roket yang manakah akan terbang tinggi di udara apabila dilancarkan? terima kasih | Adakah konsep roket air sama seperti roket biasa yang meluncur ke udara? Jika sama, kata kerja yang sesuai untuk menerangkan hal keadaannya itu ialah meluncur, seperti yang banyak ditemukan dalam penulisan tentang roket, contohnya tapak peluncuran. | Tatabahasa | 19.01.2014 |