Salam sejahtera; Tuan: Apakah perbezaan antara "membekalkan" dengan "membekali"? Harap pihak tuan memberikan ayat contoh untuk membezakan kpenggunaan kedua-dua perkataan tersebut dalam konteks ayat. Terima kasih. | Membekalkan bermaksud memberikan bekal, menyediakan sesuatu sebagai bekal: Sebelum Abu berangkat, emak membekalkan nasi lemak kepadanya; dan mebekali bermaksud memberi bekal kepada: Emak membekali Abu sebungkus nasi lemak. | Tatabahasa | 07.03.2013 |
Salam Sejahtera, Kali ini, saya ingin bertanya tentang penggunaan "banyak" dalam ayat. 1. Perkataan "banyak" hadir sebelum atau selepas kata kerja, contoh: Ayat 1: Ahmad membaca banyak buku ....... atau Ahmad banyak membaca buku. Ayat 2: Buah-buahan tempatan membekalkan banyak zat kepada kita. atau Buah-buahan tempatan banyak membekalkan zat kepada kita. Saya berharap tuan dapat menjelaskan penggunaan "banyak" lebih lanjut. Sekian, terima kasih Andrew Tan | Perkataan banyak boleh berfungsi sebagai kata bilangan dan kata adjektif (sifat). Banyak yang berfungsi sebagai kata bilangan mesti hadir sebelum benda, manakala kata banyak sebagai kata adjektif berfungsi sebagai kata penguat. Kata adjektif boleh menerima kata penguat tetapi kata penguat tidak semestinya menjadi penanda kepada kata adjektif. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 225 dan 287. | Tatabahasa | 18.08.2009 |
apabila saya menanda kertas karangan saya ada menemui ayat sebegini sayuran membekalkan protien yang sangat tinggi kepada manusia bagi menambah darah. apakah komen yang sesuai boleh saya berikan kepada pelajar saya. | Saudara, Ulasan boleh dibuat bergantung pada aspek yang hendak dinilai. Aspek yang boleh dinilai ialah aspek fakta, bahasa atau gaya persembahan karangan tersebut. | Lain-lain | 27.09.2009 |
Salam Sejahtera, Saya bertugas di unit Penerbitan, Bhgn Komunikasi dan Media, MIDA. Sukacita sekiranya pihak tuan dapat membekalkan maklumat mengenai kadar penterjemahan yang digunakan oleh pihak DBP dalam menterjemah brosur bahasa Inggeris kepada bahasa-bahasa lain. Adakah kadar berikut masih digunapakai? Terjemahan Bahasa Malaysia kpd Bahasa Asing - Teknikal rm0.15/kata, Umum/Kreatif rm0.12/kata dan Terjemahan Bahasa Asing kpd Bahasa Malaysia - Teknikal rm0.12/kata, Umum/Kreatif rm0.10/kata. Terima kasih atas kerjasama pihak tuan. | Saudara Salmi, Untuk mendapatkan kadar perkhidmatan penterjemahan, sila hubungi Institut Terjemahan Negara, no. tel. 03-41497210 atau e-mel www.itnm.com.my atau hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia, no. tel. 03-21424381 atau e-mel terjemah@tm.net.my. | Lain-lain | 17.07.2009 |
Salam. Saya agak keliru dengan jawapan yang diberikan. Mengikut jawapan tuan, perkataan dibekalkan tidak wujud dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Rujukan saya pada Kamus Dewan Edisi Keempat (terbitan 2010) muka surat 148, perkataan membekalkan (ditulis sebagai kata kerja aktif) manakala ayat contoh yang diberikan ialah ayat pasif iaitu: Sebelum berangkat, air tambahan mesti dibekalkan. Harap penjelasan lanjut daripada pihak tuan, terima kasih. | Pendapat tuan betul, Kamus Dewan menyenaraikan kata terbitan daripada kata kerja aktif dalam entri setiap kata. Namun dalam ayat contoh yang diberikan kadangkala memasukkan juga kata kerja pasif seperti contoh yang tuan berikan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 20.09.2012 |
Saya merupakan pelajar sarjana dalam bidang sains komputer,Namun, untuk tesis sarjana, saya telah menggabungkan komputer dan bahasa yakni dalam bidang komputeran linguistik. oleh itu, saya memerlukan data semua perkataan melayu di mana setiap perkataan itu mestilah mempunyai jenis misalnya perkataan makan berjenis kata kerja.Harap pihak DBP dapat membekalkan keperluan itu pada saya.terima kasih. | Kamus Dewan belum lagi memasukkan kelas kata dalam setiap entrinya. Bahagian Perkamusan, DBP sedang menyiapkan Kamus Besar yang memasukkan kelas kata bagi setiap entri. Oleh itu, data tersebut tidak dapat kami sebarkan lagi kerana masih di peringkat draf. Sila rujuk kamus-kamus terbitan lain atau buku yang berkaitan untuk rujukan saudara. | Lain-lain | 15.01.2008 |
Tuan/Puan, Saya ingin mendaftar sebagai penyelidik supaya dapat menggunakan Korpus DBP untuk menjalankan penyelidikan tetapi sistem tersebut sering menolak permintaan saya dengan alasan 'Pendaftaran tidak berjaya!' Saya berharap agar tahu akan sebabnya. Selain itu, bagaimanakah pengguna boleh memperolehi ID pengguna dan kata laluan supaya dapat menggunakan korpus sastera? Adakah dalam laman web DBP, pihak berkuasa hanya membekalkan perkhidmatan daripada kedua-dua korpus tersebut sahaja? Sekian, terima kasih. | Terima kasih atas keprihatinan saudara memanfaatkan perkhidmatan yang kami sediakan dalam ruang bmaya ini. Untuk makluman saudara, sistem korpus bahasa tiada masalah dan saudara boleh mengakses sistem tersebut berdasarkan arahan yang diberikan dalam sistem. Sistem korpus sastera memang bermasalah buat masa ini dan hal ini telah kami kemukakan kepada Bahagian Sistem Maklumat, DBP dan kami berusaha menanganinya secepat mungkin. | Lain-lain | 18.03.2011 |
Salam sejahtera.. Sekiranya merujuk kepada kamus, memang jelas bahawa perkataan-perkataan ini wujud dan mempunyai maksud yang tersendiri. Namun malangnya, apabila latihan tatabahasa dikemukakan. lain pula jawapan yang diterima: 1) memperakui - tidak wujud? 2) memperakukan - mengesahkah / certify 3) memperhamba - menjadikan seseorang sebagai hamba 4) memperhambakan - mengabdikan diri sebagai hamba 5) menghambakan (diri) - mengabdikan diri sebagai hamba 6) menghambai (??) - "tidak wujud"?? 7) mempersenjatai - memberikan/membekalkan senjata kepada 8) mempersenjatakan - tidak wujud 9) menghujani - mencurahkan/"bertanya" dengan banyak 10) menghujankan - melepaskan sesuatu Saya dimaklumkan bahawa perkataan "segala" adalah salah manakala perkataan "segala-galanya" adalah betul. Namun bukankah: 1) segala - semua 2) segala-galanya = semua-muanya (????) | 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. | Tatabahasa | 28.09.2012 |
Saya ingin dapatkan satu senarai nama-nama negeri seluruh malaysia dan juga nama Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diwartakan. contoh. kerajaan negeri atau Kerajaan Negeri kerajaan negeri Pulau Pulau Pinang atau Kerajaan Negeri Pulau Pinang pihak berkuasa tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan. negeri Pulau Pinang atau Negeri Pulau Pinang. Setahu saya semua nama khas yang telah diwartakan hendaklah ditulis dengan huruf besar. Mohon dapat pihak tuan dapat membekalkan senarai penuh. terima kasih. | Senarai yang tuan perlukan tidak ada dalam pangkalan data kami. Sila hubungi Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan atau layari laman web jabatan http://jkt.kpkt.gov.my/bm/main.php dan klik portal SUK & PBT. Betul seperti yang dimaklumi, setiap nama khas ditulis dengan huruf besar. | Lain-lain | 02.02.2012 |
Saya ingin dapatkan satu senarai nama-nama negeri seluruh malaysia dan juga nama Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diwartakan. contoh. kerajaan negeri atau Kerajaan Negeri kerajaan negeri Pulau Pulau Pinang atau Kerajaan Negeri Pulau Pinang pihak berkuasa tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan. negeri Pulau Pinang atau Negeri Pulau Pinang. Setahu saya semua naga khas yang telah diwartakan hendaklah ditulis dengan huruf besar. Mohon dapat pihak tuan dapat membekalkan senarai penuh. terima kasih. | Senarai yang tuan perlukan tidak ada dalam pangkalan data kami. Sila hubungi Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan laman web jabatan http://jkt.kpkt.gov.my/bm/main.php dan klik portal SUK & PBT. | Lain-lain | 02.02.2012 |