Salam sejahtera. BAHAGIAN A 1. Jangankan membeli komputer, mesin taip pun saya tidak mampu. 2. Jangankan membeli komputer, mesin taip pun saya tidak mampu miliki. 3. Jangankan membeli komputer, membeli mesin taip pun saya tidak mampu. 4. Ibu menyimpan pisau ke laci. 5. Ibu menyimpan pisau ke dalam laci. 6. Ibu menyimpan pisau di dalam laci. = Yang manakah ayat yang betul. BAHAGIAN B naik = tidak perlu 'ke atas' turun = tidak perlu 'ke bawah' masuk = tidak perlu 'ke dalam' Adakah pernyataan di atas benar kerana ayat-berikut selalu digunakan; 1. Adik cepat-cepat turun ke bawah rumah setelah dimarahi bapa. 2. Para pemenang diminta naik ke atas pentas untuk menerima hadiah. 3. Kakak masuk ke dalam bilik tidurnya. Terima kasih. | Bahagian A: Ayat yang gramatis ialah jangankan membeli komputer, mesin taip pun saya tidak mampu dan Ibu menyimpan pisau ke dalam laci/ibu menyimpan pisau di dalam laci. Bahagian B naik: Frasa naik ke atas, turun ke bawah dan masuk ke dalam merupakan penggunaan bahasa yang lewah. Walaupun lewah bukanlah suatu kesalahan tetapi penggunaan salah satu daripadanya telah melengkapkan ayat. Dan binaan ayat yang gramatis bebas daripada unsur lewah. | Tatabahasa | 05.09.2012 |
membeli banyak gula atau membeli gula yang banyak. Mana satu betul. Apakah prinsip kata kerja transitif yang perlu digunakan. | Yang betul ialah "membeli banyak gula". Kata kerja Transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya; contohnya, menendang bola, memukul gendang, menghulurkan tali, membuka pintu, membaca buku | Tatabahasa | 21.05.2008 |
Mengapakakah penggunaan frasa pusat membeli-belah salah?Mengapa pusat beli-belah jawapan yang betul? | Frasa yang betul ialah pusat beli-belah. Dalam pembentukan kata nama tidak perlu menggunakan imbuhan. Membeli-belah bermaksud perbuatan membeli pelbagai jenis barang. Oleh itu, jika frasa "pusat membeli-belah" digunakan bermaksud pusat yang melakukan perbuatan membeli pelbagai jenis barang. | Tatabahasa | 12.06.2012 |
Bagaimanakah mahu pastikan sama ada KKTr meN....kan yang membawa maksud kausatif atau banefaktif. contohnya alam frasa 'membelikan ikan' atau membeli ikan. ATAU frasa' membeli emak ikan itu' atau membelikan emak ikan itu. Yang mana satu tepat dan tolong jelaskan. kenapa dalam frasa 'menjelaskan perkara' memerlukan akhiran '..kan' untuk maksud kausatif dan mengapa frasa 'membeli ikan' tak perlu akhiran ...kan dalam maksud kausatif? | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat). Merujuk contoh yang diberikan oleh saudara, frasa yang betul ialah "membelikan emak ikan" untuk maksud benefaktif. Hal ini berbeza dengan frasa "membeli ikan". Frasa tersebut betul dan membawa maksud melakukan sesuatu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk awalan meN- dan apitan meN-...-kan.. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
....membeli barang yang benar-benar perlu sahaja atau ....membeli barang yang perlu benar-benar sahaja. | Frasa yang betul ialah "membeli barang yang benar-benar perlu sahaja". | Tatabahasa | 20.09.2013 |
1. Marini membeli pelbagai barang. 2. Marini membeli barang yang pelbagai. Penggunaan perkataan pelbagai dalam kedua-dua ayat ini diterima? | Yang betul ialah Marini membeli pelbagai barang, kerana perkataan pelbagai di situ boleh digantikan dengan berbagai-bagai jenis. | Tatabahasa | 04.11.2009 |
Ali sedang beratur membeli mi. ATAU Ali sedang beratur untuk membeli mi. Ayat yang mana betul? T. Kasih | Ali sedang beratur untuk membeli mi. | Tatabahasa | 15.03.2010 |
a) saya membeli hadiah untuk ibu saya b) saya membeli hadiah kepada ibu saya yang mana satu betul? terima kasih | Yang betul ialah : Saya membeli hadiah untuk ibu saya atau Saya memberikan hadiah kepada ibu saya. | Tatabahasa | 27.06.2009 |
Kompleks membeli-belah atau kompleks beli-belah. Pusat membeli-belah atau pusat beli-belah. Apa maksud sebenar perkataan "beli-belah".? | Yang betulialah kompleks beli-belah, beli-belah bermaksud membeli berbagai-bagai jenis barang. | Tatabahasa | 14.10.2008 |
Tuan, Yang manakah betul, "Timah banyak membeli hadiah untuk rakan-rakannya" atau "Timah membeli banyak hadiah untuk rakan-rakannya"? | Yang betul ialah Timah membeli banyak hadiah untuk rakan-rakannya. | Tatabahasa | 08.10.2009 |