Ahmad Aiman Nordin Jul 7th, 9:53am Penjaja minuman dikehendaki _______________________ daripada menggunakan pewarna yang tidak dibenarkan. A. memberhentikan B. memberhenti C. berhentikan D. berhenti Apakah jawapan yang tepat? Mohon jasa baik pihak DBP menerangkan waktu bila digunakan memberhentikan , memberhenti, berhentikan dan berhenti. Terima kasih. | Penjaja minuman dikehendaki berhenti daripada menggunakan pewarna yang tidak dibenarkan. Berhenti bermaksud tidak meneruskan lagi. Memberhentikan bermaksud menjadikan (menyebabkan) berhenti, seperti Ali memberhentikan basikalnya. Tidak ada perkataan memberhenti. | Tatabahasa | 07.07.2015 |
Saya ingin menanya apakah perkataan yang sesuai untuk ayat dibawah iaitu "menghentikan" atau "memberhentikan". Berikut adalah ayat tersebut: Jika anda tidak ingin meneruskan penyertaan selepas andamenghentikan rawatan, anda harus terus berjumpa dengan doktor anda secara tetap, kerana virus Hepatitis B boleh “meradang” ke paras yang tinggi dan menyebabkan kerosakan kepada hati anda dalam minggu-minggu selepas menghentikan terapi. Bolehkah tuan menjelaskan makna setiap perkataan tersebut. | Menurut Kamus Dewan memberhentikan bermaksud 1. menjadikan (menyebabkan) berhenti, membiarkan berhenti. 2. mengakhiri, menyudahi, menamatkan. 3. memecat, melepaskan seseorang drpd pekerjaan (jawatan dll): guru itu sudah diberhentikan. Memberhentikan juga bermakna menghentikan. | Makna | 02.11.2007 |
Saya sedang __ kipas yang berpusing itu. 'mematikan' atau 'memberhentikan', yg manakah lebih sesuai ?? | Perkataan yang betul ialah memberhentikan mengikut konteks ayat. Walau bagaimanapun, ayat tersebut tidak gramatis. Ayat yang gramatis ialah Saya mematikan suis kipas angin tersebut. | Tatabahasa | 23.07.2013 |
pengusaha restoran itu dikehendaki -------------- daripada berniaga berhampiran longkang yang tersumbat itu. apakah jawapan yg paling sesuai.. memberhentikan atau menghentikan.. | Perkataan yang paling tepat ialah "berhenti". Pengusaha restoran itu dikehendaki berhenti daripada berniaga berhampiran longkang yang tersumbat itu. | Tatabahasa | 28.10.2013 |
1)Apakah perbezaan perkataan dengan imbuhan mem...kan dan imbuhan mem sahaja? Contohnya, memberi dan memberikan. 2)bagaimanakah kita hendak membezakan sama ada perkataan itu dieja dengan '-' atau tidak. Contohnya sampah sarap @ sampah-sarap, rempah ratus @ rempah-ratus 3)yang mana satu betul ? Menghentikan @ memberhentikan? Jikalau kedua-duanya betul, apakah perbezaannya? | Awalan mem- ialah salah satu daripada alomorf meN-, iaitu kata kerja yang mendukung maksud melakukan sesuatu. Penggunaan kata kerja dengan awalan meN- boleh menerbitkan dua makna, iaitu sama ada melakukan perbuatan seperti mengarang dan mengaum; serta menyatakan keadaan seperti seperti membujang dan memanjang. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 151 - 161. Manakala kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar seperti ... merundingkan Projek Ikhtiar; maksud kausatif atau menyebabkan seperti ... membesarkan rumah; dan maksud benefaktif atau manfaat seperti ... membelikan adik buku. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 191 - 197. | Tatabahasa | 28.10.2014 |
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin bertanya apakah padanan bagi perkataan "cut" yang biasa digunakan oleh pengarah dalam penggambaran setelah mendapat potongan babak yang diinginkan? Terima kasih. | Tiada data berkaitan’cut’ khusus untuk bidang perfileman dalam data DBP. Mengikut konteks penggambaran filem, istilah ‘cut’ merujuk pada arahan daripada pengarah untuk memberhentikan penggambaran babak. Kami mencadangkan ‘cut’ diberikan padanan ‘berhenti’ atau ‘potong’. | Istilah | 14.12.2018 |
Soalan 2 Beliau …………daripada jawatannya kerana didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin. Mengapakan jawapan adalah A dilucutkan Mengapakan tak boleh B dipecatkan | Jawapan yang betul ialah Beliau “dilucutkan/dipecat” daripada jawatannya kerana didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin. Kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan bersilih ganti dalam contoh ayat yang diberikan kerana “pecat” membawa maksud memberhentikan seseorang daripada jawatannya, manakala “lucut” pula bermakna menghentikan atau menarik balik pangkat/kuasa dan lain-lain. Walau bagaimanapun, perkataan “dipecatkan” tidak boleh digunakan kerana pembentukan kata yang betul ialah “dipecat”. | Tatabahasa | 02.08.2020 |
Saya ingin memohon pandangan pihak DBP berkaitan gantian perkataan terbaik untuk 'Pelucutan'. Untuk makluman tuan, wujud tradisi dalam perkhidmatan TLDM untuk upacara Pelucutan Tauliah atau 'decommissioning' bagi kapal-kapal TLDM yang telah lama berkhidmat. Pada hemat saya, perkataan 'pelucutan' lebih bersifat negatif. Saya terpanggil untuk mencari nama baharu bagi majlis pelucutan tauliah yang lebih bersifat positif. Contohnya, majlis penyuraian jasa bakti atau apa-apa perkataan lain yang mungkin boleh digunakan bagi majlis yang dimaksudkan. | Istilah decommissioning diterjemahkan kepada penyahtauliahan. Walau bagaimanapun pelucutan juga boleh digunakan kerana pelucutan bermaksud perihal menarik balik atau memberhentikan sesuatu. Tanggapan maksud sama ada positif atau negatif bergantung pada konteks penggunaannya. | Istilah | 22.06.2018 |