| Imbuhan Memper........kan.... adakah betul 'kan' harus dibuang....misalnya Memperkenalkan seseorang menjadi memperkenal seseorang....saya keliru... | Golongan kata nama dan kata kerja bergabung dengan apitan "memper...kan" untuk membentuk kata kerja seperti memperkenalkan, memperdengarkan, memperlihatkan dll. Apitan memper- pula hanya digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya, memperbesar, memperindah dll. Sila rujuk Tatabahasa Dewan hlmn. 210. | Tatabahasa | 25.11.2008 |
| SELAMAT PETANG. masalah saya ialah penggunaan imbuhan memper,,,kan dan memper,,,, dengan betul. dalam konteks apa kita boleh gunakan imbuhan tersebut. jenis perkataan yang manakah kita boleh aplikasikan imbuhan ini ? | Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. Manakala untuk kata adjektif hanya memper-... digunakan. Contohnya: memperbesar, memperindah, memperkemas. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 208 dan halaman 177. | Tatabahasa | 27.02.2012 |
| Adakah penggunaan kata ganda dengan imbuhan memper+kan betul dalam contoh berikut: 1.memperkecil-kecilkan 2.mempermain-mainkan 3.memperbudak-budakkan Adakah terdapat syarat hanya kata akar dengan kelas kata tertentu yang dbenarkan menggunakan kata ganda seperti di atas. Contohnya kata akar kata adjektif (memperkecil-kecilkan) adalah betul, manakala kata akar kata kerja (mempermain-mainkan) adalah salah. | Yang betul memperkecil-kecil, mempermain-mainkan dan memperbudak-budakkan. Imbuhan memper- dengan kata adjektif tidak membentuk kata dengan imbuhan memper-kan. Rujuk tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 177 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 22.05.2008 |
| "Maafkan saya" atau "Maafi saya"? Bagaimanakah untuk membezakan penggunaan "-i" dan "-kan", "meN-...-i" dan "meN-...-kan", "di-...-i" dan "di-...-kan", "memper-...-i" dan "memper-...-kan" serta "diper-...-i" dan diper-...-kan"? | Penggunaan frasa yang betul ialah “maafkan saya”. - Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan imbuhan "-i", "-kan", "meN-...-i", "meN-...-kan", "di-...-i", "di-...-kan", "memper-...-i", "memper-...-kan", "diper-...-i" dan diper-...-kan", sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 150 hingga 217. | Tatabahasa | 24.01.2026 |
| Kata dasar "kembang" menerima imbuhan apitan "memper-...-kan" atau awalan "memper"? Kembang merupakan kata kerja atau kata adjektif? Terima kasih... | Kata terbitan yang betul ialah memperkembangkan, iaitu apitan memper-...-kan bergabung dengan kata kembang. | Tatabahasa | 02.05.2017 |
| 1) BOLEHKAH KATA SISIPAN BERADA SELEPAS KATA KERJA? 2) BOLEHKAH KATA MAJMUK DIRAPATKAN APABILA MENERIMA IMBUHAN APITAN? 3) BERIKAN CARA UNTUK MENGGUNAKAN IMBUHAN MEMPER- DAN MEMPER-KAN DENGAN BETUL | 1. Proses sisipan boleh berlaku dalam kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif, kata nama atau kata kerja (bukan selepas kata kerja). 2. Kata majmuk boleh dirapatkan apabila menerima apitan atau imbuhan di awal dan akhir perkataan tersebut, contohnya: urus niaga - mengurusniagakan. 3. Dalam bahasa Melayu awalan memper- ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan per-. Namun demikian, dalam ayat aktif, per- tidak boleh wujud tanpa awalan men- kecuali dalam ayat perintah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 177-180. Manakala apitan memper-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-kan ini bersifat transitif, iaitu memerlukan objek untuk melengkapkan maksud/ayatnya. untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 208-211. | Tatabahasa | 14.04.2009 |
| Bilakah penggunaan imbuhan diper...kan dan memper...kan? Apakah kata-kata yang boleh menngunakan kedua-dua imbuhan ini dan mengapa? Antara berikut, yang manakah betul? a. kata-kata aluan b. kata alu-aluan? | Apitan diper...kan boleh digunakan untuk golongan kata nama atau kata kerja, dan akan membentuk kata kerja; contohnya, isteri - diperisterikan, dengar - diperdengarkan. Begitu juga dengan apitan memper...kan, golongan kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper...kan untuk membentuk kata kerja, contohnya jodoh - memperjodohkan, lihat - memperlihatkan. Yang betul ialah kata alu-aluan. | Tatabahasa | 10.09.2008 |
| Salam Harap tuan dapat menjelaskan enam permasalahan di bawah. 1) Apakah perbezaan antara `kami' dan `kita' 2) Apakah perbezaan penggunaan imbuhan memper... dan memper...kan. 3) Perbezaan antara `untuk' dan `bagi' 4) Mengapa perkataan `pelaksanaan' tidak dieja sebagai `perlaksanaan' 5) Mana yang betul, ejaan `ketidak adilan' atau `ketidakadilan' 6) Dalam penulisan, angka perlu ditulis dalam bentuk nombor atau perkataan (contoh: 10,000 atau sepuluh ribu) Sekian, terima kasih Izani b. Hj. Daud | 1. Kami merujuk kepada saya sekalian (saya dan rakan-rakan saya semua), manakala kita merujuk kepada kata ganti bagi diri orang yang bercakap serta sekalian yang hadir (mendengarnya). 2. Awalan memper- boleh bergabung dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif untuk membentuk kata kerja transitif aktif, manakala apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kerja untuk membentuk kata kerja transitif. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 177 dan 208. 3. Kata sendi nama untuk dan bagi digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Tetapi untuk maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan, kata untuk tidak boleh bertukar ganti dengan kata bagi. Rujuk halaman 276, Tatabahasa Dewan. 4. Merujuk Kamus Dewan pelaksanaan ialah perihal melaksanakan, manakala perlaksanaan ialah hasil daripada melaksanakan. 5. Ejaan yang betul ialah ketidakadilan. 6. Nombor kosong hingga sembilan hendaklah dieja, manakala nombor 10 dan ke atas ditulis dalam bentuk angka. | Tatabahasa | 04.10.2011 |
| penggunaan imbuhan awalan memper- contoh perkataan memperbesar. Pertanyaannya mana yang betul memperbesar atau memperbesarkan..dan kenapa imbuhan akhiran -kan digugurkan penggunaannya dalam menggambarkan sesuatu konteks | Kata adjektif menerima awalan memper- bukan apitan memper-...-kan. Contohnya memperbesar, memperluas dan mempercantik. | Tatabahasa | 20.07.2012 |
| Tlg beri pejelasan kenapa apitan memper-...-kan tidak boleh digunakan untuk kata adjektif. Contoh: memperluaskan dikatakan salah dan yg betulnya memperluas shj. Apa justifikasinya? | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadi lebih atau bertambah. Contohnya, memperluas - bermaksud menjadi lebih atau bertambah luas. Penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper...kan seperti memperluaskan adalah tidak tepat. Oleh itu, perkataan yang betul memperluas. | Tatabahasa | 02.03.2020 |