Salam sejahtera, Saya ingin memohon pencerahan berkenaan perkataan "memperalat" dan "memperalatkan". Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan "memperalat"bermaksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sbg alat (utk mencapai sesuatu tujuan)", manakala "memperalatkan" bermaksud "mengadakan perjamuan adat, mengahwinkan". Namun dalam istilah "kedok" dan "berkedok", salah satu maksud yg diberikan ialah: mempergunakan atau membuat sesuatu utk menyembunyikan tujuan (hal dll) yg sebenar, berselindung (di sebalik sesuatu), menyamar (dgn memperalatkan sesuatu)menyamar (dgn memperalatkan sesuatu). Bolehkah "memperalatkan" juga digunakan untuk maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sbg alat (utk mencapai sesuatu tujuan)"? Ini kerana daripada korpus dan banyak penulisan, kelihatannya perkataan "memperalatkan" lebih banyak menjurus kepada maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sbg alat (utk mencapai sesuatu tujuan)". Sekian, terima kasih. | Boleh. Data korpus terkini menunjukkan penggunaan "memperalatkan" bagi maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sebagai alat untuk mencapai sesuatu tujuan". Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 58) di bawah entri alat1. Kata terbitan "memperalatkan" juga dirakamkan bagi maksud mengadakan alat untuk (seseorang) yang diletakkan di bawah entri alat2. Namun begitu, pengguna disarankan menggunakan "memperalat" berbanding "memperalatkan" bagi maksud "menggunakan (seseorang atau sesuatu) sebagai alat untuk mencapai sesuatu tujuan". Kata "memperalat" bagi maksud ini telah mantap dan terakam sejak Kamus Dewan 1970. | Makna | 22.03.2023 |
Adakah imbuhan mempeR- mempunyai objek tepat dan objek sipi seperti imbuhan apitan meN-..-kan seperti contoh dalam ayat "majikan itu memperalat pekerja syarikatnya". Adakah pekerja objek merupakan tepat dan syarikatnya merupakan objek sipi? | Awalan imbuhan memper-, apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nama, membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. Contohnya: alat - memperalat daya - memperdaya kacang - memperkacang Objek tepat dan objek sipi pula merupakan dua objek yang terdapat dalam satu ayat . Binaan ayat ialah seperti yang berikut : subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2 Contoh ayat: Hasnah membelikan Asri sebuah buku (subjek) (kata kerja) (objek 1) (objek 2) Objek 1 ialah objek yang mengikuti secara langsung kata kerja dan disebut objek tepat, sementara objek 2 yang mengikuti objek tepat disebut objek sipi. Dalam ayat contoh, Asri ialah objek tepat manakala sebuah buku ialah objek sipi. Satu ukuran untuk menentukan yang mana satukah antara kedua-dua objek itu objek tepat atau objek sipi ialah proses pasif. Dalam bahasa Melayu, hanya objek tepat yang boleh mengalami proses pasif, iaitu proses yang mengedepankan objek asal menjadi subjek terbitan ayat pasif, atau unsur yang diterangkan. Bentuk pasif bagi ayat contoh ialah: Asri dibelikan sebuah buku oleh Hasnah Untuk mengetahui sama ada ayat contoh yang mengandungi imbuhan memper- yang saudara berikan itu, mempunyai objek tepat dan objek sipi atau tidak, kita boleh cuba dengan mengubah ayat tersebut menjadi ayat pasif dengan menjadikan objek tepatnya sebagai subjek: Ayat contoh: Majikan itu memperalat pekerja syarikatnya. Apabila dipasifkan: Pekerja diperalatkan syarikatnya oleh majikan itu. Apabila dipasifkan, maksud ayat tidak sama dengan ayat asal dan susunan ayat juga tidak gramatis. Jadi, ini membawa maksud bahawa imbuhan memper_ tidak mengandungi objek tepat dan objek sipi.
| Tatabahasa | 19.02.2014 |
Tuan, adakah perkataan, "Pergunakan" boleh digunakan? Terima kasih. | Perkataan yang lebih tepat ialah "mempergunakan" yang membawa maksud: 1. menggunakan; 2. memperlakukan unutk tujuan atau kepentingan tertentu, memperalat. | Tatabahasa | 16.12.2015 |
penggunaan imbuhan 'memper' tidak 'consistent' antara guru-guru dan penulis buku bahasa seperti memperoleh,memperkaya dll. Perlukah akhiran 'kan' dan 'i' dijatuhkan jika imbuhan 'memper' digunakan?b | Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya, memperalat, memperluas dan memperoleh. Hanya terdapat dua pengertian khusus yang timbul melalui penggunaan apitan memper-...kan dengan kata dasar, iaitu 'yang membawa pengertian kausatif (menjadikan atau menyebabkan)' seperti mempertemukan; dan 'yang membawa pengertian menyebabkan orang lain melakukan perbuatan' seperti memperdengarkan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 170. | Tatabahasa | 03.03.2007 |
tolong jelaskan kepada saya tentang memerhatikan dan memperhatikan serta jelaskan perbezaannya dan kegunaan dalam ayat | Penggunaan yang betul ialah 'memerhatikan' yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, menjaga atau memereksai. Kata 'memperhatikan' tidak digunakan kerana awalan 'Memper -' lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh). | Tatabahasa | 18.03.2008 |
Mengapakah perkataan memperolehi ditukar kepada memperoleh tetapi mempunyai tidak ditukar kepada mempunya? | Awalan memper- juga awalan pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk, iaitu memper-. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan per-. Namun demikian, dalam ayat aktif, per- tidak boleh wujud tanpa awalan men- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi diper- dalam ayat pasif seperti memperoleh. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya; alat - memperalat, daya - memperdaya (kata nama). Kata adjektif; luas - memperluas, tinggi- mempertinggi. Oleh- memperoleh. Kata tugas yang terdiri daripada kata sendi nama. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 177-178. | Tatabahasa | 24.02.2010 |
Terjumpa istilah ini: SCIENCE POPULARIZATION. Apa terjemahan dalam bahasa Melayu? Adakah PEMPOPULARAN SAINS? Bagi perkataan dengan imbuhan "memper...kan", benarkah imbuhan "kan" dalam perkataan itu perlu/boleh digugurkan dalam penggunaannya? Contoh, cukup sekadar "mempertajam ilmu" bukan lagi "mempertajamkan ilmu." Adakah syarat ini terpakai dalam semua keadaan, dengan kata lain, apa-apa perkataan yang menerima imbuhan "memper...kan" boleh digugurkan imbuhan "kan"nya itu. Mohon nasihat. Terima kasih. | 1. Untuk makluman, tidak terdapat istilah khusus untuk SCIENCE POPULARIZATION. Walau bagaimanapun, terdapat istilah bahasa Melayu untuk popularization, iaitu popularisasi. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan, popularization diterjemahkan sebagai usaha mempopularkan. 2. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya: memperalat (kata nama 'alat'), memperluas (kata adjektif 'luas' dan memperoleh (kata tugas 'oleh). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (ms. 177 - 181) | Istilah | 02.08.2011 |
Assalam 1. Adakah -nya dan -lah tersenarai sebagai kata imbuhan akhiran? 2. Mengapakah perkataan memperolehi tidak betul sedangkaan perkataan membaiki betul ? Terima kasih. | 1. Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Kata penegas atau partikel memberi penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat, iaitu -kah, -tah dan -lah. 2. Awalan memper- juga awalan pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk, iaitu memper-. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan per-. Namun demikian, dalam ayat aktif, per- tidak boleh wujud tanpa awalan men- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi diper- dalam ayat pasif seperti memperoleh. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya; alat - memperalat, daya - memperdaya (kata nama). Kata adjektif; luas - memperluas, tinggi- mempertinggi. Oleh- memperoleh. Kata tugas yang terdiri daripada kata sendi nama. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 177-178.
| Tatabahasa | 07.01.2014 |
Mohon pencerahan berhubung : 1. Perbezaan kata 'memerhatikan' dengan 'memperhatikan' dan cth penggunaan yang tepat. 2. penggunaan kata 'memakan', 'memakankan', dan 'makan'. Terima kasih | Jawapan 1 Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat memperhatikan sama maksud dengan memerhatikan. Memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu mengendahkan. Penggunaan yang betul ialah “memerhatikan” yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, atau menjaga. Kata “memperhatikan” tidak digunakan kerana awalan 'Memper -' lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh). Contoh ayat ialah Pegawai polis sedang memerhatikan setiap pergerakan penjenayah itu semenjak minggu lepas. Jawapan 2 Memakan Perkataan memakan biasanya digunakan dalam menyampaikan maksud mengambil (contoh ayat, Proses baik pulih rumah itu memakan masa enam bulan), merosakkan, membinasakan, memusnahkan (contoh ayat, Anai-anai telah memakan tiang rumah usang itu), dan mematikan (contoph ayat, Dalam permainan dam aji, pemain yang dapat memakan lawannya yang paling banyak dinobatkan sebagai pemenang) Memakankan Perkataan memakankan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Pertama, memasukkan benang pakan pada kain yang ditenun. Kedua, mengusahakan supaya sesuatu dimakan atau memakan untuk seseorang. Makan Perkataan makan digunakan untuk menyampaikan pelbagai maksud. Pertama, bermaksud memamah serta menelan makanan atau mengunyah sesuatu. Kedua, merujuk kepada rezeki (contoh ayat, Dia tidak dapat mencari makan hari ini kerana teksinya rosak). Ketiga, bermaksud menggunakan, menghabiskan atau memerlukan (contoh ayat, Projek membina jambatan itu makan belanja yang besar). Keempat, makan merujuk kepada melukai atau menembusi (contoh ayat, Tikaman kerisnya tidak makan). Kelima, bermaksud bekerja seperti yang dijangkakan (contoh ayat, Brek basikal itu tidak lagi makan). Keenam, bermaksud dapat masuk (contoh ayat, Paku itu hanya setengah inci masuk ke dalam papan. Ketujuh, bermaksud mengikut atau menerima (contoh ayat, Inilah jadinya kalau orang yang tidak makan nasihat). Kelapan, bermaksud menggelapi atau mengambil secara haram (contoh ayat, Pegawai perumahan itu kuat makan duit). | Makna | 25.02.2014 |
Adakah perkataan "memperuntuk" salah dari segi penggunaan imbuhan? Adakah perkataan yang diterima adalah memperuntukkan? dan apakah kata dasar perkataan ini? | Perkataan “memperuntukkan” merupakan kata kerja terbitan yang menerima imbuhan apitan mempeR...kan daripada kata dasarnya, “untuk”. Kata “untuk” ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi menunjukkan kegunaan untuk sesuatu dan menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Oleh itu, kata “memperuntuk” adalah tidak tepat dari segi penggunaan imbuhan kerana imbuhan awalan mempeR- hanya bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya, memperalat (kata nama “alat”), memperluas (kata adjektif “luas”) dan memperoleh (kata tugas “oleh”), sedangkan kata “untuk” ialah kata sendi nama dan tidak boleh menerima awalan mempeR- untuk membentuk kata kerja terbitan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) halaman 177, 208, dan 276 dan laman web prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 06.04.2024 |