| a)Murid tahun empat dan tahun lima mempersembahkan nyanyian. b )Murid( T)ahun (E)mpat dan( T)ahun (L)ima mempersembahkan nyanyian. ADAKAH TAHUN EMPAT DAN TAHUN LIMA KENA HURUF BESAR? | Ejaan yang betul ialah "Murid tahun empat dan tahun lima mempersembahkan nyanyian", tidak perlu ditulis dengan huruf besar kecuali ada nama kelas seperti Tahun Empat Sejahtera. | Ejaan | 22.07.2014 |
| bagaimanakah cara untuk saya mempersembahkan karya saya seperti sajak dan sebagainya? | Dalam hal ini soalan sdr amat tidak jelas atau kabur. Maksud saya mempersembahkan sajak untuk apa? Adakah untuk persembahan deklamasi di pentas atau persembahan untuk media cetak/elektronik? Harap dapat jelaskan. Terima kasih dan salam. | Lain-lain | 08.09.2008 |
| Persoalan tentang tanda baca. 1. Murid-murid mempersembahkan (pertunjukan yoyo cina / pertunjukan Yoyo Cina) di atas pentas. | Disebabkan perkataan yoyo cina itu ialah nama khas, maka huruf awal haruslah huruf besar: Murid-murid mempersembahkan pertunujukan Yoyo Cina. | Tatabahasa | 21.09.2014 |
| Kami ialah sebuah kumpulan koir di Kedah dan kami ingin pergi ke Thailand untuk berjumpa dengan sebuah kumpulan koir di sana. Kami mempersembahkan nyanyian kami dan mereka mempersembahkan nyanyian mereka. Kedua-dua kumpulan koir saling belajar sesama sendiri. Saya rasa dalam bahasa English dipanggil "Music Exchange Concert". Dalam Bahasa Malaysia dipanggil apa? Terima kasih | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah Konsert Pertukaran Muzik. | Istilah | 03.08.2016 |
| Mohon cadangan tatabahasa yang betul : i. dipersetujui ii. diperkenankan iii. diperlekehkan iv. memperkenalkan v. mempersembahkan | Jawapan yang betul berdasarkan cadangan padanan tatabahasa tersebut ialah: i. Dipersetujui ii. Diperkenanakan iii. Diperlekeh iv. Memperkenalkan v. Mempersembahkan | Lain-lain | 22.02.2023 |
| Apakah maksud dipersembah dan dipersembahkan? Sila nyatakan kegunaaan dua perkataan ini dalam ayat yang lengkap. | Kata yang terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 2025) ialah kata mempersembahkan dan dipersembahkan, yang diberikan takrif seperti yang berikut: mempersembahkan kata kerja transitif [kata pasif: dipersembahkan, persembahkan] 1 menyampaikan (sesuatu berita, surat dan sebagainya) dengan takzim dan penuh hormat; menyembahkan. Contoh penggunaan Maka menteri itu pun mempersembahkan hal tersebut kepada Betara Raden Merpati. Dengan segera perkara itu pun dipersembahkan kepada Sang Nila Utama. 2 bahasa kiasan menunjukkan atau menayangkan (tarian, filem dan sebagainya) kepada seseorang atau khalayak. Contoh penggunaan Pelajar mempersembahkan tarian tradisional masyarakat di Sarawak semasa program tersebut. Skrip drama yang telah ditulis akan dipersembahkan di atas pentas. | Makna | 30.10.2023 |
| Assalamualaikum, "Spoken word" ialah seni mempersembahkan puisi yang berfokus pada permainan kata dan penceritaan. Seni ini berasal dari Afrika. Maka, unsur-unsur hip-hop boleh dilihat dalam persembahan. Seni ini berbeza dengan deklamasi sajak kerana puisi yang ditulis sememangnya dicipta untuk dipersembahkan di atas pentas, bukan sebagai bahan bacaan. Persembahan mungkin diiringi muzik dan tarian, atau lain-lain. Yang membuat persembahan "spoken word" dipanggil "spoken word artist". Jadi, bolehkah tuan/puan cadangkan terjemahan bagi "spoken word artist"? Terima kasih. | Cadangan terjemahan bagi "spoken word artist" ialah "penglipur lara". | Penyemakan dan penterjemahan | 21.09.2015 |
| Terima kasih atas maklum balas tuan/puan. "Spoken word" ialah seni mempersembahkan puisi yang berfokus pada permainan kata dan penceritaan. Seni ini berasal dari Afrika. Maka, unsur-unsur hip-hop boleh dilihat dalam persembahan. Seni ini berbeza dengan deklamasi sajak kerana puisi yang ditulis sememangnya dicipta untuk dipersembahkan di atas pentas, bukan sebagai bahan bacaan. Persembahan mungkin diiringi muzik dan tarian, atau lain-lain. Yang memsembahkan "spoken word" dipanggil "spoken word artist". Harap maklumat ini dapat membantu. Terima kasih banyak. | Mohon pihak tuan/puan mengemukakan soalan dengan jelas. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 21.09.2015 |
| Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |
| Adakah ayat-ayat di bawah betul dalam tatabahasa dan strukturnya ? Jika tidak, tolong berikan ayat yang betul. Terima kasih. (1) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan fasih dan menarik di atas pentas. (2) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan lancar dan menarik di atas pentas. (3) Amy yang mahir bercerita sedang mempersembahkan ceritanya dengan lancar dan menarik di atas pentas. (4) Penonton-penonton memberikan tepukan yang gemuruh sekali kepada Amy. (5) Para penonton memberikan tepukan yang gemuruh sekali untuk Amy. (6) Seorang jurugambar sedang mengambil gambar Amy yang sedang bercerita menggunakan camera. (7) Tiga orang pengadil sedang menyaksikan persembahan Amy sambil memberi markah. (8) Terdapat banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. (9) Banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. | Berikut merupakan ayat yang betul: (1) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan fasih dan menarik di atas pentas. (2) Amy yang mahir bercerita sedang bercerita dengan lancar dan menarik di atas pentas. (3) Amy yang mahir bercerita sedang mempersembahkan ceritanya dengan lancar dan menarik di atas pentas. (4) Penonton-penonton memberikan tepukan yang gemuruh sekali kepada Amy. (6) Seorang jurugambar sedang mengambil gambar Amy yang sedang bercerita menggunakan kamera. (7) Tiga orang pengadil sedang menyaksikan persembahan Amy sambil memberi markah. (8) Terdapat banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. (9) Banyak hamper dan piala dipamerkan di atas meja sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang pertandingan bercerita. | Tatabahasa | 29.07.2014 |