Bilakah yang sesuai menggunakan istilah 'mempersuami'. 'memperisteri', 'memperisterikan' dan 'memperisterikan'? | Mempersuami/memperisteri bermaksud menjadikan seseorang itu suami/isteri.Cth. Puteri bongsu mempersuami pahlawan yang gagah itu. Encik Hamid memperisteri seorang gadis kampung. Memperisterikan bermaksud memberikan isteri kepada seseorang. Cth. pak tua memperisterikan Ali dengan gadis dari seberang. | Tatabahasa | 05.03.2008 |
Saya mahu dapatkan contoh ayat yang menunjukkan perbezaan maksud bagi kata memperisteri / mempersuami dan memperisterikan/ mempersuamikan.tk | Memperisteri bermaksud menjadikan seseorang isteri atau mengahwini. Memperisterikan bermaksud memberikan isteri kepada seseorang atau menjadikan seseorang beristeri. Contoh: Encik Hamid memperisteri seorang gadis kampung. Pak Tua memperisterikan Ali dengan gadis dari seberang. Begitu juga dengan maksud dan perbezaan kata mepersuami menjadikan suami dan mempersuamikan mengahwinkan (anak perempuan). Contohnya: Aminah mempersuami seorang hartawan dan sekarang Ayahanda hendak mempersuamikan anakanda dengan orang ini. | Tatabahasa | 26.02.2011 |
Merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga,Penggunaan apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan hanya sesuai untuk perkataan `memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Adakah bermaksud bahawa kata dasar tidak boleh menerima apitan ini ? | Seperti yang saudara maklumi apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper...i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Hal ini wujud hasil daripada perkembangan sesuatu bahasa selagi bahasa itu terus dituturkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. | Tatabahasa | 19.04.2009 |
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Penggunaan apitan memper-...-i tidak begitu produktif. Penggunaan apitan ini hanyalah bagi perkataan `memperingati`, `memperkawani`,`mempersuami`, dan `memperisteri`. Adakah bermaksud kata dasar lain jika menerima apitan ini dikatakan salah? | Seperti yang saudara maklumi apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper...i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Hal ini wujud hasil daripada perkembangan sesuatu bahasa selagi bahasa itu terus dituturkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. | Tatabahasa | 19.04.2009 |
Menurut TD Edisi Ketiga, m/s 211. Imbuhan apitan `memper-...-i' tidak begitu produktif. Setakat ini hanya bentuk yang berikut yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-...-i, iaitu memperingati, mempersuami dan memperisteri. Adakah tiga perkataan di atas sahaja yang boleh menerima imbuhan memper-...-i ? | Merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, antara perkataan lain yang boleh menerima imbuhan memper...i ialah peroleh, perbaiki, perkuasai, perdalamai, perakui, persetujui, perhalusi. Untuk keterangan lanjut, sila rujk muka surat 212 buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 13.04.2010 |
askm Soalan 1)Pak Latip sering diundang untuk_________gesekan biolanya dalam majlis keramaian yang besar-besar. a)mendengari b)mendengarkan c)memperdengar d)memperdengarkan soalan 2)Pak Amit akan ______anak sulungnya dengan seorang pegawai tentera. a)mempersuamikan b)mempersuami c)bersuamikan d)bersuami tolong berikan jawapan yang betul beserta alasannya tarima kasih | 1. Memperdengarkan. 2. mempersuamikan. | Tatabahasa | 07.05.2010 |
Bagaimana nak mengenali perkataan(membezakan penggunaan) yang mempunyai imbuhan memper...i , memper...kan. dan pasifnya. Bezakan penggunaan me...i dengan me..kan | Apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper-...-i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Apitan memper-...-kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama. Apitan memper-...-kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan dalam maksud kata kerja, manakala apitan memper-...-kan dengan kata nama membawa maksud kausatif seperti mempercabangkan (menjadikan bercabang) dan memperhambakan (menjadikan diri seperti hamba). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 208 dan 2011. Apitan men-...-i dan men-...-kan membentuk kata kerja terbitan yang bersifat transitif, iaitu kata kerja yang memerlukan objek. Contohnya: Ibu menidurkan adik dan Ahmad menjalani kursus selama tiga hari. Kata adik dan kursus dalam kedua-dua ayat tersebut menjadi objek yang melengkapkan ayat. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191 dan 202. | Tatabahasa | 14.09.2011 |
Polis menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua orang lelaki, yang dipercayai digunakan dalam satu rompakan kedai emas. Soalan: Mengapakah perkataan "dipercayai" boleh digunakan dalam ayat tersebut? ini kerana kalau diaktifkan imbuhan "diper....i" akan menjadi "memper...i", sedangkan imbuhan "memper...i" hanya boleh menerima empat perkataan iaitu "memperingati, mempersuami, memperisteri, memperkawani". | Ungkapan 'dipercayai' dalam ayat tersebut boleh digunakan kerana perkataan tersebut menggunakan imbuhan di-...-i bukannya diper-...-i. Kata dasar perkataan tersebut ialah percaya bukannya caya. Sekiranya perkataan tersebut hadir dalam ayat aktif transitif ia akan menerima apitan meN-...-i, iaitu mempercayai bukannya mempeR-...-i. | Tatabahasa | 20.09.2007 |
(1) Rasional berhubung penggunaan "peroleh" tanpa "i" manakala "didapati" boleh menggunakan "i". (2) Perbezaan antara "skop" dan "spesifikasi". adakah perbezaan antara keduanya. (3) Istilah "berkuat kuasa"..kenapa perlu dua perkataan. adakah perkataan "berkuat" itu boleh tersendiri.. Segala perhatian amat dihargai. TK | 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) 2. Perkataan skop dan spesifikasi ialah dua perkataan yang mempunyai makna yang berbeza. Skop bererti bidang yg diliputi, ruang liputan, ruang lingkup. Spesifikasi bererti butiran terperinci yg ditentukan (dinyatakan) untuk sesuatu, perincian (tentang sesuatu). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.3. Kata majmuk ialah kata yang terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Ada beberapa kata majmuk yang telah mantap dieja bercantum. Contohnya:tandatangan, tanggungjawab. Apabila kata majmuk ini menerima awalan, kata dasarnya dieja terpisah, tetapi apabila menerima apitan, kata dasarnya dieja bercantum. Contohnya: Kuat kuasa, berkuat kuasa, dikuatkuasakan. | Tatabahasa | 01.06.2011 |
Merujuk ulasan tuan tentang soalan 93. Tuan menyatakan bahawa ' antara perkataan yang lain yang boleh menerima imbuhan memper...i ialah peroleh, perbaiki...' . Sepatutnya 'oleh' menerima memper...i, ' baik' menerima 'memper...i'. Walau bagaimanapun, ' memperolehi' memperbaiki' memperkuasai', 'dll ( rujuk TD Ketiga, m/s 212 ) dikatakan bentuk yang lewah yang seharusnya dieja sebagai (memperoleh), (membaiki), menguasai dll. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa' lewah' membawa maksud berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dsb yang tidak perlu . Jadi 'memperolehi' adalah salah penggunaan imbuhan. 'Oleh' sebagai kata sendi nama hanya menerima 'memper...' bukan memper... i' (TD Edisi ketiga m/s 180) | Apitan memper-.....-i wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk yang berikut yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-.....-i ini, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami, dan memperisteri. Bentuk mempersuami dan memperisteri sebenarnya berbentuk mempersuamii dan memperisterii tetapi telah berlaku pengguguran satu huruf i dalam kedua-dua perkataan ini. Bentuk yang lazim digunakan dengan apitan memper-...-i seperti memperolehi, memperbaiki, memperkuasai, memperdalami, memperakui, mempersetujui dan memperhalusi merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk terbitan di atas seharusnya menerima awalan meN- atau memper-, apitan men-...-i atau apitan memper-...-kan, seperti yang berikut: memperolehi seharusnya memperoleh, memperbaiki seharusnya memperbaik, memperkuasai seharusnya menguasai, memperdalami seharusnya mendalami, memperakui seharusnya mengakui/memperakukan, mempersetujui seharusnya menyetujui, memperhalusi seharusnya menghalusi. Kami memohon maaf atas kekeliruan jawapan yang diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 19.04.2010 |