minta pecerahan lanjutan tentang penggunaan perkataan "menatang". Sila rujuk file. terima kasih | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 2268-2269, menatang bermaksud membawa atau meletakkan sesuatu di atas tapak tangan. Penggunaan perkataan menatang tidak sahaja digunakan dalam konteks menatang dulang sahaja, tetapi boleh digunakan dalam konteks lain, seperti “menatang sepinggan pisang goreng” dan “menatang semangkuk mi sup”. Kedua-dua ayat yang berikut betul dan boleh digunakan: 1. Pak Cik Wei Han menatang pinggan-pinggan untuk dicuci. 2. Pak Cik Tee menatang dulang dengan berhati-hati. Manakala, ayat “Ali menatang makanan yang dijual di kantin” diberikan penambahbaikan kepada “Ali menatang sepiring makanan yang dijual di kantin.” | Makna | 28.09.2024 |
Yang manakah adalah betul ? 1. Puan Siti menatang dulang yang berisi kuih-muih untuk dihidangkan kepada para tetamu. 2. Puan Siti menatang dulang yang berisi kuih-muih untuk para tetamu. 3. Puan Siti menatang dulang yang berisi kuih-muih kepada para tetamu. | Yang betul ialah Puan Siti menatang dulang yang berisi kuih-muih untuk dihidangkan kepada para tetamu. | Tatabahasa | 02.03.2019 |
Adakah ayat ini betul? Kakak sedang menatang sepinggan sate untuk tetamu yang datang. | Ayat tersebut betul kerana menatang bermaksud membawa sesuatu di atas tapak tangan seperti frasa "menatang sedulang kopi". | Tatabahasa | 30.08.2014 |
Bolehkah peribahasa bagai menatang minyak yang penuh digunakan dalam karangan jenis autobiografi. Misalnya, Aku sepasang kasut. Contoh ayatnya. Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Terima kasih. | Penggunaan peribahasa dalam ayat "Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh" adalah betul. Tidaklah menjadi suatu kesalahan menggunakan peribahasa dalam penulisan asalkan disesuaikan dengan maknanya dengan konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 10.08.2011 |
Adakah ayat ini betul? 1. Leela dan Siti masing-masing menatang sedulang air minuman. | Leela dan Siti masing-masing menatang dulang air minuman. | Tatabahasa | 02.03.2013 |
Salam sejahtera, 1.Puan Noridah menghidangkan makanan kepada /untuk ahli keluarganya.(kepada atau untuk) 2.Puan Noridah menatang makanan kepada/ untuk ahli keluarganya. 3. Sofia mengikat beg plastik sampah/ plastik sampah. (beg plastik sampah/ plastik sampah) Terima kasih. | Ayat yang betul ialah (1). "Puan Noridah menghidangkan makanan untuk ahli keluarganya”, (2). "Puan Noridah menatang makanan untuk ahli keluarganya" dan (3). "Sofia mengikat “beg plastik sampah.” | Tatabahasa | 14.06.2022 |
Yang manakah betul? 1. Seorang pengawas ( meneguri / menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju / dan menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (prestasi / persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal ( dengan / bersama-sama ) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan / prestasi) peserta yang berpidato di atas pentas. | 1. Seorang pengawas (menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal (bersama-sama) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan) peserta yang berpidato di atas pentas. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang ayat-ayat berikut: 1. Ibu menatang sedulang minuman dengan berhati-hati. 2. Ali mengikat surat khabar lama dengan rajin. Adakah kata adjektif yang digunakan dalam ayat (1) dan (2) betul? Apakah cadangan tuan/puan tentang kata adjektif yang sesuai untuk digunakan dalam ayat-ayat tersebut? Terima kasih. | Ayat pertama betul, namun ayat kedua dibetulkan menjadi Ali mengikat surat khabar lama dengan kemas. | Tatabahasa | 18.02.2015 |
Salam sejahtera. Adakah ayat ini betul: "Ali menjaga begnya dengan baik bagai menatang minyak yang penuh." Terima kasih. | Penggunaan peribahasa dalam ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 28.05.2017 |
Tuan, saya ingin bertanya tentang perkataan 1. "menerangkan" adakah perkataan ini ialah kata kerja transitif atau tak transitif? Selepas menerangkan, mestikah diikuti dengan objek? Contoh : i) Cikgu Hanif menerangkan tentang bentuk muka bumi kepada murid-murid. ii)Cikgu Hanif menerangkan bentuk muka bumi kepada murid-murid. Ayat yang mana betul, i atau ii ? 2. Perkataan "berisi" Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, berisi bermaksud :3. = berisikan mengandungi, bermuat: baldi yg ~ air mandi; Dalam keadaan ini, selepas perkataan berisi, perlukah diikuti dengan perkataan "dengan"? Contoh : i) Saya menatang dulang yang berisi dengan makanan. ii) Saya menatang dulang yang berisi makanan. Ayat mana satu yang betul, i atau ii ? Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu kepada tuan. | 1. Perkataan menerangkan merupakan kata kerja aktif transitif, iaitu kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ayat yang betul ialah ayat (ii) 2. Mengikut Kamus Dewan Perdana, berisi dalam konteks ayat yang diberikan bermaksud ada seseorang atau sesuatu di dalamnya. Ayat yang betul ialah ayat (ii) | Tatabahasa | 24.11.2021 |