Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[men.ca.dang.kan] | منچادڠکن

Definisi : 1. mengemukakan sesuatu pendapat utk dipersetujui (dipertimbangkan dsb), mengusulkan, menyarankan, mengan­jurkan: Menteri Buruh akan ~ supaya rang undang-undang itu dibaca bagi kali yg ketiga; 2. mencalonkan: dgn tiada pilih-memilih lagi, Serang Sakar telah ~ Si Tenggang bagi memenuhi jawatan tandil itu; Ali ~ Jamal sbg setiausaha kehormat persatuan itu; 3. menyediakan (menyimpan) sesuatu (utk digunakan apabila perlu): seramai tiga puluh ribu orang dicadangkan utk memperkuat pertahanan negara; 4. menguntuk­kan (harta, wang, dsb) utk penggunaan sesuatu atau seseorang: kawasan tanah itu dicadangkan utk bekas-bekas perajurit; 5. memper­siapkan, merancang, merencanakan, merangka: ~ strategi serangan; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[men.ca.dang.kan] | منچادڠکن

Definisi : 1 mengeluarkan fikiran; mengusulkan; menyarankan: Ia ~ supaya perkara itu disiasat terlebih dahulu. 2 mengemukakan (seseorang) sbg calon: Ia ~ Adli sbg bendahari persatuan itu. 3 menyediakan atau menyimpan sesuatu utk kegunaan apabila perlu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata mencadangkan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Adakah "mencadangkan bahawa" betulFrasa yang betul ialah "mencadangkan agar" atau "mencadangkan supaya"Tatabahasa11.06.2023
Saya ingin mencadangkan nama "labi-labi kepak" sbg terjemahan bg "flapshell turtle". PENERANGAN: "flapshell turtle" ini ialah kelompok kura-kura dalam subkeluarga Cyclanorbinae yg merangkumi genus "Cyclanorbis", "Cycloderma" dan "Lissemys". Ia tergolong dlm keluarga Trionychidae yg dikenali sbg "labi-labi" atau "softshell turtle" tetapi tidak tempatan di Asia Tenggara. Ia disebut sbg "flapshell" kerana mempunyai bahagian menyerupai cuaran atau kepak pada plastronnya. Maka, "softshell turtle" akan diterjemahkan sebagai "labi-labi" sedangkan "flapshell turtle" diterjemahkan sebagai "labi-labi kepak".Terima kasih atas padanan bahasa Melayu yang disarankan. Pihak kami mengambil perhatian tentang istilah tersebut. Saran kata boleh dibuat melalui pautan http://ekamus.dbp.gov.my/DaftarKata.aspx.Lain-lain30.05.2024
Saya ingin mencadangkan terjemahan istilah. Caretaker Government = Kerajaan Pemangku. Interim Government = Kerajaan Sementara. Ini kerana wujud perbezaan antara dua istilah ini. Caretaker memiliki kuasa yg terhad sementara interim pula memiliki kuasa penuh tetapi tempoh masa yang terhad.

Untuk makluman puan, ahli jawatankuasa istilah semasa Dewan Bahasa dan Pustaka telah bersetuju dengan istilah caretaker government sebagai kerajaan sementara. Terima kasih atas cadangan tersebut, kami ambil maklum cadangan puan untuk dibincangkan semula kepada pihak yang berkenaan.

Penyemakan dan penterjemahan19.08.2021
Saya ingin mencadangkan nama penguin ditukar kepada itik salji.Terima kasih atas cadangan yang diberikan. Namun begitu, penggunaan nama haiwan "penguin" telah mantap dan diterima umum.Makna06.01.2020
Saya mencadangkan supaya pihak DBP dapat memberi nasihat kepada KTM Berhad berhubung penggunaan kosa kata "shuttle" seperti yang dilampirkan. Mungkin penggunaan kosa kata "ulang-alik" kurang sesuai. Adakah pihak DBP boleh mencadangkan kosa kata lain yang sesuai?Frasa "Shuttle Timuran" dan "Shuttle Tebrau" merupakan nama laluan untuk perkhidmatan KTM yang didaftarkan. Walau bagaimanapun, pihak kami mencadangkan padanan bahasa Melayu yang sesuai ialah "Ekspres Tebrau" dan " Ekspres Timuran" atau "Kereta Api Tebrau" dan "Kereta Api Timuran".Penyemakan dan penterjemahan17.07.2021
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bolehkah pihak tuan memilih, membetulkan dan menjelaskan mengapa anatara ayat yang yang berikut lebih gramatis: Ahmad mencadangkan perkataan "bahawa" ditukarkan kepada "agar". atau Ahmad mencadangkan supaya perkataan "bahawa" ditukarkan kepada "agar". Terima kasih.Ayat yang tepat ialah "Ahmad mencadangkan perkataan 'bahawa' ditukarkan kepada 'agar'". Perkataan "supaya" merupakan kata hubung pancangan keterangan yang digunakan untuk menghubungkan klausa yang menjadi keterangan harapan atau tujuan kepada klausa utama.Tatabahasa24.03.2023
1. Saya akan mencadangkan mereka tidak bermain di tangga agar kecederaan dapat dielakkan. 2. Saya akan mencadangkan agar tidak bermain di tangga untuk mengelakkkan kecederaan. Yang manakah merupakan ayat yang betul? Mengapakah? Sila jelaskan. Terima kasih.
Ayat yang sesuai digunakan ialah:
Jangan bermain di tangga bagi mengelakkan berlaku kecederaan.
atau
Untuk menghindari kecederaan, elakkan bermain di tangga.
Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 432 – 575.
Tatabahasa08.08.2024
Mereka mencadangkan untuk belanja kawan -kawan Maniam di restoran di hotel mereka. Adakah struktur ayat tersebut betul?Struktur ayat yang betul ialah: Mereka mencadangkan untuk membelanja makan kawan-kawan Maniam di restoran, hotel mereka. Tatabahasa26.07.2021
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bolehkah Tuan/Puan mencadangkan padanan bagi kata "chatting online?" Terima kasih.Pihak kami mencadangkan chatting online diterjemahkan kepada berbual melalui talianPenyemakan dan penterjemahan27.08.2018
Assalamualaikum wbt dan salam sejatera tuan/puan, 1) Mohon bantuan untuk mencadangkan terjemahan "rape culture" dalam bahasa Melayu. 2) Mohon bantuan juga untuk mencadangkan terjemahan bagi "victim precipitation" dalam bahasa Melayu. Terima kasih.Cadangan padanan bahasa Melayu bagi istilah rape culture ialah budaya rogol dan istilah victim precipitation ialah dorongan mangsa. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu.Istilah27.02.2024
12345678910...

Kembali ke atas