"Encik Arif menceritakan tentang punca berlakunya banjir di Kelantan." Adakah rangkai kata 'menceritakan tentang punca berlakunya...." itu salah? Kalau salah ,tolong jelaskan , | Farsa menceritakan tentang ..., ... bertanyakan tentang ... adalah tidak gramatis kerana menceritakan, iaitu kata kerja transitif yang mesti diikuti dengan kata nama sebagai objeknya. Perkataan tentang ialah kata sendi nama yang digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. | Tatabahasa | 14.07.2013 |
Salam sejahtera Tuan/ Puan , Saya ingin bertanya tentang penggunaan kata " bahawa " . 1) ... menceritakan bahawa ... (adakah penggunaan kata bahawa tersebut gramatis & sebabnya ?) Cth ayat : Abu menceritakan bahawa kejadian tersebut berlaku di rumahnya. 2. a) ... menceritakan tentang ... (penggunaan kata yang tidak gramatis, betul ? ) Penggunaan " akan " tidak harus disusuli dengan " tentang " - ayat kata kerja Transitif (SKO - Subjek, Kata Kerja, Objek) . Cth ayat : Ali menceritakan tentang kejadian yang berlaku pada seorang kawannya. Bagaimana pula dengan " ... bertanyakan tentang " ? Cth ayat : Ali bertanyakan tentang khabar berita seorang kawannya. Terima kasih & maafkan saya sekiranya mengganggu. ChoyHH | 1. ... menyatakan bahawa ... adalah gramatis - bahawa boleh hadir dalam klausa komplemen. 2. ... menceritakan tentang ..., ... bertanyakan tentang ... adalah tidak gramatis kerana menceritakan, iaitu kata kerja transitif yang mesti diikuti dengan kata nama sebagai objeknya. Kata terbitan menceritakan hasil daripada apitan meN-...-an + cerita, bukan mencerita + akan (kan). Begitu juga halnya dengan kata berceritakan, iaitu kata kerja transitif yang mesti diikuti dengan kata nama, bukannya bercerita + akan (kan). | Tatabahasa | 08.02.2011 |
Nenek bercerita/menceritakan tentang kisah "labu dan Labi". bercerita atau menceritakan yang betul. Mengapa? | Nenek bercerita tentang kisah Labu dan Labi atau Nenek menceritakan kisah Labu dan labi. Ayat pertama ialah ayat tak transitif manakal ayat kedua ialah ayat transitif. | Tatabahasa | 06.03.2007 |
Tuan, berikut merupakan ayat-ayat yang say ingin tanya. 1. Dia menceritakan semula kisah sedihnya. 2. Dia menceritakan kisah sedihnya semula . Kedua-dua ayat berikut manakah yang betul? Jika kedua-dua betul, sila membezakan maknanya. 1. Awak memberitahu saya yang awak akan melancong ke Pulau Tioman pada hujung minggu ini. 2. Walaupun sudah bertahun meninggalkan kampung pekarangan dengan berhijrah ke Kanada, tetapi nilai ketimuran tetap menjadi pegangannya. Terima Kasih. | 1. Dia menceritakan kisah sedihnya semula. "Menceritakan" ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti dengan objek, iaitu "kisah sedihnya". 2. Awak memberitahu saya yang awak akan melancong ke Pulau Tioman pada hujung minggu ini. Ayat ini betul. 3. Walaupun sudah bertahun meninggalkan pekarangan dengan berhijrah ke Kanada, tetapi nilai ketimuran tetap menjadi pegangannya. | Tatabahasa | 16.05.2012 |
apa beza antara ayat ini :::: AYAT (1)Ahmad bercerita tentang kisah hidup silam ::::::AYAT (2)Ahmad menceritakan tentang kisah hidup silam::::::::::::::AYAT (3)Ahmad mencerita tentang kisah hidup silam:::::::: Tolong beri penjelesan yang sempurna !!!!!! | (1) Ahmad bercerita tentang kisah hidup silam. (2) Ahmad menceritakan tentang kisah hidup silam. (3) Ahmad mencerita tentang kisah hidup silam. Ketiga-tiga ayat tersebut mempunyai persamaan makna cuma berbeza dari segi penggunaan kata terbitan (dari kata dasar cerita). Bercerita bermaksud mengisahkan sesuatu cerita, manakala menceritakan bermaksud mengisahkan sesuatu kepada ..., oleh itu ayat kedua perlu dilengkapkan "Ahmad menceritakan tentang kisah hidup silam kepada anak-anaknya". Walau bagaimanapun ayat (3) tidak tepat dari segi pembentukan kata "mencerita". | Tatabahasa | 02.06.2009 |
Assalamualaikum Wbrt. Tuan Harap dapat penjelasan terperinci kenapa ayat di bawah salah: 1) Kejadian gempa bumi itu telah mengorbankan banyak nyawa. 2) Tokoh ilmuan itu menceritakan tentang kenangan beliau ketika menuntut di universiti. 3) Kerja-kerja menghias bilik itu telah disiapkan oleh kami sebentar tadi. 4) Rancangan untuk memperindahkan tamannya terpaksa ditangguhkan kerana menghadapi masalah kewangan. Atas penjelasan tuan itu, didahului dengan ucapan terima kasih. Izani b. Hj. Daud. | 1) Kejadian gempa bumi itu telah mengorbankan banyak nyawa. - subjek ayat tidak perlu didahului kata kejadian. 2) Tokoh ilmuan itu menceritakan tentang kenangan beliau ketika menuntut di universiti. - kata menceritakan tidak tepat dari segi makna ayat, sebaliknya ganti dengan perkataan lain seperti ... mengimbau kenangan ketika beliau ... 3) Kerja-kerja menghias bilik itu telah disiapkan oleh kami sebentar tadi. - Ayat pasif diri pertama tidak menerima bentuk pasif di-... + oleh seperti kata ganti nama diri ketiga. 4) Rancangan untuk memperindahkan tamannya terpaksa ditangguhkan kerana menghadapi masalah kewangan. - memperindah, bukan memperindahkan | Tatabahasa | 08.03.2012 |
1. Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan 'atas'? Contoh: Atas kerjasama tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Dan kalau ayat itu betul, dalam situasi yang manakah, ayat menjadi salah jika dimulakan dengan 'atas'? 2. Kata kerja transitif mesti diikuti dengan objek. Contoh: Ali menceritakan kisah itu. Ayat itu menjadi salah jika ayat begini: Ali menceritakan tentang kisah itu. Menjadi kekeliruan jika kata kerja transitif begini boleh pula dibenarkan. Contohnya: Dia menerangkan bahawa... ATAU Dia mencadangkan supaya.... | Saudara, 1. Ayat ini betul. Ayat ini salah apabila dimulakan dengan di atas. 2. Dalam ayat transitif kata kerja transitif diikuti oleh objek, seperti dalam ayat 'Dia menceritakan kisah itu'. Dalam ayat 'Dia menerangkan bahawa murid itu telah pulang ' , bahawa murid itu telah pulang merupakan objek kepada kata kerja transitif 'menerangkan' dan ayat bahawa murid itu telah pulang seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 13.11.2009 |
perkataan yang paling tepat untuk menceritakan pengkisahan seseorang dari kecil hingga bersara dalam perkhidmatan | Saudara Tajmohd, Kami cadangkan frasa berikut: i. bingkisan budi dalam kenangan ii. coretan dalam kenangan iii. catatan memori | Lain-lain | 16.07.2009 |
assalamualaikum, saya sedang mengusahakan projek menulis sebuah novel yang menceritakan tentang perihal hang tuah dan rakan-rakannya di masa hadapan. untuk itu saya memerlukan rujukan-rujukan buku yang boleh dibaca untuk memberikan informasi dan latar belakang untuk menulis novel tersebut. saya berharap pihak DBP dapat menyenaraikan buku-buku yang boleh saya dapatkan sebagai rujukan. terima kasih. | Untuk merujuk pelbagai karya/makalah yang berkaitan dengan Hang Tuah, sila rujuk Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), DBP atau perpustakaan yang lain seperti Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan di IPTA. Untuk ke PDM saudara perlu menjadi ahli terlebih dahulu dan boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan di sana. Saudara juga boleh menggunakan kemudahan di laman web kami www.dbp.gov.my dan klik Katalog Awam dalam Talian untuk melihat senarai buku yang berkaitan. | Lain-lain | 29.11.2011 |
1. Adakah perkataan 'jarang' boleh dimaksudkan sebagai 'kadang-kadang'? 2. -menceritakan tentang/mendoakan agar dianggap salah kerana KKTransitif perlu diikuti dengan objek. Bagaimana dgn ayat seperti yg berikut: mencadangkan supaya/menyatakan bahawa/memaklumkan bahawa? 3. Bolehkan 'ia' dirujuk kepada haiwan, sedangkan tiada dinyatakan dalam Kamus Dewan, 'ia' boleh digunakan utk haiwan? | 1. Perkataan jarang juga bermaksud kadang-kadang kerana terdapat persamaan makna antara kedua-dua perkataan tersebut, iaitu tidak kerap. 2. Kata kerja transitif diikuti oleh objek, seperti dalam ayat "Dia memaklumkan bahawa murid itu telah pulang" - bahawa murid itu telah pulang merupakan objek kepada kata kerja transitif memaklumkan dan ayat bahawa murid itu telah pulang seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. 3. Ia selain kata ganti nama diri ketiga juga kata ganti benda yang dibicarakan. Merujuk makna yang tersebut ia boleh digunakan untuk benda yang dibicarakan termasuklah binatang. | Tatabahasa | 11.06.2010 |