penggunaan kata ganti diri dan bahasa sapaan mencerminkan kedudukan seseorang itu dalam kekeluargaan serta kedudukanny dalam masyarakat amnya,sejauh manakah anda bersetuju dengan kenyataan yang tersebut di atas? | Kata nama diri dan sapaan digunakan mengikut kedudukan seseorang dalam keluarga dan masyarakat. Ini menunjukkan hierarki kedudukan berdasarkan usia dan susun galur seseorang dalam keluarga atau rajah keluarga ataupun gelaran yang diterima berdasarkan pangkat, sumbangan dan anugerah. Bagi mendapatkan keterangan lanjut berkenaan kata ganti diri dan sapaan , sila rujuk buku Tatabahasa Dewan dan buku-buku tatabahasa bahasa Melayu di pasaran. | Lain-lain | 05.09.2007 |
Berdasarkan karya sastera yang anda kaji, sejauh manakah karya tersebut dapat mencerminkan kehidupan masyarakat. adakah soalan yang saya bina ini berketepatan dengan bahasa. | 1. Perkataan "Berketepatan" tidak tepat. Yang sesuai ialah "bertepatan" 2. Ayat yang tuan bina itu betul dari segi bahasa. | Lain-lain | 07.04.2015 |
Saya ingin mendapatkan rujukan bagi saya menamakan ruangan/bilik-bilik di Istana yang mencerminkan imej Istana Negara sebagai institusi Diraja. | Penamaan bilik atau dewan boleh dibuat berdasarkan nama yang berkaitan dengan diraja seperti nama-nama sultan/Yang Dipertuan Agong, nama klasik di istana zaman dahulu, bunga, tumbuhan, bintang, batu permata dan sebagainya bergantung pada konsep yang hendak ditonjolkan. DBP ada menerbitkan buku Garis Panduan Menamai Syarikat, bangunan, kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan sebagai panduan umum dalam penamaan tempat awam. Walau bagaimanapun jika puan memilih untuk menamakan bilik dengan konsep yang tertentu, silalah rujuk buku yang berkaitan. | Lain-lain | 27.06.2012 |
Kegagalan murid merangka isi-isi penting dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. | Dalam sesuatu penulisan, aspek yang penting ialah isi. Kekuatan isi akan mencerminkan pemikiran dan keseluruhan penulisan yang dihasilkan. Murid-murid perlu didedahkan untuk mengenal pasti antara isi dengan huraian. Murid-murid perlu banyak membaca dan membuat rujukan untuk mencari isi bagi karangan. Dengan pembacaan, murid-murid akan mudah merangka isi dan mendapai idea untuk menghasilkan penulisan. | Tatabahasa | 31.03.2013 |
Isu kesantunan bahasa yang digunakan masa kini, adakah bahasa yang digunakan tidak melambangkan bahasa melayu yang baik, contohnya sidang parlimen sekarang yang tidak mencerminkan budaya dan bahasa melayu yang sebenar? | Dalam konteks rasmi pengguna disarankan menggunakan bahasa tinggi sesuai dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, lebih-lebih lagi di dewan yang mulia dan penghuninya terdiri daripada kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat sewajarnyalah menggunakan bahasa tinggi. Bahasa Melayu lengkap dengan kosa kata yang elok dan baik untuk penggunanya dan terserah kepada penuturnya untuk membuat pilihan dan kerana kera itulah banyak disebut orang Bahasa Menunjukkan Bangsa. Terima kasih. | Lain-lain | 31.12.2008 |
Mengapakah kata 'diayah' dianggap baku dan 'dakyah' tidak baku walhal dalam korpus DBP sendiri kata dakyah melebihi penggunaan diayah? Apakah hujah memilih diayah sebagai ejaan baku? (yang langsung tidak mencerminkan penggunaan lazim masyarakat). | Perkataan diayah ialah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Ejaan diayah dianggap baku kerana pembentukan ejaan ini mengikut pedoman/ panduan yang ditetapkan dalam buku Pedoman Transliterasi Perkataan Arab ke Ejaan Rumi edisi kedua terbitan DBP. Ejaan dakyah wujud sebelum ini dan terakam dalam korpus DBP kerana ia lazim digunakan dalam masyarakat dan pada waktu tersebut belum wujud Pedoman Transliterasi perkataan Arab ke ejaan Rumi. | Ejaan | 21.11.2018 |
Untuk pengetahuan, saya akan menulis tesis sarjana berkaitan bidang sains dan kejuruteraan didalam bahasa melayu. Maka, saya ingin menghasilkan karya yang menggunakan istilah yang tepat dan struktur yang lebih sempurna agar tesis ini dapat mencerminkan keindahan bahasa melayu dalam penulisan akademik. Bagaimana pihak DBP dapat membantu saya? Mungkin ada buku atau dokumen yang boleh dijadikan rujukan. Harap dapat membantu. | Dalam penggunaan kata dan ejaan yang betul kami cadangkan saudara gunakan Kamus Dewan. Untuk mengenal pasti penggunaan istilah yang tepat kami cadangkan saudara gunakan daftar istilah dan glosari yang berkaitan seperti Istilah Kejuruteraan, DBP, 1970; Istilah Kejuruteraan Pengajian Tinggi: Bahasa Inggeris - Bahasa Malaysia, DBP, 1987; Istilah kejuruteraan : bahasa Inggeris - bahasa Malaysia, DBP, 2008; dan Kamus kejuruteraan awam, DBP, 2006. Data daripada kamus, daftar istilah dan glosari ini boleh diperoleh melalui laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan tuliskan kata/istilah yang diperlukan dalam ruangan carian spesifik dan saudara akan dapat melihat data daripada pelbagai sumber. Untuk memastikan ayat yang digunakan adalah betul rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Lain-lain | 17.07.2011 |
Saya pernah mengajukan soalan mengenai terjemahan khusus bagi isilah 'pinky swear'. Pinky swear sebagaimana yang saya fahami adalah perbuatan menyilangkan anak jari antara dua orang apabila berjanji tentang sesuatu perkara. Tetapi apabila hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, tiada istilah khususkah yang mencerminkan perbuatan pinky swear? Contoh: A mutual agreement was made today, sealed with a pinky swear. | Berdasarkan carian kami perkataan pinky swear juga disebut pinky promise. Melihat kepada perbuatan dua orang sahabat menyatakan pinky swear itu (dengan melilitkan jari kelingking antara satu sama lain menandakan persetujuan terhadap janji yang dibuat), kami mencadangkan perkataan janji sahabat atau janji setia digunakan. Tidak ada padanan pinky swear dalam bahasa Melayu, oleh itu kita boleh mencadangkan padanan berdasarkan konsep dan penggunaannya. | Istilah | 07.03.2012 |
Sime Darby Auto Performance dengan bangganya mengalu-alukan kedatangan anda ke Porsche Centre 3S yang terbesar di Malaysia. Lokasi strategik yang terletak berhampiran dengan pusat perdagangan Kuala Lumpur, Porsche Centre Sungai Besi terbaru mudah dihubungi melalui rangkaian lebuhraya utama. Bangunan ikonik ini tersergam megah di pusat Kuala Lumpur, dilengkapi dengan peralatan yang terkini, kemewahan Porsche Centre Sungai Besi jelas mencerminkan gaya Porsche. Porsche Centre Sungai Besi terbaru mengalukan anda dipersonakan di dalam dunia Porsche. Kunjungi kami hari ini untuk mengalami 911 Targa 4S dan rangkaian Cayenne baharu di Porsche Centre Sungai Besi. | Sime Darby Auto Performance dengan bangganya mengalu-alukan kedatangan anda ke Porsche Centre 3S yang terbesar di Malaysia. Lokasi strategik yang terletak berhampiran dengan pusat perdagangan Kuala Lumpur. Porsche Centre Sungai Besi terbaru mudah dihubungi melalui rangkaian lebuh raya utama. Bangunan ikonik ini tersergam megah di bnandar raya Kuala Lumpur dan dilengkapi dengan peralatan yang terkini. Kemewahan Porsche Centre Sungai Besi jelas mencerminkan gaya Porsche. Porsche Centre Sungai Besi terbaru mengalu-alukan kedatangan anda ke dunia Porsche. Kunjungi kami hari ini untuk mengalami 911 Targa 4S dan rangkaian Cayenne baharu di Porsche Centre Sungai Besi. | Tatabahasa | 01.06.2015 |
Selamat sejahtera tuan/puan, Ini berkenaan ejaan bahasa yang saya rasa kurang baik maksudnya. Ejaan tersebut mungkin boleh diubah agar leih tepat lagi. Saya mohon pihak tuan/puan meneliti perkataan tersebut & buat perubahan yang positif. Perkataan tersebut Ialah melayu. Jika di lihat daripada perkataan me maksudnya sedang, layu saya rasa tuan/puan tahu maksudnya. Jika dilihat disini maksud disebalik perkataan melayu ialah sedang layu ejaan yang kurang baik untuk mencerminkan bangsa. Cadangan saya perkataan itu ditukar ejaannya ke mlayu yang saya rasa mencerminkan bangsa dan tiada maksud yang lain selain daripada nama sesuatu bangsa. Sekian harap maaf jika ini menyebabkan rasa kurang senang tuan/puan. Niat saya adalah untuk keutuhan bahasa yang dijunjung. | Tuan Net, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP, Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Pada pandangan saya tuan sepatutnya tidak menyempitkan makna perkataan melayu itu, memang betul makna layu ialah tidak bermaya namun saya rasa banyak perkataan lain yang melambangkan bangsa lain didunia ini membawa makna yang negatif dalam bahasa Melayu, namun kita tidak pernah mempertikaikannya. Saya sebagai seorang Melayu, cukup berbangga dengan nama ini. Jadi janganlah soal remeh seperti ini ditimbulkan. Terima kasih. | Makna | 04.06.2009 |