1.Amirah mencuba menceriakan kelasnya dengan pelbagai hiasan. 2. Yang mana betul menggarisi perkataan atau menggariskan perkataan. 3. mengajarkan bahasa Melayu atau mengajar bahasa Melayu. Yang mana betul. terima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberi. | 1. Amirah mencuba menceriakan kelasnya dengan pelbagai hiasan. Amirah cuba menceriakan kelasnya dengan pelbagai hiasan. 2. Yang mana betul menggarisi perkataan atau menggariskan perkataan. Menggariskan perkataan... 3. mengajarkan bahasa Melayu atau mengajar bahasa Melayu. mengajarkan bahasa Melayu.
| Tatabahasa | 18.03.2013 |
Salam sejahtera, Saya ingin bertanya..antara ayat di bawah, yang manakah paling tepat?Dan apakah alasannya (betul/salah) bagi setiap ayat contoh tersebut? 1. Saif sedang cuba untuk mengait pokok kelapa yang tinggi itu. 2. Saif sedang mencuba mengait pokok kelapa yang tinggi itu. 3. Saif sedang mencuba untuk mengait pokok kelapa yang tinggi itu. 4. Saif sedang cuba mengait pokok kelapa yang tingi itu. Terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah "Saif mencuba untuk mengait buah kelapa pada pokok yang tinggi itu". Dalam ayat ini, "Saif" ialah subjek ayat, "mencuba" ialah kata kerja transitif dan frasa "untuk mengait buah kelapa pada pokok yang tinggi itu" ialah klausa komplemen dan klausa komplemen ini berfungsi sebagai objek. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Awalan Kata Kerja, Kata Kerja Transitif dan Ayat Majmuk Pancangan. | Tatabahasa | 29.04.2013 |
Merujuk soalan 33 yang telah saya tanya sebelum ini iaitu ' mereka mencuba melupakan masalah itu'. Akhirnya, tuan menjelaskan bahawa ayat aktif di atas perlu dipasifkan menjadi ' Masalah itu cuba dilupakan oleh mereka'. kata ' mencuba ' (dalam ayat aktif )pula ' menjadi ' cuba' ( dalam ayat pasif). Penjelasan tuan telah saya fahami. Cuma saya ingin tahu sebab 'meN- ' itu boleh digugurkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya'meN-' akan menjadi 'di' (jika pelaku KGND ketiga ) atau tanpa imbuhan 'di" (jika pelaku KGND 1 @2). untuk makluman tuan, saya sedang berusaha menjadi Munsyi Dewan yang lebih baik. Oleh itu saya perlu rajin bertanya. Tuanlah menjadi tempat rujukan saya . Tuan juga yang menjadikan saya lebih yakin berhadapan dengan khalayak. Terima kasih. | Imbuhan meN- tidak digunakan dalam ayat pasif. Bagi ayat tersebut "cuba" ialah kata bantu, manakala "dilakukan" ialah kata kerja, maka tidak perlu kata bantu diberi imbuhan. Selain itu, ada sesetengah kata kerja tidak memerlukan imbuhan seperti "makan" dan "minum". | Tatabahasa | 30.04.2009 |
1.Bagaimanakah membetulkan ayat berikut: a. Sementara menunggu umpannya (diragut) ikan, Ahmad memenuhi masa terluang dengan membaca novel. b. Nama peguam bela yang bijak (menyelewengkan) fakta itu sudah gah ke seluruh pelosok negara sejak sedekad yang lalu. 2. Pak Ali mencuba untuk menguatkan ikatan selonggok kayu api yang dikumpulnya di dalam hutan. Adakah dikumpul salah dan digantikan dengan dikumpulkan ? 3. semangat patriolisme Adakah perkataan semangat leweh dalam frasa di atas? 4. Untuk membangunkan negara agar setanding dengan negara lain, masyarakat yang menguasai teknologi diperlukan. Adakah ayat di atas salah? Terima kasih ! | Ayat yang telah diperbetul 1- a. Sementara menunggu umpannya dimakan ikan, Ahmad memenuhi masa terluang dengan membaca novel. b. Nama peguam bela yang bijak memainkan fakta itu sudah gah ke seluruh pelosok negara sejak sedekad yang lalu. 2. Pak Ali mencuba untuk menguatkan ikatan selonggok kayu api yang dikumpulkannya di dalam hutan. 3. lewah - patriotisme sahaja telah memadai 4. Untuk membangunkan negara agar setanding dengan negara lain, masyarakat yang menguasai teknologi diperlukan. - betul | Tatabahasa | 26.09.2009 |
Salam sejahtera. Ayat-ayat yang berikut betul? 1) Kalang cuba mengangkat bungkusan simen itu. 2) Kalang mencuba mengangkat bungkusan simen itu. 3) Dia mengangkat bersama-sama Haikal. 4) Dia mengangkat bersama Haikal. 5) Dia mengangkat bersama dengan Haikal. Terima kasih. | 1. Kalang cuba mengangkat bungkusan simen itu. 2. Ayat 3, 4, dan 5 tidak gramatis kerana tiada objek. Sekiranya ada objek, ayat 3 lebih tepat. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
Apakah istilah Bahasa Melayu untuk Deed of Assignment? Adakah 1. surat ikatan penyerahhakan atau 2. surat ikatan penyerahan hak? | Sdr., istilah yang sesuai untuk Deed of Assignment ialah Surat Ikatan Penyerahhakan. Jika sdr. ada persoalan yang lain, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari www.prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Selamat mencuba. | Lain-lain | 04.11.2010 |
Saya berminat untuk mngembangkan bakat atau mengisi waktu apabila melangkah ke alam persaraan dalam masa 4 tahun 1/2 lagi. Walau bagaimanapun penumpuan idea atau kecenderongan ke arah skop penulisan belum ada lagi yang kukuh. masih mencari apa bidang yang sesuai dan mengarah pemikiran untuk menampilkan cetusan idea yang boleh diisi dalam pencernaan ayat dan perkataan yang begitu mantap untuk dibaca atau ditatap oleh segelintir manusia barangkali. Aliran pemikiran dan penulisan tidak menjurus kepada trend sesiapa kerana saya ingin gaya dan kekuatan tersendiri. Apakah yang boleh dilakukan buat permulaan sekarang ? Adakah elok saya menulis artikel atau penulisan awalan untuk mengukur sejauh mana kemampuan saya . Memang betul sebagai asas saya perlu banyak membaca supaya saya tahu pelbagai jurusan penulisan serta teknik yang digunakan. Perlukah saya belajar pelbagai teknik penulisan? Kalau saya ingin penulisan saya dibukukan bagimana caranya ? | Alhamdulillah, sdr. berminat dalam bidang penulisan. Mudah-mudahan akan bertambah lagi penulis berbakat di tanah air pada masa akan datang. Dalam hal ini sdr. boleh mengasahkan bakat dalam bidang penulisan terutamanya dengan banyak membaca dan meneliti karya-karya pemenang sastera. Semua karya sdr. perlulah dihantar ke media cetak dan syarikat penrbit (akhbar, majalah, novel/buku dll.) serta media elektronik (radio dan tv) bagi tujuan penerbitan dan penyiaran. Sdr. juga digalakkan menyertai peraduan karya sastera (mengikut genre yang diminati) bagi menguji semangat, bakat dan keterampilan sdr. dalam bidang penulisan. Akhirnya, bagi mendapatkan pendedahan dan khidmat nasihat dalam bidang penulisan, sdr. bolehlan menghubungi pejabat DBP yang berhampiran. Untuk mendapatkan Khidmat Nasihat Berkarya secara dalam talian, saudari bolehlah melayari laman web DBP www.dbp.gov.my, dan klik menu perkhidmatan, saudari akan dapat khidmat bimbingan berkarya secara percuma. Selamat mencuba. | Lain-lain | 22.10.2009 |
Assalamualaikum/Salam sejahtera, 1. Boleh atau tidak perkataan TEMBUSAN digunakan sebagai ganti kata SALINAN KEPADA atau carbon copy(c.c) kerana ada negara jiran yang menggunakannya. 2. Ada jabatan pelajaran mahupun kementerian menggunakan kata GALUS untuk pelajar yang kelompok gagal dan lulus.Dalam kamus dewan saya cari tapi tidak jumpa.Oleh itu akronim tersebut diterima pakai atau tidak oleh DBP.Jika tak sesuai apa perkataan yang sesuai untuk kumpulan pelajar tersebut. 3. Di tempat kerja saya ada blok bangunan baru 3 tingkat. Paras bawah sekali dikosongkan dan disediakan sebuah pentas untuk acara-acara tertentu.Buat sementara waktu ruang tersebut diberi nama DEWAN TERBUKA. Ada cadangan untuk memberi nama baru yang lebih kreatif.Soalannya saya sesuaikah diberi nama DEWAN... atau DATARAN...atau PENTAS... atau BALAI...atau perkatan lain yang sesuai dengan fizikal tempat tersebut. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, entri tembusan mempunyai 4 takrifan, iaitu 1. sesuatu (jalan, sungai, dll) yg tembus ke; 2. sungai buatan (utk dilalui kapal dll), terusan 3. jalan yg menembusi bukit dll, terowong; 4. = ~ surat salinan surat asal. Oleh itu, entri tembusan merujuk makna ke-4 yang bermaksud salinan surat asal. Walau bagaimanapun, saudara digalakkan menggunakan frasa salinan kepada (s.k) yang digunakan dalam konteks surat rasmi di negara kita. 2. Tidak terdapat perkataan galus sebagai akronim gagal dan lulus untuk pelajar sekolah yang terakam dalam mana-mana kamus atau buku terbitan DBP. Pihak kami mencadangkan digunakan istilah lulus bagi pelajar yang lulus dan gagal bagi pelajar yang gagal. 3. Sesuai digunakan perkataan dewan kerana dewan bermaksud balai (ruang) tempat diadakan sesuatu (spt persidangan, perjumpaan, forum, ceramah, dll). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui takrifan entri dewan, balai, pentas, dataran. Saudara juga boleh melayari laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) http://prpm.dbp.gov.my untuk mencari maklumat yang diperlukan. PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sdr. hendaklah memasukkan perkataan tersebut dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Selamat mencuba. | Istilah | 23.07.2009 |
Mohon diberi penerangan tentang penggunaan frasa dalam ayat yang ditulis dalam akhbar tempatan. | Terdapat banyak kesalahan dalam ayat contoh yang diberikan termasuklah pemilihan kata yang tidak sesuai, ejaan yang salah penggunaan kata terbitan yang tidak betul, penggunaan kata sendi nama yang tidak betul, penggunaan kata tanya dalam ayat penyata dan ayat tidak lengkap. Contohnya dalam ayat 1: Sebagai sebuah negara yang muda, Malaysia mengambil langkah besar dalam mencapai kemajuan serta kemakmuran. Penggunaan kata muda dan besar tidak tepat dari segi semantik (rujuk kamus untuk melihat makna ayat), begitu juga dengan penggunaan kata sendi nama dalam tidak sesuai dengan konteks ayat. Ayat tersebut boleh dibaiki menjadi Sebagai sebuah negara yang pesat berkembang pemimpin Malaysia mengambil langkah berani demi kemajuan dan kemakmuran negara. Begitu juga dengan ayat 2: Menurut Dr. Leong, kanak-kanak belajar dengan cara bermain dan mendapat kepandaian dan keupayaan baru. Sebab itulah penting bagi menggalakkan mereka buat apa yang mereka mahu serta mencuba sesuatu benda atau perkara baru. Ayat ini boleh dibaiki menjadi Menurut Dr. Leong, kanak-kanak belajar dengan cara bermain dan berusaha mendapat kepandaian dan keupayaan baharu. Sebab itulah penting bagi ibu bapa menggalakkan mereka membuat apa yang mereka mahu serta mencuba sesuatu benda atau perkara baharu. Untuk ayat 3 - 11 sila analisis dengan merujuk buku tatabahasa dan kamus. | Tatabahasa | 09.10.2012 |
Assalamualaikum/salam sejahtera... Saudara, Saya Nurul Hannis Arba'ie dan merupakan salah seorang pelajar Kolej Mara Banting. Kini, saya sedang dalam proses untuk menyiapkan kajian saya mengenai karya-karya Faisal Tehrani. Di sini, saya mempunyai beberapa perkara yang saya harap pihak DBP dapat membantu saya untuk menyiapkan kajian ini. 1. Berdasarkan pengamatan saya, kebanyakan karya-karya Faisal Tehrani adalah terbitan DBP dan menerima anugerah Sayembara DBP. jadi, bolehkan saya mendapatkan e-mel beliau memandangkan saya dan 4 orang lagi rakan yang lain bercadang untuk menemu bual beliau. Temubual ini merupakan antara prosedur yang perlu kami lakukan sebagai metodologi kajian kami. 2. Kajian saya memerlukan saya menggunakan teori budaya dan teori antropologi. Jadi, adakah mana-mana buku keluaran DBP yang boleh dijadikan rujukan teori-teori ini? Saya berharap saudara sudi membantu saya dan segala bantuan saudara kelak saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Sekian, terima kasih. | Waalaikumussalam saudara Layla Witra, Untuk makluman saudara, saya tidak menyimpan alamat beliau dan mungkin saudara boleh berhubung dengan beliau melalui FB. Untuk mendapatkan maklumat berkaitan buku-buku teori budaya dan antropologi yang diterbitkan oleh DBP, saudara boleh melayari laman web Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP http://pustaxa.gov.my. laman ini memaparkan KATALOG AWAM DALAM TALIAN (KAWAT). Cara menggunakannya ialah dengan menaip judul buku atau pengarang dan klik cari. sekian, selamat mencuba. | Tokoh | 25.07.2011 |