Perkataan mendakan atau mendapan yang mana lebih sesuai untuk ayat ini "Mendapan/mendakan yang berwarna kuning terdapat di dalam saluran vesel kayu geronggang". Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, istilah mendapan dan mendakan mempunyai persamaan iaitu sesuatu yang turun ke bawah dan berlonggok di dasar (berkaitan lumpur, pasir dan lain-lain). Cuma ciri mendakan yang dinyatakan, iaitu pepejal yang tidak larut yang terhasil dalam sesuatu tindak balas kimia (yang berlangsung dalam larutan) tidak dinyatakan dalam entri mendapan. Kami mencadangkan perkataan mendapan kerana dalam pangkalan data DBP perkataan mendapan digunakan secara meluas dalam istilah perhutanan, geografi dan pertanian berbanding perkataan mendakan yang lebih meluas dalam istilah kejuruteraan. | Istilah | 01.12.2014 |
Selamat sejahtera. Saya ingin bertanya tentang apakah perbezaan dalam penggunaan imbuhan mem..kan dengan mem..i ? Dan buku manakah yang sesuai dalam kajian tatabahasa Bahasa Malaysia? | Apabila dibandingkan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, fungsinya dapat dibahagikan kepada tiga: i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i mendakan lokatif. Contohnya: Ayah menghadiahkan sebuah basikal kepada Osman, Ayah menghadiahi Osman sebuah basikal. ii. Bagi kata kerja tertentu, lazimnya apitan meN-...-kan menerima objek yang tidak bernyawa, manakala meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Contohnya: Ali memberi kucing makan, Ali memberikan makanan kepada kucing. iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Mereka cuba melupai/melupakan peristiwa itu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 207-208. | Tatabahasa | 24.06.2011 |