Ayat manakah yang betul? (1) Tiara menegur sapa dengan jiran baharunya (2) Baju-baju di dalam almari Bella tersusun dengan rapi | Ayat yang betul ialah ayat no. 2. | Lain-lain | 17.08.2014 |
Yang manakah betul? 1. Seorang pengawas ( meneguri / menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju / dan menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (prestasi / persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal ( dengan / bersama-sama ) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan / prestasi) peserta yang berpidato di atas pentas. | 1. Seorang pengawas (menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal (bersama-sama) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan) peserta yang berpidato di atas pentas. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
1. Zalala menanti dengan sabar kepulangan ibunya. 2. Menteri Dalam Negeri menegur kedegilan penganjur perhimpunan itu. | Sila jelaskan soalan saudara, walau bagaimanapun kedua-dua ayat tersebut betul, iaitu: 1. Zalala menanti dengan sabar kepulangan ibunya 2. Menteri Dalam Negeri menegur kedegilan penganjur perhimpunan itu. | Tatabahasa | 26.04.2012 |
Selamat sejahtera, 3 ayat ini betul atau salah? 1. Apabila ibu bapa memberikan tugasan, janganlah kita berat tulang untuk menyiapkan tugasan mereka. 2. Semasa ibu bapa mendidik kita, dengarlah didikan mereka dengan teliti. 3. Ketika ibu bapa menegur kita, terimalah teguran dan nasihat mereka dengan hati yang reda. 3 ayat tersebut ialah ayat perintah atau ayat majmuk? terima kasih. | Ayat tersebut diberikan penambahbaikan, seperti yang berikut: 1. Apabila ibu bapa meminta kita untuk berbuat sesuatu, janganlah kita berat tulang untuk menyiapkan tugas yang diberikan. (ayat perintah: larangan) 2. Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa yang bertujuan untuk mendidik kita. (ayat perintah - permintaan) 3. Ketika ibu bapa menegur kita, terimalah teguran dan nasihat mereka dengan hati yang terbuka. (ayat perintah - permintaan) Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 432 - 575. | Tatabahasa | 21.03.2025 |
Sikap kawannya yang suka mengambil tahu hal orang lain menyebabkan dia berasa luntur untuk menegur kawannya itu. munsyi, luntur wajar digantikan dengan apa? TQ | Luntur bermaksud 1. turun atau berubah warnanya (kain cat, dll): kainnya teguh dan tidak ~; tahan ~ tidak turun warna; 2. berubah, bertukar (keyakinan, pendirian, keazaman, dsb): keazaman mereka utk bersatu tenaga tidak ~ walaupun mereka terpaksa menghadapi beberapa halangan; 3. hilang atau berkurang (kasih sayang dsb): kasihnya sudah mulai ~; kejelitaannya mulai ~ apabila umurnya meningkat tua; 4. turun atau menjadi rendah. Nyata, perkataan luntur tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Sila gantikan dengan perkataan lain seperti enggan. Sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak digunakan dan lihat adakah sesuai makna kata tersebut digunakan untuk ayat tersebut. | Makna | 07.02.2012 |
1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "segar" dengan betul. I. Peristiwa lucu itu masih segar dalam ingatannya. II. Ayah suka makan buah-buahan segar untuk mengalas perut. III. Udara di kaki bukit pada waktu pagi sungguh nyaman dan segar. IV. Badan Ali kembali segar setelah dia mandi di perigi itu. A. I dan IV sahaja B. I, II dan III sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV 2. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mencecah" dengan betul. I. Cikgu Ujang menegur Saidin kerana rambutnya mencecah telinga. II. Adik mencecah hujung jari telunjuknya pada permukaan air yang sejuk itu. III. Datuk mencecah biskut dengan air kopi sewaktu minum petang. IV. Air sungai itu telah mencecah paras bahaya. A. I dan III sahaja B. I, II dan IV sahaja C, II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV | Sdr. Ong, Bagi soalan pertama jawapannya ialah D, semuanya betul. Manakala soalan kedua pula jawapannya ialah B, i,ii,dan iv. | Tatabahasa | 08.04.2010 |
Saya ingin bertanya berkenaan penggunaan kata tradisi dan tradisional dalam ayat. Adakah dua perkataan tersebut mempunyai perbezaan makna dalam ayat? Mohon penjelasan dan contoh ayat yang sesuai. Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020): tradisi (kata nama) ialah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan atau amalan yang diwariskan kepada generasi seterusnya: Contoh penggunaan: Masyarakat dahulu mengamalkan tradisi tegur-menegur. pakaian tradisi; makanan tradisi. tradisional kata adjektif 1 (berkenaan kesenian, kehidupan dan lain-lain) bersifat turun temurun: Contoh penggunaan: Tekat ialah seni menghias kain tradisional Melayu. Mereka masih mengamalkan cara hidup tradisional seperti menebang dan membakar hutan untuk menanam padi huma. 2 (berkenaan orang, masyarakat dan sebagainya) mengamalkan tradisi: Contoh penggunaan: Dalam masyarakat tradisional Melayu, perbualan atau perkisahan mengenai seks dianggap sebagai tabu. Untuk maklumat tambahan, sila rujuk kamus tersebut. | Makna | 03.11.2024 |
Saya ingin bertanya perbezaan ayat-ayat sindiran & ironi dalam bahasa melayu. Saya sedang melakukan penyelidikan dalam bidang ini dan perlukan pengesahan. Untuk makluman, saya sudah ada dataset ayat-ayat sindiran dan ironi, ini saya collect dari social media data seperti facebook comment & twitter comment. Cuma, saya perlukan pengesahan dan nasihat dari pakar bahasa di DBPi untuk menentukan aya-ayat dari dataset saya ini sama ada berbentuk sinidiran atau ironi. Sebagai contoh, secara manual, saya menganalisa 2 ayat ini yang diambil pada komen di Facebook pada posting mengenai Bajet 2024 adalah seperti dibawah; 1. Perkukuh ekonomi negara je, ekonomi rakyat hampeh, duit melayang, habis kami semua dikerjakan (SINDIRAN). 2. Bajet dari kerajaan paling BAGUS di dunia. (IRONI) Saya diberitahu daripada team kajian saya bahawa saya boleh menghubungi pihak DBP untuk mendapatkan khidmat nasihat dari pakar bahasa mengenai kajian saya ini. Jadi, saya memerlukan khidmat nasihat & pengesahan sekiranya ada Pakar Bahasa Melayu dari DBP yang dapat membantu kajian saya, mungkin kita boleh berjumpa dan berbincang secara terperinci. Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, sindiran bermaksud kata-kata sinis atau tajam yang disampaikan secara berkias atau secara tidak terus terang, biasanya untuk bergurau, menegur kesalahan seseorang, meluahkan perasaan rasa tidak puas hati dan sebagainya. Ironi pula bermaksud keadaan atau kejadian yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya. Untuk data penyelidikan seperti yang dimaklumkan, puan perlulah menjalankan penyelidikan dan analisis berdasarkan kajian puan. Khidmat Nasihat DBP tidak menyediakan perkhidmatan analisis data atau kajian bagi penyelidikan. Bagi membantu puan menyelesaikan tugasan ini, puan boleh datang ke Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk membuat penyelidikan atau rujuk buku/makalah yang berkaitan seperti Kamus Dewan Perdana dan Tatabahasa Dewan Edisi Keempat. | Lain-lain | 20.12.2023 |