| perkataan telaah apabila dimasukkan imbunan - ia menjadi mentelaah atau menelaah. | jawapan yang betul ialah menelaah. | Tatabahasa | 01.08.2011 |
| perkataan "dengan" ialah kata hubungan pancangan keterangan atau kata sendi nama. bolehkah bagi contoh untuk jelaskan, terima kasih | Perkataan dengan merupakan kata sendi nama. Contohnya, “Abdullah menelaah mata pelajaran Sains dengan kawannya.” Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 280. | Tatabahasa | 06.01.2025 |
| MOHON BERI PENERANGAN BERKAITAN DENGAN PEMBENTUKAN FRASA ADJEKTIF. JIKA BOLEH BERIKAN PENJELASAN ATAU PERBANDINGAN PANDANGAN TOKOH ZA'BA, ASMAH HAJI OMAR DAN NIK SAFIAH KARIM et.al. terima kasih | Dalam ruang dan had masa yang terhad ini, kami hanya dapat memberikan sedikit maklumat yang berkaitan. Yang selebihnya perlu menelaah pelbagai buku rujukan khususnya Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga (antara penyusunnya Nik Safiah Karim),Nahu Melayu Mutakhir (Asmah haji Omar) dan Pelita Bahasa Melayu (Pendeta Za'ba) dan pelbagai buku yang berkaitan dengan pertanyaan puan. Buku Tatabahasa Dewan, menjelaskan bahawa Frasa Adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai kata intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa Adjektif yang dibincangkan ialah yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai unsur keterangan dalam predikat. Sebagai unsur keterangan, kata adjektif hadir sesudah frasa kerja dan frasa sendi nama. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 405 - 419. Prof. Emeritus Asmah Haji Omar pula membei penjelasan yang hampir sama tentang Frasa Adjektif. Dengan mengekalkan istilah asal kata Melayu, Frasa Sifat ialah frasa yang intinya merupakan kata sifat dan berfungsi pada predikat ayat. Asmah membahagiakn Frasa Sifat kepada Frasa Sifat Selapis dan Frasa Sifat Kompleks. Lihat Nahu Mutakhir, halaman 338 - 357. Pendeta Za’ba pula membahagi sifat kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Pelita Bahasa Melayu. | Tatabahasa | 31.03.2014 |
| apa perbezaan antara menyiasat dan menyelidik | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan menyiasat bermaksud 1. menyelidiki (memeriksa) sesuatu perkara yg belum terang, mencari keterangan bkn sesuatu perkara, mengusut: kerajaan berjanji akan ~ aduan-aduan itu; kalau disiasati dgn lebih teliti, agaknya mudahlah dijejaki pembunuh-pembunuh itu; 2. menghuraikan (sesuatu perkara dll), menyelidiki (utk mengetahui kebenaran dll), menelaah: doktor sedang ~ apa jenisnya penyakit itu; mereka mempercayai apa sahaja yg didengar dgn tiada ~ atau menguji kebenarannya; 3. menanyai atau menyoal (utk mengetahui sesuatu), menemu duga: mereka telah dibawa ke Ipoh utk disiasat. Perkataan menyelidik pula bermaksud 1. memeriksa sesuatu yg belum terang, menyiasat utk mendapat keterangan dsb tentang sesuatu: beberapa orang pakar sedang ~ kemungkinan agama Islam dibawa dr negeri China ke Tanah Melayu; 2. mempelajari sungguh-sungguh (utk mengetahui sesuatu): biarlah aku selidiki buku-buku ini, barangkali fikiran dan mataku akan lebih terang; 3. mengintip (mengintai) musuh, menyuluh. | Istilah | 14.07.2009 |
| Adakah kata 'dengan' yang merupakan kata sendi nama, juga berfungsi sebagai kata hubung atau jenis kata yang lain? Jika ya, sila nyatakan jenis-jenis kata tersebut, maksud setiap daripadanya, dan juga tolong terangkan penggunaan-penggunaannya serta kemukakan contoh penggunaannya. | Kata dengan hanya berfungsi sebagai kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama dalam struktur ayat yang membawa maksud 1. bersama-sama atau beserta (keterangan penyertaan), contohnya: “Abdullah menelaah mata pelajaran sains dengan kawannya”. 2. Cara sesuatu itu dilakukan (keterangan cara), contohnya: “Sumbangannya kami terima dengan hati terbuka.” 3.Memakai atau menggunakannya (keterangan alat), contohnya: “Ani melukis potret itu dengan cat air.” 4. Menyatakan perbandingan yang serupa atau sama, contohnya: “Tentu tidak sama emas dengan perak.” | Tatabahasa | 20.12.2021 |
| Apa beza penggunaan oleh kerana dan oleh sebab? beserta contoh ayat | Penggunaan oleh yang diikuti dengan kerana dalam ungkapan oleh kerana untuk menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab merupakan penggunaan yang salah. Penggunaan yang betul ialah oleh sebab. Hal ini disebabkan oleh merupakan kata sendi nama yang mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan kerana bukan kata nama tetapi kata hubung keterangan. Contohnya: i. Pemain badminton itu kalah oleh (sebab) kekurangan latihan. ii. Oleh (sebab) ketekunannya menelaah, Ali mencapai keputusan yang cemerlang. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 283-284. | Tatabahasa | 02.11.2024 |