apakah maksud telap dan tiris? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, telap bermaksud 1. dapat menembusi (bkn senjata spt keris dll), makan, mempan: keris itu tidak ~ pd tubuhnya; 2. dapat dicederakan, dapat dilukai, lut; tiada ~ oleh senjata kebal; 3. dapat ditembusi (air), dapat diresapi: tanahnya tanah liat yg tidak ~ air. Manakala tiris bermaksud 1. bocor (atap, perahu, bekas air, dll): bumbung rumahnya ~; dijahit layar mana yg robek, biduk ditambal mana yg ~; 2. meleleh (menerusi lubang atau celah), menitis, menitik-nitik: air dlm tanah terus ~ menerusi bumbung gua itu; air digenggam tiada ~ prb sangat berhati-hati mengeluarkan wang; | Lain-lain | 01.07.2010 |
Assalamualaikum/Salam sejahtera, 1. Boleh atau tidak perkataan TEMBUSAN digunakan sebagai ganti kata SALINAN KEPADA atau carbon copy(c.c) kerana ada negara jiran yang menggunakannya. 2. Ada jabatan pelajaran mahupun kementerian menggunakan kata GALUS untuk pelajar yang kelompok gagal dan lulus.Dalam kamus dewan saya cari tapi tidak jumpa.Oleh itu akronim tersebut diterima pakai atau tidak oleh DBP.Jika tak sesuai apa perkataan yang sesuai untuk kumpulan pelajar tersebut. 3. Di tempat kerja saya ada blok bangunan baru 3 tingkat. Paras bawah sekali dikosongkan dan disediakan sebuah pentas untuk acara-acara tertentu.Buat sementara waktu ruang tersebut diberi nama DEWAN TERBUKA. Ada cadangan untuk memberi nama baru yang lebih kreatif.Soalannya saya sesuaikah diberi nama DEWAN... atau DATARAN...atau PENTAS... atau BALAI...atau perkatan lain yang sesuai dengan fizikal tempat tersebut. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, entri tembusan mempunyai 4 takrifan, iaitu 1. sesuatu (jalan, sungai, dll) yg tembus ke; 2. sungai buatan (utk dilalui kapal dll), terusan 3. jalan yg menembusi bukit dll, terowong; 4. = ~ surat salinan surat asal. Oleh itu, entri tembusan merujuk makna ke-4 yang bermaksud salinan surat asal. Walau bagaimanapun, saudara digalakkan menggunakan frasa salinan kepada (s.k) yang digunakan dalam konteks surat rasmi di negara kita. 2. Tidak terdapat perkataan galus sebagai akronim gagal dan lulus untuk pelajar sekolah yang terakam dalam mana-mana kamus atau buku terbitan DBP. Pihak kami mencadangkan digunakan istilah lulus bagi pelajar yang lulus dan gagal bagi pelajar yang gagal. 3. Sesuai digunakan perkataan dewan kerana dewan bermaksud balai (ruang) tempat diadakan sesuatu (spt persidangan, perjumpaan, forum, ceramah, dll). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui takrifan entri dewan, balai, pentas, dataran. Saudara juga boleh melayari laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) http://prpm.dbp.gov.my untuk mencari maklumat yang diperlukan. PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sdr. hendaklah memasukkan perkataan tersebut dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Selamat mencuba. | Istilah | 23.07.2009 |
Mohon pencerahan berhubung : 1. Perbezaan kata 'memerhatikan' dengan 'memperhatikan' dan cth penggunaan yang tepat. 2. penggunaan kata 'memakan', 'memakankan', dan 'makan'. Terima kasih | Jawapan 1 Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat memperhatikan sama maksud dengan memerhatikan. Memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu mengendahkan. Penggunaan yang betul ialah “memerhatikan” yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, atau menjaga. Kata “memperhatikan” tidak digunakan kerana awalan 'Memper -' lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh). Contoh ayat ialah Pegawai polis sedang memerhatikan setiap pergerakan penjenayah itu semenjak minggu lepas. Jawapan 2 Memakan Perkataan memakan biasanya digunakan dalam menyampaikan maksud mengambil (contoh ayat, Proses baik pulih rumah itu memakan masa enam bulan), merosakkan, membinasakan, memusnahkan (contoh ayat, Anai-anai telah memakan tiang rumah usang itu), dan mematikan (contoph ayat, Dalam permainan dam aji, pemain yang dapat memakan lawannya yang paling banyak dinobatkan sebagai pemenang) Memakankan Perkataan memakankan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Pertama, memasukkan benang pakan pada kain yang ditenun. Kedua, mengusahakan supaya sesuatu dimakan atau memakan untuk seseorang. Makan Perkataan makan digunakan untuk menyampaikan pelbagai maksud. Pertama, bermaksud memamah serta menelan makanan atau mengunyah sesuatu. Kedua, merujuk kepada rezeki (contoh ayat, Dia tidak dapat mencari makan hari ini kerana teksinya rosak). Ketiga, bermaksud menggunakan, menghabiskan atau memerlukan (contoh ayat, Projek membina jambatan itu makan belanja yang besar). Keempat, makan merujuk kepada melukai atau menembusi (contoh ayat, Tikaman kerisnya tidak makan). Kelima, bermaksud bekerja seperti yang dijangkakan (contoh ayat, Brek basikal itu tidak lagi makan). Keenam, bermaksud dapat masuk (contoh ayat, Paku itu hanya setengah inci masuk ke dalam papan. Ketujuh, bermaksud mengikut atau menerima (contoh ayat, Inilah jadinya kalau orang yang tidak makan nasihat). Kelapan, bermaksud menggelapi atau mengambil secara haram (contoh ayat, Pegawai perumahan itu kuat makan duit). | Makna | 25.02.2014 |