| Mengapakah DBP menetapkan ejaan 'swasambada' sebagai baku (terakam dalam kamus dewan) dan bukannya swasembada seperti yang terakam dalam kamus besar bahasa Indonesia yang mungkin lebih tepat kerana dalam kamus dewan dam kbbi menyenaraikan kata dasar swasembada yakni 'sembada' (swa- + sembada) sebagai entri baku bukan sambada (tiada dalam kedua - duanya). | Swasambada dalam Kamus Dewan dilabelkan sebagai Bahasa Indonesia. Oleh itu, apabila terdapat kekeliruan antara data Kamus Dewan dengan Kamus Besar Indonesia maka data Kamus Besar Indonesia lebih persis. | Tatabahasa | 30.10.2018 |
| saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan 'dari'..sebagai contoh, .... telah menetapkan tempat tersebut berkuat kuasa mulai dari 3 mac 2008 atau telah menetapkan tempat tersebut berkuat kuasa mulai 3 mac 2008.. terima kasih.. | Yang betulnya ialah.....mulai 3 Mac.... | Tatabahasa | 21.10.2009 |
| Salam Bolehkah menggunakan imbuhan dan apitan yang berturut-turut seperti: Negara kita mengenakan dan menetapkan peraturan... Ataupun mengena dan menetapkan peraturan... Terima kasih. | Apitan boleh digunakan secara berturut-turut seperti ayat pertama. | Tatabahasa | 29.11.2022 |
| Saya ingin mengesahkan penggunaan pekataan yang betul bagi kemuskilan di bawah 1. Penggunaan perkataan sasaran dan menyasar, contoh PNB menetapkan sasaran mengumpul RM10 juta deposit atau PNB menyasarkan mengumpul RM10 juta 2. Perbezaan makna Baru dan Baharu... Contoh Saya balik kampung baru-baru ini Saya membeli kereta baharu | Sdri zaharah, Frasa yang betul ialah: PNB menetapkan sasaran mengumpul RM10 juta deposit. Hal ini demikian, kerana makna kata Sasaran ialah hasil drpd sesuatu usaha, tindakan dsb yg ingin dicapai, matlamat: kami harus mencapai ~ kerja bulanan yg telah ditetapkan; menetapkan sasaran (hasil, perolehan dsb yg ingin dicapai): syarikat ~ jualan bagi kedua-dua unit amanah ini mencecah sehingga RM30 juta menjelang bulan Jun depan; negara kita ~ 14 pingat emas bagi acara olahraga di temasya Sukan SEA itu; . Manakala ayat ( No.2) yang sdri kemukakan seperti di atas, iaitu penggunaan kata baru-baru dan baharu. Jika diteliti ayat tersebut, kata baru-baru menunjukkan masa perjalanan balik ke kampong, manakala kata baharu atau baru menunjukkan bahawa dia membeli kereta yang baharu/baru bukan yang lama. | Tatabahasa | 27.03.2009 |
| Salam sejahtera. Saya ingin bertanya, pencarian istilah DBP menterjemahkan "asphalt" kepada "asfalt". Bukankah terdapat istilah "turap" yang kebiasaannya digunakan? (cth: jalan berturap). Apakah perbezaan antara kedua-duanya? Saya juga ingin bertanya, yang mana lebih tepat: 1) mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan tersebut DIDENGAR esok; atau 2) mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan tersebut DIDENGARI esok. Terima kasih. | Waalaikumussalam... Menurut Istilah MABBIM daripada data kami maksud asphalt dari bidang geologi ialah asfalt. Maksud asfalt ialah dari bidang fizik dan geografi ialah: 1. bahan berbitumen yang berbentuk separuh pepejal, berlekit, berwarna hitam, dan terdiri daripada campuran alkana, hidrokarbon aromatik, dan sebatian hidrokarbon yang lebih kompleks. 2. Bahan perintang asid dalam cetak guris. Ayat yang betul ialah mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan tersebut didengari esok. Sekian terima kasih. | Istilah | 22.01.2018 |
| apakah kaedah yang betul menetapkan penggunaan adalah dan ialah cth tujuan pendidikan sains negara ialah peranan kepimpinan sekolah adalah harap dapat memberikan penjelasan supaya dapat menggunakan dengan betul terima kasih | Kata pemeri ialah hanya digunakan di hadapan perkataan atau rangkai kata yang berupa kata nama ayau frasa nama. Kata pemeri adalah pula hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti (untuk, pada, dalam, dll) dan kata adjektif sahaja. | Tatabahasa | 28.11.2008 |
| Apakah maksud atau konsep bagi menetapkan matlamat untuk mencapai matlamat yang ditetapkan? | Sila berikan soalan yang lebih jelas supaya pihak kami dapat menjawab dengan tepat. | Makna | 18.12.2022 |
| Saya maklum bahawa Tatabahasa Dewan menetapkan hanya 15 sahaja dikategorikan sebagai majmuk mantap. Namun, ada buku-buku ilmiah malah para pendidik menyatakan ia lebih daripada itu iaitu sebilangannya menyatakan ada 33; ada juga menyatakan ada 41. Selain yang 15 itu misalnya ialah bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. Soalan saya kenapa perkataan ini bukan tergolong dalam majmuk mantap dan apakah kategori perkataan ini? Soalan kedua, antara Kamus Dewan Bahasa & Tatabahasa Dewan, yang mana lebih betul apabila berlaku percanggahan. Misalnya dalam soal kata baru dan baharu. Kamus menyamakan maksud baharu sebagai baru tetapi Tatabahasa Dewan membezakannya. Untuk makluman, saya merupakan pencita bahasa dan kerap berkongsi ilmu bahasa kepada umum. Antaranya dalam aplikasi Twitter menggunakan tanda pagar #PerkasaBMKita. Sumbangan saya ini diharap membantu sedikit sebanyak dalam memartabatkan penggunaan bahasa melayu yang betul. Terima kasih. | 1. Berdasarkan rujukan daripada buku Tatabahasa Dewan, kata majmuk ialah gabungan dua patah perkataan atau lebih yang mempunyai makna yang berbeza dan menjadi satu makna lain atau makna baharu apabila perkataan tersebut digabungkan. Konsep kata majmuk juga harus mendukung maksud umum, contohnya: kerusi malas, maksud khusus, cthnya: pita suara dan maksud kiasan, cthnya: kaki ayam. Perkataan seperti bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. itu tidak dikategorikan sebagai perkataan majmuk mantap kerana perkataan-perkataan ini tidak mendukung konsep kata majmuk dan perkataan-perkataan ini bukan kata majmuk. Jika mengikut kategori, terdapat dua kategori dalam tatabahasa Melayu, iaitu golongan kata dan bentuk kata. Golongan kata terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas, manakala bentuk kata pula, terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, kata majmuk. Contohnya maksud perkataan “apabila” tidak mendukung maksud ketiga-tiga konsep kata majmuk tersebut kerana perkataan ”apa” , “bila”, dan “apabila” ialah kata tunggal jika kita melihatnya dari segi bentuk kata, dan kata tugas jika kita melihatnya dari segi golongan kata, Perkataan “sukacita” pula ialah kata adjektif, “kadangkala” ialah kata kata tugas, “peribadi” ialah kata nama. 2. Untuk maklumat yang lebih tepat dari segi tatabahasa, tuan/puan disarankan untuk merujuk Tatabahasa Dewan kerana kamus umum hanya merakamkan pelbagai bentuk kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 25.06.2018 |
| Ingin penjelasan perkataan "merubah". Pertubuhan kami menetapkan misi sebagai "Tarbiah Melahirkan Pemimpin dan Dakwah Merubah Masyarakat". Apakan perkataan "mengubah" lebih tepat berbanding "merubah"? Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan merubah sama maksud dengan mengubah. Walau bagaimanapun, bentuk binaan kata yang lebih tepat ialah mengubah, meN- + ubah maka terbentuklah mengubah dan kata mengubah juga lebih banyak digunakan dalam teks bahasa Melayu. Tidak ada awalan mer- dalam bahasa Melayu, namun kata merubah diterima pakai kerana telah banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 23.09.2019 |
| Pensijilan atau persijilan? Apakah perkataan yang betul bagi menetapkan kata nama Bahagian ...sijilan & Pengiktirafan di Jabatan saya? | Frasa yang betul ialah Bahagian Pengiktirafan dan Pensijilan. | Tatabahasa | 28.05.2025 |