tuan, antara kata mengada-ngada dengan mengada-ada yang manakah betul? | Dari segi ejaan, ditulis sebagai mengada-ada tetapi apabila disebut me.nga.da.nga.da. Kata terbitan yang terdiri daripada awalan meN- atau pen- dengan kata dasar yang berupa kata ulang yang bermula dengan bunyi vokal atau diftong dilafazkan dengan mengulangi bunyi suku kata kedua yang mengandungi bunyi (ng). | Tatabahasa | 26.06.2013 |
Adakah mengada-adakan dikategorikan sebagai kata terbitan walaupun dalam bentuk kata ganda? | Kata “mengada-adakan” merupakan bentuk kata ganda dan boleh juga dikategorikan sebagai kata terbitan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 67 - 72 (Bentuk Kata Terbitan) dan halaman 76 - 79 (Bentuk Kata Ganda). | Tatabahasa | 22.02.2025 |
Salam Sejahtera, Saya baru perasan bahasa sebutan Daftar Kata BM dan juga suku kata adalah berlainan. Saya ingin bertanya untuk perkataan "mengada-ada". Sebutan: [me.nga.da.nga.da] Suku Kata: (me.nga.da.a.da) Adakah pemisahan saya di atas betul? Sekian, terima kasih. | Dari segi ejaan, ditulis sebagai mengada-ada tetapi apabila disebut me.nga.da.nga.da. Kata terbitan yang terdiri daripada awalan meN- atau pen- dengan kata dasar yang berupa kata ulang yang bermula dengan bunyi vokal atau diftong dilafazkan dengan mengulangi bunyi suku kata kedua yang mengandungi bunyi (ng). | Ejaan | 10.09.2014 |
Pohon jelaskan berkenaan penggunaan 'kan' selepas sesuatu kata kerja contohnya: menyedia/menyediakan; mengada/mengadakan; melaksana/melaksanakan. Pada perkataaan yang bagaimana perkataan 'kan' tidak boleh digunakan? | Saudara Norzila, Perkataan yang betul ialah menyediakan, mengadakan dan melaksanakan. Kata kerja sedia, ada dan laksana yang terbentuk dengan apitan meN...kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat transitif aktif. Pada kebiasaannyan kata kerja transitif mendapat apitan men...kan. Walau bagaimanpun bukan semua kata kerja transitif mengandungi ...kan. Ini bergantung pada penggunaan kata tersebut dalam konteks ayat yang melibatkan objek, sama ada objek tepat atau objek sipi. Contohnya, Hasnah membeli sebuah buku untuk Ali; Kakak menjahit sehelai baju untuk adik. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 190-197. | Tatabahasa | 09.07.2009 |
saya telah membeli buku kesantunan bahasa karangan prof dr awang sariyan namun tidak dinyatakan secara khusus ciri-ciri kesantunan bahasa. harap dpt membantu dgn memberikan secara ringkas ciri-ciri kesantunan bahasa tersebut. | Ciri-ciri kesantunan bahasa banyak, contohnya dari segi nada suara misalnya mestilah tenang, lembut, jelas, tidak nyaring, tidak sinis, tidak marah, mengawal perasaan, tidak mengada-ngada, tidak biadab dll. Sdr bolehlah merujuk buku-buku berkenaan kesantunan berbahasa yang ditulis oleh penulis lain selain daripada Dr Awang. | Tatabahasa | 08.08.2007 |
Kata Hubung 1. __________umurnya 70 tahun,_________dia masih bertenaga. 2. Sikap Faridah yang mengadakan-ngadakan _____hari ___ menjadi. 3. Cikgu Lina meminta murid-murid mengeluarkan __________ buku Latihan __________buku kerja. 4. “___________ saya tidak dihiraukan, ___________ awak ,” kata Amin kepada Dali. 5. __________ Siew Lan kurus, ___________ dia kuat makan. 6. Rumah di hujung pekan itu _________ baik untuk fizikal, __________ mental kita. 7. “ Anak gadis Datuk Ramzi ____________bijak________ juga peramah,” kata Dato’ Azlan. 8. Bersenam _________ baik untuk fizikal, __________ mental kita. 9. “ ________ lelaki _________ perempuan, sama-sama bergotong-royong membersihkan balai raya itu,”kata ketua kampung. 10. ___________ terus berdiam, ___________ saya berterus terang sahaja. | Penggunaan kata hubung yang sesuai adalah seperti yang berikut: 1. Walaupun umurnya 70 tahun, tetapi dia masih bertenaga. 2. Sikap Faridah yang mengada-ngada semakin hari semakin menjadi. 3. Cikgu Lina meminta murid-murid mengeluarkan beberapa buku latihan dan buku kerja. 4. “Walaupun saya tidak dihiraukan, janganlah awak kecewa,” kata Amin kepada Dali. 5. Walaupun Siew Lan kurus, tetapi dia kuat makan. 6. Rumah di hujung pekan itu sangat baik untuk fizikal dan mental kita. 7. “Anak gadis Datuk Ramzi terlalu bijak dan juga peramah,” kata Dato’ Azlan. 8. Bersenam sangat baik untuk fizikal dan mental kita. 9. “Baik lelaki mahupun perempuan, bersama-sama bergotong-royong membersihkan balai raya itu,” kata ketua kampung. 10. Daripada terus berdiam, sebaiknya saya berterus terang sahaja. | Tatabahasa | 06.10.2021 |