Bolehkah saya mengambil tahu secara terperinci tentang perlembagaan Malaysia? | Saudara boleh merujuk bahan ini : 1. Mengenal Perlembagaan Malaysia Mohamed Suffian Bin Hashim, Tun Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 1984. 2. Perkembangan undang-undang Perlembagaan Persekutuan Ahmad Ibrahim Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 1999. 3. Perlembagaan persekutuan International Law Book Services 2006 | Lain-lain | 24.12.2007 |
Sikap kawannya yang suka mengambil tahu hal orang lain menyebabkan dia berasa luntur untuk menegur kawannya itu. munsyi, luntur wajar digantikan dengan apa? TQ | Luntur bermaksud 1. turun atau berubah warnanya (kain cat, dll): kainnya teguh dan tidak ~; tahan ~ tidak turun warna; 2. berubah, bertukar (keyakinan, pendirian, keazaman, dsb): keazaman mereka utk bersatu tenaga tidak ~ walaupun mereka terpaksa menghadapi beberapa halangan; 3. hilang atau berkurang (kasih sayang dsb): kasihnya sudah mulai ~; kejelitaannya mulai ~ apabila umurnya meningkat tua; 4. turun atau menjadi rendah. Nyata, perkataan luntur tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Sila gantikan dengan perkataan lain seperti enggan. Sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak digunakan dan lihat adakah sesuai makna kata tersebut digunakan untuk ayat tersebut. | Makna | 07.02.2012 |
saya ingin mengetahui erti peribahasa di bawah: 1. jangan jaga tepi kain orang, jaga tepi kain sendiri 2. jangan suka mengata orang 3. mulut murai 4. seseorang yang suka mengata orang | 1. menjaga tepi kain orang - kiasan yang bermaksud mengambil tahu hal orang lain; 2. jangan suka mengata orang - bukan peribahasa 3. mulut murai - simpulan bahasa bermaksud orang yg sangat suka bercakap-cakap 4. seseorang yang suka mengata orang - bukan peribahasa | Lain-lain | 09.10.2008 |
Riduan Basri Riduan Basri Jul 8th, 12:35pm Tuan, diruang mana saya mahu merujuk ejaan yang betul. Terima kasih. | Sekiranya anda melayari http://prpm.dbd.gov.my untuk pencarian makna contohnya isi padu, pastinya anda akan menaip "isipadu" dan akan keluar paparan seperti ini --> http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=isipadu <-- pada paparan tersebut mempunya jadual yang mengandungi kolum Kata dan Takrif. Perkata yang ada pada kolum Kata itu adalah ejaan yang betul, manakala Takrif ejaannya merujuk kepada korpus bahasa sebab itu ejaan isi padu ditulis isipadu. Untuk memudahkan kefahaman isi padu itu tidak disebut isi (diam) kemudian disebut padu, sebaliknya disebut isipadu. Sebab itu dieja rapat iaitu isipadu untuk tujuan korpus bahasa Melayu. Untuk memastikan ejaan yang betul, boleh juga klik pada Khidmat Nasihat untuk membaca maklumat-maklumat selanjutnya, sama ada pertanyaan ejaan mahupun ayat. Mohon jasa baik tuan untuk mengambil tahu tentang cara membaca kamus. Selain itu, untuk maklumat tuan Kamus Dewan adalah rakaman semua perkataan umum dan yang popular digunakan masyarakat termasuk perkataan yang tidak rasmi dan rasmi. Contohnya perkataan yang tidak rasmi ialah catit dan perkataan rasmi catat. Sebab itu dimaklukan sebelum ini, catit itu salah dan betul adalah catat. Moga ini membantu. Sekian. | Ejaan | 08.07.2014 |
Antara berikut ayat manakah yang lebih sesuai? 1. Ibu sedang mengangkat pakaian dari ampaian. 2. Ibu sedang mengambil pakaian dari ampaian. Sekiranya ayat berikut betul atau salah. Bolehkah saya tahu mengapa? Atau adakah ayat lain yang lebih sesuai untuk menggambarkan situasi sama seperti di atas. Terima kasih. | Kedua-dua ayat adalah betul. Perkataan mengangkat atau mengambil pakaian kedua-duanya sesuai digunakan. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, mengangkat bermaksud membawa pergi atau membawa dari satu tempat ke tempat yang lain. Maksud mengambil pula ialah memegang sesuatu lalu membawa atau mengangkatnya. Kesimpulannya, konsep mengangkat atau mengambil pakaian dari ampaian sesuai digunakan. | Tatabahasa | 18.04.2018 |
Assalamualaikum.... Saya ialah seorang pelajar STPM yang mengambil subjek Bahasa Melayu. Saya ingin tahu tentang penggunaan 'bahasa percakapan' (bp). Bolehkah perkataan daripada bp digunakan untuk membuat karangan Bahasa Melayu? Ini kerana, bp tidak boleh digunakan dalam urusan rasmi. Adakah ini bermaksud membina karangan juga termasuk dalam urusan rasmi? Contohnya, perkataan 'bajet' ialah bp dan perkataan ini tidak boleh digunakan dalam urusan rasmi. Oleh itu, perkataan 'bajet' perlu digantikan dengan perkataan 'belanjawan'. Adakah pengggunaan kata 'bajet' dalam karangan dikira sebagai kesalahan bahasa? | Dalam situasi rasmi (termasuklah untuk tujuan peperiksaan) bahasa percakapan tidak digunakan, yang digunakan hanyalah bahasa yang baku, betul dan santun. Dalam Kamus Dewan, kata bajet ditanda sebagai bahasa percapakan, oleh itu penggunaannya hendaklah digantikan dengan kata belanjawan untuk konteks rasmi. | Lain-lain | 27.06.2008 |
Assalamualaikum. Saya ingin tahu sama ada kata 'bagi' boleh diikuti dengan kata kerja. Contohnya: Kami memerlukan kamera untuk mengambil gambar bagi mengesahkan identiti anda. Adakah betul penggunaan 'bagi mengesahkan'? Terima kasih atas bantuan tuan. | Ayat yang dinyatakan di atas adalah betul penggunaannya dari segi tatabahasa. | Tatabahasa | 26.09.2017 |
Anak saya akan mengambil peperiksaan UPSR tahun depan. Dia amat lemah dalam Kertas 2 BM yang mengandungi Nilai Murni. Saya ingin tahu samada wujud satu senarai nilai murni yang akan diuji dalam UPSR. Jika ada, saya amat memerlukannya supaya anak saya boleh mempelajarinya secara efektif. Terima kasih. | Nilai-nilai murni ialah nilai -nilai yang tidak mengandungi unsur-unsur asing atau unsur-unsur yang mencemarkan sikap seseorang. Sila rujuk bahan ini: 1. Nilai-nilai murni dalam pendidikan: menghadapi perubahan dan cabaran alaf baru oleh Abd. Rahim Abd. Rashid, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 2001 2. Pembangunan Watak Bangsa terbitan Akademi Kajian Ketamadunan 2005 3. Penyerapan ilmu pengetahuan dan pemupukan nilai murni melalui pendidikan bahasa Melayu oleh Nawi bin Ismail Pelita Bahasa 01/10/1995 | Lain-lain | 07.11.2010 |
Sebagai pendidik, saya sedang membuat satu program tentang kata kerja BM, bolehkah saya tahu tentang sekiranya saya ingin mengajar kata kerja, patut saya guna imbuhan bagi sesuatu kata kerja? Contohnya: - baca atau membaca? - ambil atau mengambil? my target audience is children of age of 3-9 | Dalam bahasa Melayu ada empat golongan kata termasuklah kata kerja. Apabila menyenaraikan kata kerja tidak perlu digunakan imbuhan, tetapi apabila menerangkan perbuatan berdasarkan konteks penggunaannya perlulah digunakan imbuhan. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 05.06.2012 |
Saya ingin tahu adakah akronim bagi Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak ditulis sebagai IKMAS ataupun Ikmas? Mohon penjelasan dari pihak tuan. Sekian terima kasih. | Akronim ialah kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan. Ada dua cara mengejanya, jika mengambil huruf pertama setiap kata maka dieja dengan huruf besar seperti DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka); dan suku kata bberap perkataan yang boleh dibentuk perkataan seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Dalam hal ini, puan perlu merujuk kepada organisasi berkenaan tentang bentuk akronim yang digunakan. | Tatabahasa | 29.01.2015 |