Apakah perbezaan antara mengurniakan dan menganugerahkan ? | Dari aspek makna mengurniakan juga bermaksud menganugerahkan dan begitu juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan kedua-dua kata berkenaan. Perkataan mengurniakan lazimnya dikaitkan dengan sultan/raja, seperti Baginda mengurniakan bintang kebesaran kepada para penerima/Istiadat pengurniaan pingat sedang berlangsung di Balairung Seri, manakala perkataan menganugerahkan boleh digunakan kepada raja dan bukan raja, seperti Baginda menganugerahkan pingat PJK kepada beliau/Kerajaan menganugerahkan sebidang tanah kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik. | Tatabahasa | 19.11.2021 |
Q. Sultan kedah telah _____ pingat kebesaran kepada sasterawan tersohor yang berasal dari negeri itu. A.menyerahkan B.mengurniakan C.menyampaikan D.menganugerahkan Mengapakah jawapannya ialah 'B' ? Saya ternampak ayat ini di dalam buku. Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan pingat PJK kepada orang-orang yang berjasa. Mengapakah sini letak menganugerahkan? | Dari aspek makna, mengurniakan juga bermaksud menganugerahkan dan begitu juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan kedua-dua perkataan berkenaan. a) Perkataan mengurniakan lazimnya dikaitkan dengan sultan/raja. Contoh: Sultan Kedah telah mengurniakan pingat kebesaran kepada sasterawan tersohor yang berasal dari negeri itu. b) Perkataan menganugerahkan boleh digunakan kepada raja dan bukan raja. Contoh: Baginda menganugerahkan pingat PJK kepada beliau. Kerajaan menganugerahkan sebidang tanah kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik. | Tatabahasa | 19.11.2021 |
Mohon pengesahan yang mana satu betul: 1. Universiti telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada... atau 2. Universiti telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang kepada... | Ayat atau istilah yang betul ialah 1. Universiti telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada... | Tatabahasa | 09.05.2015 |
Sultan menganugerahkan atau mengurniakan pingat kebesaran | Kedua-duanya boleh digunakan. | Lain-lain | 16.08.2017 |
Asalamualaikum, saya ingin bertanya, apakah kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat di bawah. Terima kasih. 1. Sultan Azlan Shah telah bersetuju untuk menganugerahkan pingat kebesaran kepada rakyat yang layak sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-60. 2. Puan Haiza tidak turut serta dalam majlis hari jadi di rumah Puan Jamilah kerana diatelah membuat temu janji dengan doktor. | - Ayat yang betul ialah “Sultan Azlan Shah menganugerahkan pingat kebesaran kepada rakyat yang terpilih bersempena dengan hari keputeraan baginda yang ke-60.”
-
Kesalahan bahasa dalam ayat tersebut ialah penggunaan frasa temu janji. Frasa yang betul ialah janji temu. Oleh yang demikian, ayat yang betul ialah “Puan Haiza tidak turut serta dalam majlis hari jadi di rumah Puan Jamilah kerana dia telah membuat janji temu dengan doktor.” Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 870. | Tatabahasa | 06.11.2024 |
Mohon DBP cadang penggunaan yang tepat. 1. Sultan menganugerahkan ATAU mengurniakan pingat kebesaran...? 2. Selamat pagi guru dan rakan rakan sekalian / Selamat pagi guru dan rakan rakan. yang mana betul? Terima kasih. | 1. Penggunaan perkataan yang tepat dalam konteks tersebut ialah Sultan mengurniakan pingat kebesaran. 2. Frasa yang betul ialah Selamat pagi guru dan rakan sekalian. | Lain-lain | 25.05.2021 |
apakah perkataan posthumous dalam bahasa malaysia. jika tiada apakah perkataan sesuai yang perlu digunakan jika ingin menganugerahkan ijazah kepada calon/penama yang telah meninggal dunia. terima kasih | Padanan posthumous dalam bahasa Melayu ialah anumerta. | Istilah | 31.07.2012 |
Soalan : Sultan telah _______ pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri itu pingat darjah kebesaran. Pilihan jawapan : 1. menganugerahkan 2. menghadiahi Jika jawapan saya B, bukankah penggunaan kata “hadiah” bercanggah dengan konteks melibatkan sultan? Jika jawapan saya A, adakah penggunaan imbuhan saya betul? Mohon pencerahan. | Ayat yang betul ialah "Sultan telah menganugerahi pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri itu pingat darjah kebesaran." | Lain-lain | 17.08.2022 |
Assalamualaikum dan selamat tengah hari, Mohon pencerahan pihak tuan/puan tentang pencerakinan suku kata. Contoh perkataan seperti berikut: 1) beliau > be/li/au atau be/liau 2) berdoa > ber/do/a atau ber/doa 3) menganugerahkan > meng/a/nu/ge/rah/kan atau me/nga/nu/ge/rah/kan 4) kaum > ka/um atau kaum 5) perempuan > pe/rem/puan atau pe/rem/pu/an 6) Bolehkan diterangkan secara terperinci pencerakinan suku kata jika terdapat huruf diftong. Contoh perkataan "haiwan" dan "tauladan" Terima kasih. | 1) beliau > be/li/au 2) berdoa > ber/do/a 3) menganugerahkan > meng/a/nu/ge/rah/kan 4) kaum > ka/um 5) perempuan > pe/rem/puan 6) Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah seperti ai,au dan oi dalam perkataan pandai, pulau dan amboi. Satu lagi bentuk yang hampir sama ialah vokal berganding, tetapi vokal berganding berbeza daripada diftong yang dilafazkan sebagai satu bunyi contohnya kuih, buih, air dan laut. haiwan > h/ai/wan tauladan > t/au/la/dan | Tatabahasa | 22.10.2019 |
Untuk kata-kata yang berakhir dengan huruf "i," dalam bahasa Melayu, bolehkah kita membuat andaian umum bahawa, contohnya, "menganugerahi" diikuti oleh "penerima" atau "menganugerahkan" diikuti oleh "suatu objek"? Jadi, untuk kata-kata lain yang mirip dengan ini, kita aplikasikan konsep yang sama. Apakah pendapat DBP? Terima kasih. | Apitan meN-...-i membentuk kata kerja terbitan yang bersifat transitif, iaitu kata kerja yang memerlukan objek. Kata kerja ini hadir dalam ayat aktif transitif. Contoh dalam ayat, “Ibu sedang menidurkan adik”. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan pula ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat transitif aktif. Contoh dalam ayat, “Mekanik itu sedang membaiki kereta saya”. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 190 – 197 dan 202 – 208. | Tatabahasa | 28.07.2024 |