mengenali kawan baru atau berkenalan dengan kawan baru? ayat manakah yang betul? | Salam sejahtera, Kedua-dua frasa tersebut betul. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 14.05.2019 |
Bagaimana mengenali 18 pola keselarasan vokal dalam cerpen? Adakah ia diambil dalam kata dasar sahaja atau boleh diambil dalam perkataan yang mempunyai imbuhan? Sebagai contohnya, u-u = bunuh (kata dasar) atau pembunuhan (bersama imubuhan). Walaupun perkataan yang mempunyai imbuhan boleh dikira sebagai pola keselarasan vokal? terima kasih | Pola keselarasan vokal boleh ditemukan dalam kata dasar dua suku kata atau dua suku kata terakhir. Berdasarkan contoh yang saudara berikan pola keselarasan vokal boleh dilihat dalam perkataan bunuh dan imbuh. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 20.02.2013 |
Bagaimana nak mengenali perkataan(membezakan penggunaan) yang mempunyai imbuhan memper...i , memper...kan. dan pasifnya. Bezakan penggunaan me...i dengan me..kan | Apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper-...-i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Apitan memper-...-kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama. Apitan memper-...-kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan dalam maksud kata kerja, manakala apitan memper-...-kan dengan kata nama membawa maksud kausatif seperti mempercabangkan (menjadikan bercabang) dan memperhambakan (menjadikan diri seperti hamba). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 208 dan 2011. Apitan men-...-i dan men-...-kan membentuk kata kerja terbitan yang bersifat transitif, iaitu kata kerja yang memerlukan objek. Contohnya: Ibu menidurkan adik dan Ahmad menjalani kursus selama tiga hari. Kata adik dan kursus dalam kedua-dua ayat tersebut menjadi objek yang melengkapkan ayat. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191 dan 202. | Tatabahasa | 14.09.2011 |
Sejak saya mengenali Kamus Dewan pada tahun 1980, tiada sebarang ilustrasi yang dimasukkan di dalam buku yang berwibawa itu. Pada hemat saya, ilustrasi amat penting apabila terdapat sesuatu perkataan yang tidak dapat dijelaskan dengan hanya memasukkan kata-kata terutama sekali bagi pelajar bukan Melayu yang benar-benar ingin mengetahui maksud sesuatu kata tetapi gagal untuk memahami penjelasan yang diberi semata-mata tiada sebarang ilustrasi. Sebagai contoh, saya perturunkan kata-kata seperti: memapah, mengelek dan kekisi. Harap mendapat perhatian dan penjelasan daripada pihak yang berkenaan. | Pandangan saudara kami hargai dan untuk makluman saudara juga terdapat pelbagai jenis kamus dan kumpulan sasaran penerbitannya dan cadangan saudara akan kami kemukakan untuk penerbitan Kamus Pelajar dalam edisi yang akan datang. | Lain-lain | 14.05.2010 |
Apakah perbezaan makna antara "mengenal" dengan "mengenali"? Adakah kedua-dua kata terbitan ini digunakan dalam struktur ayat yang berbeza? Satu soalan lagi: Adakah bentuk "mengenali" ialah bentuk yang lewah kerana akhiran-i ditambahkan di belakang perkataan "mengenal"? | Perkataan ‘mengenal’ bermaksud tahu atau kenal akan; ingat akan; mengetahui. Contoh ayat: Dia bekerja pagi petang dengan tidak mengenal penat lelah. Perkataan ‘mengenali’ bermaksud mengetahui atau tahu akan sifatnya, rupanya dan lain-lain dengan lebih mendalam. Contoh ayat: Orang ramai mengenalinya sebagai seorang yang pemurah. | Makna | 29.12.2014 |
"Sebagai pihak bank,kami pastikan bisnes kami adalah mengenali perniagaan anda" Bolehkan perkataan "bisnes" di dalam konteks ayat di atas digunakan atau perlu digantikan dengan perktaan "perniagaan". Terima kasih. | Perkataan bisnes tidak diterima dalam bahasa sebagai padanan bagi business. Kami mencadangkan ayat yang sesuai ialah "Sebagai pihak bank, kami memastikan perkhidmatan kami adalah untuk mengenali perniagaan anda." | Tatabahasa | 24.09.2013 |
Salam dan selamat pagi, Antara penggunaan 'dikenali sebagai' dan 'dikenal sebagai', yang manakah lebih tepat? Apakah alasannya? Terima kasih. | Perkataan dikenali ialah kata kerja pasif bagi mengenali, manakala dikenal ialah kata kerja pasif bagi mengenal. Mengikut Kamus Dewan mengenali juga bermaksud mengenal. Oleh itu, kedua-dua bentuk kata kerja pasif dikenal dan dikenali adalah betul dan kata kerja dikenali lebih banyak penggunaannya dalam wacana. | Tatabahasa | 06.05.2014 |
We’re thrilled to have you on board and can’t wait to get to know you. diterjemahkan kepada: Kami teruja dengan kehadiran tuan dan tidak sabar untuk mengenali tuan Mohon semakan | Cadangan, kami amat seronok dengan kehadiran tuan dan tidak sabar untuk mengenali tuan. | Penyemakan dan penterjemahan | 17.01.2020 |
1.Bagaimanakah caranya untuk mengenali 'e' taling dan 'e' pepet dalam satu perkataan. 2.Apakah sebutan untuk perkataan PANEL. terima kasih | 1. Dalam sistem ejaan baru bahasa Melayu, bunyi e seperti yang terdapat dalam perkataan 'leka' dan bunyi e dalam perkataan 'besar' diwakili oleh huruf yang sama, iaitu e. Huruf 'e' dalam 'leka' yang merupakan vokal depan separuh sempit disebut e taling manakala huruf e dalam 'besar' yang merupakan vokal tengah separuh luas disebut e pepet. Hanya tiga vokal, iaitu i,a, dan u dapat hadir pada awal, tengah dan akhir perkataan. Vokal e (e taling), o dan e (e pepet) hanya hadir pada awal dan tengah perkataan. Vokal e (e taling) dan o hanya hadir pada akhir perkataan dalam suku kata terbuka dalam kata pinjaman seperti sate, tauge, logo dan polo. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. 2. panel (e pepet) | Ejaan | 08.02.2011 |
Saya ada rangka manuskrip bertajuk MENGENALI: ETNIK KADAYAN DI DAERAH SIPITANG merangkumi Asal-usul kadayan, kehidupan dulu dan kini, kemajuan yang dicapai dari semua segi. Gambar-gambar yang menarik mengenai budaya dan adat istiadat tradisi orang Kadayan Mohon pihak DBP cawangan Sabah dapat menerbitkan manuskrip tersebut untuk rujukan generasi etnik kadayan di masa akan datang dan tatapan semua pembaca berbagai genre. | Pihak tuan/puan boleh menghubungi pihak DBP Cawangan Sabah untuk pertanyaan dan perbincangan lanjut tentang perkara ini. Nombor telefon: 088-439217. Terima kasih. | Lain-lain | 23.11.2017 |