Yg mana betul? 1. dapat mengeratkan hubungan antara murid-murid dengan guru-guru. 2. dapat mengeratkan hubungan antara murid-murid dan guru-guru | Frasa yang betul ialah: dapat mengeratkan hubungan antara murid-murid dengan guru-guru. | Tatabahasa | 30.08.2023 |
Salam sejahtera, 1.Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda 'Berhenti' di tengah-tengah jalan raya.(Apakah tanda baca yang perlu dibubuh pada perkataan 'Berhenti'?) 2.Kesimpulannya, kita perlu meluangkan masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat pada hari minggu kerana masa itu emas.(Perlukan perkataan aktiviti itu membawa maksud jamak?) 3.Kita harus berkunjung ke rumah terbuka untuk mengeratkan silaturahim / mengeratkan hubungan silaturahim.(Perlu ditulis hubungan di depan silaturahim?) 4.me.ngo.rek (adakah pemenggalan suku kata ejaan betul dan apakah pemenggalan sebutan bagi perkataan mengorek?) Terima kasih | 1. Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda "Berhenti" di tengah-tengah jalan raya. 2. Kesimpulannya, kita perlu meluangkan masa dengan melakukan aktiviti/aktviti-aktiviti yang bermanfaat pada hari minggu kerana masa itu emas. Perkataan aktiviti boleh membawa maksud jamak berdasarkan konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun penggunaan aktiviti-aktiviti juga boleh dibenarkan asalkan tidak didahului oleh penanda jamak seperti pelbagai aktiviti dan penggunaan ini (tunggal atau jamak) hendaklah konsisten dalam keseluruhan wacana. 3. Kita harus berkunjung ke rumah terbuka untuk mengeratkan silaturahim. 4. Pemenggalan yang betul ialah "me.ngo.rek". | Tatabahasa | 27.05.2022 |
Salam... saya ada terbaca soalan yang sama tetapi jawapan yang diberikan berbeza iaitu persoalan "erat" sama ada e dibaca pepet atau taling dalam carian PRPM@DBP Malaysia. soalan pada 12.10.10, jenis soalan ejaan menyatakan e dibaca pepet, kemudian soalan yang hampir sama ditanyakan mengenai erat pada 6.10.11, jenis soalan tatabahasa menyatakan e pada erat adalah taling. pada 3.7.13, jenis soalan tatabahasa yang menyatakan e pada erat adalah pepet mengikut rujukan DBP edisi ke-4. Jadi, yang mana satukah yang paling tepat kerana kesukaran mengeja jawi sama ada alif ya atau alif sahaja.. jika sebutan erat yang ditambah imbuhan menjadi mengeratkan, e masih pepet atau taling? contoh, dia mengeratkan tali persahabatan. jika e dibaca pepet, seolah-olah kata dasar mengeratkan menjadi kerat... saya masih keliru... mohon penjelasan. terima kasih | 1. Apabila perkataan "erat" menerima apitan meN-...-kan, perkataan "mengeratkan" disebut dengan menggunakan e pepet. Pengguna bahasa Melayu seharusnya dapat membezakan perkataan "mengeratkan" yang kata dasar "erat" daripada perkataan "mengeratkan" yang kata dasarnya "kerat". Saudara tidak sepatutnya keliru dengan ungkapan "mengeratkan silaturrahim" kerana kata dasar "mengeratkan" dalam ungkapan ialah "erat", bukan "kerat". Orang selalu menyebut "memutuskan silaturrahim", bukannya "mengeratkan silaturrahim" yang kata dasarnya "kerat". | Tatabahasa | 07.10.2013 |
1. "Pasukan polis dan pasukan bomba berkawad.","Pasukan polis dan bomba berkawad". Ayat manakah yang betul? 2. "Azman hendak ke kedai tetapi Azman tiada teman.","Azman hendak ke kedai tetapi tiada teman." Ayat manakah yang betul? 3. "Jangan kamu kesali akan kejadian itu.","Jangan kamu menyesal akan kejadian itu." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat(kesali/menyesal). Terima kasih. 4. "Kata-kata nasihat itu akan saya renungi.","kata-kata nasihat itu akan saya renungkan." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat (renungi/renungkan). 5. "Jangan kamu cuba mengaburi mata saya dengan wang ringgit.", "Jangan kamu cuba mengaburkan mata saya dengan wang ringgit." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat (mengaburi/mengaburkan). 6. "Matlamat pertandingan itu adalah untuk mengeratkan hubungan.", "Matlamat pertandingan itu adalah untuk mempererat hubungan." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat (mengeratkan/mempererat). Terima kasih. | 1. Pasukan polis dan bomba berkawad. 2. Azman hendak ke kedai tetapi tiada teman. 3. Jangan kamu kesali akan kejadian itu. Ayat pasif bagi orang kedua menggunakan akhiran -i. 4. Kata-kata nasihat itu akan saya renungi. Ayat pasif bagi orang pertama menggunakan akhiran -i. 5. Jangan kamu cuba mengaburi mata saya dengan wang ringgit. Mengaburi bermaksud menjadi kabur dan mengaburkan bermaksud menyebabkan menjadi kabur. 6. Matlamat pertandingan itu adalah untuk mengeratkan/mempereratkan hubungan. Mengeratkan dan mempereratkan boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut. Sila rujuk kamus untuk melihat contoh penggunaan kata tersebut dalam ayat dan rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk membina ayat dengan imbuhan yang betul. | Tatabahasa | 05.11.2014 |
1. Adakah ayat berikut betul dan tolong beri penerangan mengapa ? a) Para penonton memberi sorakan gemuruh. b) Kita haruslah beriadah bersama dengan ahli keluarga untuk mengeratkan hubungan keluarga. | Salam sejahtera, Tuan, Ayat yang dinyatakan betul kerana mempunyai pola ayat dasar bahasa melayu iaitu terdapat subhjek dan predikat pada ayat tersebut. 1. Para penonton (subjek) memberi sorakan gemuruh (predikat) 2. Kita (subjek) haruslah (kata bantu) beriadah (predikat) bersama dengan ahli keluarga untuk mengeratkan hubungan keluarga (keterangan). Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 19.01.2018 |
1) Sesungguhnya, dasar dan sistem pendidikan dapat dianggap sebagai satu daripada alat terpenting dan berkesan untuk menyemai dan memupuk semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap bangsa dan negara, "membina" jati diri dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya di negara ini. 2)Bahasa Melayu telah membuktikan keupayaan dan kejayaannya sebagai wahana untuk "membina" kehidupan nasional dan negara yang moden dan maju. 3)Dalam zaman pembinaan negara, misi raksasa pemimpin dan rakyat adalah untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan "membinanya" sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa persekolahan dan bahasa budaya tinggi yang mampu mendukung pengucapan struktur pemikiran moden dan canggih, selain sebagai bahasa supraetnik yang mengatasi garis ras untuk menyatukan pelbagai kaum di negara ini. adakah membina merupakan kata kerja transitif aktif dalam ketiga-tiga ayat di atas? | Perkataan membina dalam ketiga-tiga ayat tersebut ialah kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek untuk melengkapkan maksudnya. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 157. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
1. BOLEHKAN PIHAK TUAN MEMBERIKAN PANDUAN UNTUK MENGGUNAKAN IMBUHAN KATA KERJA MEN... DAN MEN..KAN CONTOHNYA PERKATAAN JALIN. MANAKAH YANG BETUL SAMA ADA MENJALIN HUBUNGAN ATAU MENJALINKAN HUBUNGAN? HARAP MENDAPAT PENJELASAN DARIPADA PIHAK TUAN. SEKIAN, TERIMA KASIH | Sdr. Asiyana, sila perhatikan makna perkataan ini bagi menjawab pertanyaan sdr. Terima Kasih. menjalin 1. menganyam (mengepang) rambut dll: ~ rambut; 2. menjadikan bertalian atau berkaitan, merangkaikan: kaedah penyusunan ayat-ayat utk ~ pemikiran; 3. menyusun (mengarang) cerita dll: ~ cerita; 4. mewujudkan, menjadikan ada: ~ persahabatan; 5. mengeratkan: ~ silaturahim; menjalinkan 1. merangkaikan: ~ bilah-bilah buluh itu; 2. menyelipkan, memasukkan: dia hendak ~ pengalamannya di dlm novelnya; 3. mewujudkan: ~ perhubungan; 4. mengeratkan; | Tatabahasa | 05.12.2007 |
Hanim Husin Jun 27th, 2:41pm Assalamualaikum & Salam 1Malaysia! Saya Hanim dari PJ. Saya ingin mendapatkan kebenaran daripada cik/puan/tuan untuk mengadakan Bengkel/Slot demo Penggayaan Selendang dengan mudah dan pantas sesuai dengan peredaran masa yang memerlukan kita bergerak pantas dalam kehidupan seharian. Saya mempunyai kumpulan @ Hijab Stylist Team yang diterajui oleh Hijab Stylist yang semakin meningkat naik iaitu Puan Anizon Hussin, mantan Editor bagi Majalah Dara.Com. Bengkel/Slot yang bakal diadakan ini adalah percuma selama 1 1/2 jam dan ianya bertujuan untuk membantu para muslimah menggayakan tudung dengan cepat disamping menutup aurat. Slot ini juga diharap dapat mengeratkan silaturrahim diantara jabatan/staff pihak cik/puan. Diharap aktiviti akan mendapat pertimbangan daripada pihak cik/puan/tuan. InsyaAllah! Sekian, HANIM 016-9052046 | Sila hubungi Bhg. Komunikasi Korporat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 27.06.2014 |
Sesuaikah ayat ini : Mempereratkan hubungan di antara kakitangan dengan orang ramai menerusi amalan kualiti. | Salam sejahtera, Tuan, Ayat yang betul ialah: 1. Mempererat hubungan di antara kakitangan dengan orang ramai menerusi amalan kualiti. 2. Mengeratkan hubungan di antara kakitangan dengan orang ramai menerusi amalan kualiti. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 20.09.2017 |
As salam.. Saya nak tanya tajuk mana yang lebih sesuai dan tiada unsur kesalahan BM. 1. Pencetus Keeratan Hubungan Etnik melalui Makanan Masyarakat India 2. Pencetus Keeratan Hubungan Etnik dalam Makanan Masyarakat India 3. Pencetus Keeratan Hubungan Etnik dalam Kepelbagaian Makanan Etnik India 4. Makanan Masyarakat India Menjadi Pencetus Keeratan Hubungan Etnik. Jika tuan/puan mempunyai idea yang lain, saya amat berbesar hati untuk menerimanya. Kerjasama daripada pihak tuan/puan amatlah saya hargai. Terima Kasih. | Cadangan kami, "Makanan India mengeratkan hubungan etnik" atau "Makanan India menyatukan etnik". | Tatabahasa | 12.04.2013 |