Selamat petang, perkataan "mengesyorkan" merupakan kata kerja transitif.Menurut hukum tatabahasa selepas kata kerja transitif mesti disambut oleh objek (kata nama) dan bukannya kata sendi, tetapi dalam kamus dewan edisi keempat terdapat ayat " Dia mengesyorkan kepada peguam...... ". Adakah ayat tersebut betul ? Bolehkah tuan berikan penjelasan yang lebih lanjut? terima kasih. | Kamus Dewan mentakrifkan perkataan mengesyorkan bermaksud mengemukakan cadangan. Oleh itu, apabila kita gantikan perkataan tersebut menjadi: Dia mengemukakan cadangan kepada peguam supaya menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah sahaja. Walau bagaimanapun, untuk membina ayat yang gramatis dan mencari contoh ayat yang betul, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. Kamus Dewan digunakan untuk mencari makna perkataan. | Tatabahasa | 21.02.2012 |
Mohon pengesahan DBP ayat di bawah yang mana lebih sesuai digunakan di dalam Minit Mesyuarat? (i) bersetuju mengesyorkan calon XXX untuk diangkat sebagai xxx tertakluk kepada perkenan DYMM Tuanku Canselor USIM; atau; (ii) bersetuju mengesyorkan pencalonan XXX sebagai XXX untuk diangkat bagi perkenan DYMM Tuanku Canselor USIM. | Dari segi tatabahasa ayat yang betul ialah "(i) Mesyuarat bersetuju mengesyorkan pencalonan XXX untuk diangkat sebagai xxx dan tertakluk kepada perkenan DYMM Tuanku Canselor USIM. | Tatabahasa | 27.03.2018 |
KKM akan menerbitkan majalah/buletin dimana kandungannya berkaitan aktiviti semasa perkhidmatan-perkhidmatan Sains Kesihatan Bersekutu seperti Penolong Pegawai Perubatan (Pembantu Perubatan), Jururawat, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Juruteknologi Makmal Perubatan, Pembantu Farmasi dll. Mohon pandangan tuan memilih salah atau daripada tajuk-tajuk dibawah atau pihak mengesyorkan satu tajuk yang sesuai. 1) Info SKB (Sains Kesihatan Bersekutu) 2) Rangkaian SKB (Sains Kesihatan Bersekutu) 3) Buletin SKB (Sains Kesihatan Bersekutu) Atas khidmat nasihat pihak tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. AMIN ZAFRI BIN ABD RAHMAN | Berdasarkan latar belakang yang ringkas dan tidak mendalam yang diberikan oleh sdr, saya mencadangkan buletin/mjalah sdr di berikan judul "Buletin SKB". | Lain-lain | 21.04.2008 |
Saya ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak DBP berkenaan ejaan jawi bagi beberapa perkataan rumi seperti di bawah. Saya telah menggunakan khidmat terjemahan rumi ke jawi namun terdapat perbezaan ejaan. 1. PERKESO 2. WISAM PERKESO 3. PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA Perkataan ini akan dipaparkan pada papan tanda bagi pejabat Perkeso Kuantan. Saya memohon kerjasama pihak DBP untuk membantu saya bagi mengelakkan kami menggunakan ejaan perkataan yang salah dan mengelirukan pengguna. Pihak DBP boleh mengesyorkan badan atau unit yang boleh membantu kami sekiranya pihak DBP tidak menyediakan perkhidmatan ini. Terima kasih. | 1. PERKESO - ڨرکيسو 2. WISMA PERKESO - ويسما ڨرکيسو 3. PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA - ڨرتوبوهن کسلامتن سوسيال کمنترين سومبر ماءنسي | Ejaan | 20.02.2025 |
salam sejahtera dan salam 1 malaysia. kami ingin mewujudkan sebuah tadika, dan dalam masa ini kami telah merancang dua nama atas nama tadika tersebut. iaitu. Smarties Kids OneStop Centre. dan Smarties Kids School. so di sini kami mahu bertanya berkenaan makna "smarties" dan adakah penggunaanya akan merosakkan penggunaan bahasa? sekian, terima kasih. | Untuk makluman, DBP tidak memberi khidmat nasihat tentang bahasa Inggeris dan hanya memberi khidmat nasihat tentang bahasa Melayu. Pihka kami juga mengesyorkan supaya pihak tuan menggunakan bahasa Melayu dalam penamaan tadika tersebut. Terima kasih. | Lain-lain | 17.07.2011 |
Assalamualaikum, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera, 1. maaf. kenapa saya tak terima email jawapan atas soalan saya yang bertarikh 30/4/2018 yer? Tapi saya dah terima jawapan di laman dbp ini. Ada masalah dalam alamat email saya ke? Terima kasih 2. maaf tapi disebabkan ingat dbp takdapat soalan 30/4/2018 jadi saya buat soalan smlm. tak perlu lagi la jawap soalan semalam. cuma satu soalan di bawah ni tolong jawap yer. 3. Saya minat dalam memperkayakan kosa kata. Oleh itu, saya mohon jasa baik tuan/puan dalam mengesyorkan apakah buku terbaik dan tajuk buku tesaurus BM yang lengkap dan bermanfaat untuk saya gunakan dan beli? Terima kasih atas bantuan tuan/puan merungkai persoalan saya. 4. Lanjutan daripada soalan bertarikh 30/4/2018. Soalan no 2. Saya tidak tanya maksud disebalik istilah tsbt. Namun mempersoalkan legitimasi penggunaan istilah tsbt walaupun tiada dalam kamus. Mengapa perkara berikut boleh berlaku? Mengapakah bidang akademik diberi mandat menggunakan istilah yang tidak wujud dn diiktiraf di dalam kamus dbp spt "inkuiri kurikulum"? 5. Spt istilah inkuiri kurikulum. Mengapa syot layar belum dikamuskan tetapi dibenarkan penggunaanya? Saya harap pihak dbp segera mengkamuskan istilah inkuiri serta syot layar. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan memudahkan carian khalayak ramai. | Untuk makluman tuan, perkataan legitimasi terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Tuan boleh melayari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=legitimasi untuk carian perkataan tersebut. Perkataan inkuiri kurikulum dan syot layar telah terakam dalam daftar kata istilah yang boleh dilayari pada capaian http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=inkuiri+kurikulum&d=69812&#LIHATSINI . Tuan boleh melayari prpm.dbp.gov.my dengan memasukkan perkataan yang hendak digunakan. Oleh itu, tuan akan memperkayakan kosa kata kerana segala maklumat seperti tesaurus dan kosa kata boleh didapati. | Tatabahasa | 22.05.2018 |
Terjemahan perkataan efficiency Enjoy maximum efficiency with PETRONAS PRIMAX Selain daripada 'kecekapan' dan 'keberkesanan', sesuai tak kalau saya terjemahkan kepada 'efisiensi'? Contohnya 'Alami efisiensi maksima...' Adakah maksudnya dapat difahami pembaca? Saya semak PPRM, banyak digunakan di bahagian istilah Indonesia dan hanya satu dua sahaja dalam istilah Malaysia | Perkataan "efisiensi" memang ada ldam PRPM tetapi penggunaannya terhad dalam bidang dan konteks tertentu sahaja. Kami memang tidak menggalakkan penggunaan perkataan tersebut kerana telah ada perkataan bahasa Melayu yang sesuai. Oleh itu, saya mengesyorkan tuan menggunakan "kecekapan" atau "keberkesanan" bergantung pada mana yang lebih sesuai dalam konteks tersebut. | Tatabahasa | 11.04.2014 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera Saya mohon maaf atas soalan yg banyak 1. setelah membuat carian istiliah "inkuiri" di kamus online dbp, saya gagal menemukan sebarang hasil. Namun, berdasarkan cakupan skrin dibawah di dalam kotak bewarna hijau, meskipun tiada definisi di dalam kamus dbp, mengapakah bidang akademik diberi mandat menggunakan istilah "inkuiri kurikulum" tanpa kewujudan sah istilah inkuiri di dalam kamus? 2. di dalam hebahan email daripada RoS. Ini adalah spt ayat berikut "Sehubungan dengan itu, persatuan penduduk di jemput untuk memohon. Berikut disertakan Borang Permohonan Geran dan Senarai Penyelaras Pemimpin Tempatan untuk makluman bagi pengesahan. Tarikh tutup 31 Oktober 2018. Anda dinasihatkan menghantar awal kerana sebarang KUIRI dapat diperbaiki sebelum tarikh tutup. Permohonan selepas 31 Oktober 2018 tidak akan diproses." apakah yang dimaksudkan dengan kuiri diatas? Saya gagal menemukan definisi setelah mencari dikamus. 3. Apakah istilah yang tepat untuk perkataan "screenshot? adakah cakupan skrin/cekupan skrin atau ada istilah lain? 4. Saya minat memperkayakan kosa kata. Oleh itu, saya mohon jasa baik tuan/puan dalam mengesyorkan apakah buku terbaik dan tajuk buku tesaurus BM yang lengkap dan bermanfaat untuk saya gunakan dan beli? Terima kasih atas bantuan tuan/puan merungkai persoalan saya. | 1.Puan perlu membezakan istilah dengan perkataan biasa. Istilah hanya digunakan dalam bidang tertentu, manakala perkataan biasa dirakamkan di dalam kamus. Inkuiri merupakan istilah yang digunakan dalam bidang pendidikan. 2. Tiada maklumat kuiri dalam pangkalan data kami. Kuiri berasal daripada perkataan bahasa Inggeris query, yang membawa maksud usul atau pertanyaan. Sehubungan dengan itu, mengikut konteks ayat yang puan kemukakan, makna kuiri ialah usul. 3. Padanan screen shot ialah tangkap skrin untuk bidang teknologi maklumat. Sila rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=screen+shot&d | Istilah | 22.05.2018 |
Bagaimanakah cara menentukan imbuhan akhiran -kan atau -an bagi kata dasar yang diakhiri dengan huruf k? | Kata dasar yang mempunyai imbuhan awalan ke-, pem-, per-, pe-, pen-, peng-, dan penge- akan digandingkan dengan imbuhan akhiran –an dan bukan imbuhan akhiran –kan, contohnya, kebaikan, pembentukan, pertunjukan, peletakan, pendepakan, penggalakan dan pengetukan. Manakala, kata dasar yang mempunyai imbuhan awalan me-, mem-, men-, meng- dan menge- akan digandingkan dengan imbuhan akhiran –kan dan bukan imbuhan akhiran –an, contohnya, meletakkan, membentukkan, mencantikkan dan menggalakkan. Imbuhan “menge-…-kan” biasanya digabungkan dengan kata dasar satu suku kata, contohnya mengehadkan, mengecaskan dan mengesyorkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 70, 78, 121 – 130 dan 191 – 193. | Tatabahasa | 03.09.2024 |
1. Apakah penjodoh bilangan bagi kek? 2. Apakah penjodoh bilangan bagi kemalangan? 3. Apakah bezanya "mengadakan" dan " menganjurkan"? 4. Guru Besar atau guru besar? 5. di kalangan atau dalam kalangan? 6. baru atau baharu? 7. Dia makan epal, durian, dan manggis. Perlukah tanda koma diletakkan sebelum perkataan "dan"? 8. pantai Port Dickson atau Pantai Port Dickson? 9. negeri Selangor atau Negeri Selangor? 10. kereta api atau keretapi? 11. sebuah negeri atau satu negeri? 12. Apakah penjodoh bilangan bagi majlis dan hantu? | 1. Penjodoh bilangan bagi kek bergantung pada bentuknya. Boleh digunakan sebiji kek (jika kek itu belum dipotong) ataupun sepotong kek. 2. Tidak ada penjodoh bilangan yang khusus untuk kemalangan. 3. Mengadakan bermaksud 1. menjadikan ada atau wujud, mewujudkan, menjadikan, menciptakan: Tuhanlah yg ~ seluruh alam ini; 2. mengusahakan sehingga ada (tersedia, terdapat, dsb), menyediakan: ~ wang yg diperlukan; peruntukan belanjawan utk ~ lebih banyak sekolah dan maktab teknik; 3. mengusahakan sehingga berlaku atau berjalan sesuatu (spt seminar, mesyuarat, kenduri, dll), menganjurkan serta mengurus sesuatu: ~ kursus bahasa-bahasa asing; ~ kempen kebersihan, manakala menganjurkan 1. memajukan (menyorong, menghulur) ke depan: jangan dianjurkan badan keluar tingkap; 2. mengemukakan, mengesyorkan, menyarankan, mencadangkan, mengusulkan: pengerusi ~ supaya mogok makan; 3. mengadakan: ~ ceramah. 4. Dalam konteks umum, guru besar dieja dengan huruf kecil kerana ia merupakan kata nama am. Walau bagaimanapun, ia perlu ditulis dengan huruf besar jika diikuti oleh kata nama khas. 5. Frasa yang betul ialah dalam kalangan. 6. Baru bermaksud 'just', contohnya baru tiba manakala baharu bermaksud 'new', contohnya seperti buku baharu, baju baharu dll. 7. Tanda koma tidak perlu diletakkan kerana epal, durian dan manggis tergolong dalam kategori yang sama. 8. Perkataan pantai Port Dickson tidak perlu ditulis dengan huruf besar pada perkataan pantai kerana pantai ialah kata nama am. 9. Ejaan yang betul ialah negeri Selangor sahaja. 10. Ejaan yang betul ialah kereta api. 11. Sebuah negeri. 12. Penjodoh bilangan bagi hantu ialah seekor kerana hantu tidak tergolong dalam kumpulan manusia tetapi hanya menyerupai bentuk manusia. | Tatabahasa | 10.03.2010 |