Tuan, apakah perbezaan maksud antara "mengganti" dengan "menggantikan"? Saya hanya mengingini tuan menerangkan perbezaan antara maksud ketiga "mengganti" dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua, iaitu mengambil alih pekerjaan, tugas dll daripada orang lain dengan maksud "menggantikan" dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua, yakni membenarkan orang lain melakukan sesuatu sebagai ganti orang yang mula-mula. Dengan mengikut dua makna ini, bagaimanakah "mengganti" dan "menggantikan" digunakan dalam ayat? | Lihat ayat contoh yang ada: Apabila dia bersara nanti, siapakah yg akan menggantinya? dan Akhirnya Tun Perak dilantik oleh Raja menggantikan ayahnya menjadi Bendahara. Dalam ungkapan umum kita sering menggunakan ungkapan "menggantikan" dan tidak perlu kita mencari perbezaan yang rinci antara kedua-dua kata tersebut. Jika untuk tujuan peperiksaan, sila rujuk pihak guru yang terlibat secara langsung dengan bidang tersebut. | Tatabahasa | 30.12.2014 |
Merujuk soalan saya dan jawapan yang berikut: 2. perkataan yang manakah yang tepat? kita perlu minum untuk menggantikan/mengganti air yang keluar dari/ daripada badan. "kita perlu minum untuk menggantikan air yang keluar daripada badan" mengapakah perkataan "mengganti" tidak sesuai dengan konteks ayat? harap berikan penjelasan. terima kasih. | Yang betul ialah Kita perlu minum untuk menggantikan air yang keluar daripada badan. Menggantikan -kata kerja transitf daripada- sumber | Tatabahasa | 16.11.2007 |
Assalamualaikum WBT. Salam sejahtera. Mohon pencerahan tentang perkataan yang dikatakan sebagai kata nama khas bagi mengganti maksud contohnya :- warga johor = johorean warga kelantan = kelantanese bekas pelajar st john = johannian Untuk makluman tuan/puan kebelakangan ini terdapat banyak pertubuhan/persatuan yang ingin mendaftarkan nama dengan perkataan-perkataan seperti di atas tetapi agak sukar untuk membuat keputusan kerana saya tidak pasti kesahihan penggunaan perkataan itu adakah tepat atau tidak tepat dikhuatiri salah dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi maksud rasmi. Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, Setakat ini belum ada data menunjukkan kata nama khas bagi mengganti maksud seperti yang dinyatakan. Penggunaan kata seperti warga Johor dan warga Kelantan yang betul penggunaannya. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 28.11.2018 |
Etimologi istilah beluncas yang mengganti istilah ulat bulu. | Beluncas tidak menggantikan ulat bulu. Beluncas ialah sejenis ulat bulu yang suka memakan daun-daun kayu; larva serangga. Ulat bulu ialah ulat yang berbulu badannya. | Istilah | 20.10.2018 |
Perkataan "ekspektasi" sering diguna untuk mengganti perktaan bahasa Inggeris"expectation". Adakah perkataan Bahasa Malaysia yang lebih sesuai? | Perkataan ekspektasi tidak ada dalam bahasa Melayu, terjemahan/padanan expectation dalam bahasa Melayu ialah jangkaan atau harapan (mengikut bidang penggunaannya). | Istilah | 17.06.2009 |
Perkataan depositori samada sesuai digunakan bagi mengganti penyerahan iaitu: Pusat Penyerahan Koleksi Negeri kepada Pusat Koleksi Depositori Negeri terima kasih .... | Depositori bermaksud badan yang diamanahkan untuk menyimpan sesuatu (seperti dokumen, wang, sekuriti dan bon) untuk tujuan keselamatan. Berdasarkan penggunaan perkataan depositori dalam istilah seperti Syarikat Amanah Depositori, tidak membawa maksud penyerahan. | Tatabahasa | 09.01.2015 |
Kekeliruan penggunaan kata ganti tak tentu, mana-mana - untuk mengganti nama benda atau nama tempat yang tidak tentu. Contoh soalan, "----------------peserta yang terpilih dalam sesi latihan pada petang ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Bagi------------------yang tidak terpilih jangan berputus asa, cuba lagi. A. Apa-apa, bila-bila B. Siapa-siapa, mana-mana C. Mana-mana, siapa-siapa D. Berapa-berapa, siapa-siapa | Encik Paul, Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (hlm. 87): kata ganti diri tanya ialah jenis kata nama yang berfungsi menanyakan hal benda, perkara, atau manusia. Terdapat tiga bentuk kata ganti nama diri tanya, iaitu siapa yang merujuk orang, apa yang merujuk benda atau perkara, dan mana yang merujuk benda atau orang. Kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau untuk penegasan. Contohnya: apa-apa: Bawalah apa-apa yang ada. mana-mana: Ambillah mana-mana yang anda suka. siapa-siapa (sesiapa); Siapa-siapa pun boleh bersuara. Oleh itu, berdasarkan keterangan di atas, ayat yang betul adalah seperti yang berikut: Siapa-siapa (Sesiapa) peserta yang terpilih dalam sesi latihan pada petang ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Bagi mana-mana yang tidak terpilih jangan berputus asa, cuba lagi. | Tatabahasa | 28.02.2009 |
Pada 2 April, sekolah akan (menjalankan / mengadakan) kelas tambahan untuk mengganti cuti Hari Raya. Jadual waktu hari selasa akan (diguna / digunakan) pada hari tersebut. 1. menjalankan/mengadakan - yang mana satu kata kerja betul? 2. diguna atau digunakan? | 1. Pada 2 April 2011, sekolah akan mengadakan kelas tambahan untuk menggantikan cuti Hari Raya. 2. Jadual waktu hari Selasa akan digunakan pada hari tersebut. | Tatabahasa | 06.04.2011 |
soalan kedua saya ialah, panggilan "Ah Moi" pada perempuan berbangsa cina. Ada tak perkataan lain yang dapat mengganti panggilan ini dengan lebih sopan? Ini adalah kerana pada pendapat saya, panggilan ini dalam masyarakat cina terutama orang kantonis, maksudnya adik perempuan, tetapi pada sesetengah orang, panggilan sebegini adalah panggilan untuk orang gaji mereka. Kadang-kala, penggunaan panggilan ini akan menyebabkan situasi yang kurang sopan dan salah faham antara bangsa. | Terima kasih atas maklumat yang diberikan. Pada pandangan saya panggilan 'Ah Moi' lebih kepada dialek tempatan yang digunakan dalam daerah tertentu dan dalam konteks yang tidak rasmi. Berdasarkan sumber rujukan kami tidak ada maksud bagi gelaran tersebut. Oleh itu, untuk mengelak salah faham tentang penggunaan gelaran itu sebaik-baiknya kita menggunakan gelaran yang baik seperti 'cik' untuk yang belum berkahwin dan 'puan' untuk wanita yang telah berkahwin. | Lain-lain | 10.12.2010 |
Salam sejahtera, Maksud pantun itu ialah ...... Bolehkah ayat di atas ditulis "maksudnya ialah ...." di mana -nya digunakan untuk mengganti “pantun itu” Harap dapat Bantu | Ayat yang lebih tepat dan jelas ialah "Maksud pantun itu ialah..." | Tatabahasa | 30.08.2017 |