Salam. Bagi tujuan 'alter' seluar, apakah perkataan BM yang sesuai untuk digunakan? Mengubah seluar, membaiki seluar atau mengubah suai seluar? Sy kerap lihat pada papan tanda atau 'banner' kedai yg menulis "membaiki seluar jeans". Bagi saya ianya tidak sesuai. Mohon pencerahan tuan. Terima kasih. | Salam sejahtera, Padanan "alter" ialah mengubah suai seluar. Sekian, terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 05.04.2019 |
1.ayam mematuk atau memagut 2.ular mematuk atau memagut 3.mengubahsuai dewan atau menaik taraf dewan | Mengikut makna yang diberikan dalam Kamus Dewan, (1) ayam mematuk; (2) ular boleh mematuk dan memagut; (3) mengubah suai dan menaik taraf kedua-duanya boleh digunakan untuk dewan. | Makna | 23.08.2014 |
"Mengubah suainya" - perlukah dieja rapat sebagai "mengubahsuainya"? Memandangkan "nya" ialah objek, bukannya imbuhan, mungkin tidak perlu dieja rapat, tetapi kelihatan agak janggal. | Ejaan yang betul ialah “mengubah suai“. Tukarkan “nya” kepada kata nama objek tersebut, contohnya “mengubah suai rumah.” | Tatabahasa | 21.11.2023 |
Salam, A. inginkan pengesahan ejaan berikut sama ada ditulis rapat atau jarak. 1.mengemaskini, 2.kemas kini, 3 mengubahsuai. B. Apa beza maksud 'pernyataan' dan 'penyataan'. Bila ia sesuai digunakan (terutama dalam soalan). Cthnya... 'dari pernyataan/penyataan berikut, nyatakan manakah yang benar?' | 1.mengemaskini = mengemas kini 2.kemas kini= kemas kini 3 mengubahsuai= mengubah suai Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, pernyataan bermaksud 1. kata-kata dan sebagainya yang menyatakan (mengumumkan) sesuatu, pemberitahuan, pemakluman 2. kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dan sebagainya tentang sesuatu perkara, biasanya disiarkan melalui media. Penyataan pula bermaksud perbuatan menyatakan (melahirkan dan lain-lain). | Tatabahasa | 31.10.2012 |
Salam sejahtera Tuan. Saya ialah pengguna Khidmat Nasihat DBP. Syabas saya ucapkan atas kualiti perkhidmatan ini. Walau bagaimanapun, saya hendak bertanya tentang perkhidmatan Pertanyaan dan memberikan maklum balas. Saya sering kali menyedari bahawa terdapat maklumat penting yang ditinggalkan selepas pertanyaan dihantarkan. Apakah cara penyelesaian masalah di atas yang terbaik? Jikalau terdapat pilihan untuk mengubah suai pertanyaan, masalah ini dapat diatasi dengan mudah. Walau bagaimanapun, hal ini pasti menimbulkan masalah kepada bahagian Tuan untuk merombak semula sistem. Hal ini turut merumitkan kerja menjawab pertanyaan. Bolehkah saya menghantar pertanyaan sekali lagi, setelah diubah suai pertanyaan yang lama? Mungkin cara penyelesaian yang terbaik ialah pengguna menulis versi draf dan menghantar pertanyaan selepas memurnikannya. Terima kasih. Saya memohon maaf atas e-mel yang panjang. Yu Cheng Pengguna Khidmat Nasihat DBP | Salam sejahtera, Sistem Khidmat Nasihat DBP. Terima kasih atas pertanyaan saudara. Kami di Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil maklum tentang permasalahan tersebut. Pihak kami mencadangkan agar saudara menulis draf soalan terlebih dahulu. Cara ini merupakan salah satu langkah yang baik bagi memastikan tiada kesilapan dalam soalan tersebut dan sekiranya ada kesilapan, boleh disunting semula. Pihak kami akan terus menambah baik sistem Khidmat Nasihat DBP dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan teknologi digital pada masa kini. Terima kasih. | Lain-lain | 19.01.2022 |
Terima kasih untuk jawapan yang diberikan. Jawapan : ku- merupakan singkatan bagi aku. Singkatan tidak boleh berdiri sendiri dan perlu dieja rapat. Ku sebagai kata klitik diikuti kata kerja tanpa imbuhan awalan. Penggunaan yang betul ialah "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa" Saya faham dengan penggunaan yang betul tentang "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa." Namun terdapat penggunaan tidak lazim bagi singkatan "Ku" dalam lirik lagu, puisi dan sebagainya. Jadi manakah yang betul "Ku dicipta" atau "kudicipta"; "Ku berjalan" atau "Kuberjalan"; "Ku tertawa" atau "Kutertawa". Terima kasih. | Untuk makluman, dalam penulisan karya sastera mempunyai "kebebasan" diberikan kepada pengkarya untuk menghasilkan karyanya yang diistilahkan sebagai “kebebasan penyair” (poetic licence). Kebebasan yang dimaksudkan ialah mengubah suai bahasa seperti ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan pengkarya itu sendiri bagi melahirkan kesan tertentu. Biasanya lesen ini lebih banyak melibatkan penyair, cerpenis, novelis dan termasuk penulis lirik lagu. Ejaan yang betul ialah "kudicipta", "kutertawa", "kuberjalan". | Tatabahasa | 17.06.2023 |
Salam sejahtera. Di sini ada satu pertanyaan tentang lirik lagu kebesaran negeri Johor iaitu perkataan 'Nugerahkan dan perkataan naungkan, adakah ejaan bagi kedua-dua perkataan ini betul? atau 'Nugerahkan sebenarnya ejaan yang betul ialah Anugerahkan manakala naungkan ejaan betul ialah naungan? Terima kasih atas penjelasan tuan. | Allah peliharakan Sultan 'Nugerahkan dia segala kehormatan sihat dan ria kekal dan makmur luaskan kuasa naungkan kami rakyat dipimpini berzaman lagi dengan merdeka bersatu hati Allah berkati Johor Allah selamatkan Sultan Perkataan yang tepat ialah "Anugerahkan" dan "Naungan" seperti mana yang tuan fahami. Untuk makluman tuan, dalam penulisan karya sastera, ada sedikit "kebebasan" diberikan kepada pengkarya untuk menghasilkan karyanya yang diistilahkan sebagai lesen puitis (poitic License). Kebebasan yang dimaksudkan adalah mengubah suai bahasa seperti ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan pengkarya itu sendiri bagi melahirkan kesan tertentu.Biasanya lesen puitis lebih banyak melibatkan penyair, cerpenis, novelis dan termasuk penulis lirik lagu. | Sastera | 30.05.2017 |
Salam, Mohon penelitian ayat - ayat berikut sebagai lirik lagu Kita semua serupa Berpijak dibumi yang nyata Mendaulatkan prinsip yang lima Bersatu hati demi semua Usah diduga akal dan budi Merobek jiwa meruntuh janji Hitam dan putih tidak bererti Asal semua hormat menghormati Ayuh semua kita Berganding bahu berpimpin tangan Mengharungi onak dan duka Asal kita tidak berangan Nun didesa atau dikota Semua pasti merasa bahagia Menyemai kasih menyulam cinta Melahirkan insan yang setia Apa jua rintangan Jangan ada yang terkesan Memutuskan persahabatan Mencipta jurang perpecahan | Lirik lagu tidak perlu melalui proses semakan DBP. Walau bagaimanapun, mohon pihak tuan membetulkan ejaan seperti di bumi, di desa, di kota dan hormat-menghormati. Untuk makluman tuan juga, dalam penulisan karya sastera, ada sedikit "kebebasan" diberikan kepada pengkarya untuk menghasilkan karyanya yang diistilahkan sebagai “kebebasan penyair” (poetic licence). Kebebasan yang dimaksudkan adalah mengubah suai bahasa seperti ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan pengkarya itu sendiri bagi melahirkan kesan tertentu. Biasanya lesen ini lebih banyak melibatkan penyair, cerpenis, novelis dan termasuk penulis lirik lagu. Sungguhpun begitu, karya seni termasuk lirik lagu yang menggunakan bahasa yang baik dan betul dapat memperkasakan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Ini kerana karya seni termasuklah lirik lagu merupakan ranah yang digemari ramai dan dapat mempopularkan sesuatu bahasa dengan cepat. Untuk membantu tuan membuat semakan penggunaan perkataan yang betul, tuan boleh menggunakan enjin carian yang telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan salah satu cara untuk membuat rujukan, mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari /http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari”.
| Lain-lain | 17.11.2021 |