1. Contoh Ayat: Sukacita kiranya pihak tuan dapat menimbang dan meluluskan syor di atas. Mengapa kita perlu menggunakan perkataan 'menimbang dan meluluskan' tetapi bukan 'menimbangkan dan meluluskan'? Saya perlukan penjelaskan kenapa imbuhan 'kan' untuk katakerja yang pertama (menimbang) digugurkan. 2. Sila komen ayat berikut: Dalam usaha menambahbaik amalan 5S.....Dalam usaha ke arah penambahbaikan amalan 5S....ayat yang mana lebih sesuai? Betulkan penggunaan perkataan menambahbaik tersebut? 3. Perkataan penambahbaikan dirapatkan kerana ia diapit oleh imbuhan pe dan kan...bagaimana pula dengan perkataan menambahbaik atau menambah baik? 4. Apakah perbezaan perkataan PERLAKSANAAN dan PELAKSANAAN? 5. Adakan perkataan PERLANTIKAN dan PELANTIKAN juga mempunyai maksud yang berbeza? 6. Bagaimana pula dengan perkataan PERLETAKAN JAWATAN atau PELETAKAN JAWATAN. | Jawapan bagi soalan-soalan tersebut adalah seperti yang berikut: 1. Imbuhan 'kan' digugurkan bagi perkataan menimbang dalam ayat tersebut kerana ayat yang menerima imbuhan 'kan' ialah kata kerja transitif, iaitu memerlukan objek atau penyambut dalam ayat. Contoh ayat, Sukacita kiranya pihak tuan dapat menimbangkan syor di atas. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194-196. 2. Ayat yang betul ialah Dalam usaha menambah baik amalan 5S..... 3. Perkataan menambah baik boleh digunakan dan dieja dua perkataan kerana menerima satu imbuhan, iaitu 'me...' pada kata dasar tambah baik, manakala perkataan penambahbaikan dieja satu perkataan kerana menerima kata kerja berapitan, iaitu 'pe...an'. 4. Perlaksanaan bermaksud hasil drpd melaksanakan (mengerjakan, menyelesaikan) sesuatu rancangan (tugas dsb). Contoh ayat, meninjau perlaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga. Pelaksanaan pula ialah perbuatan atau proses melaksanakan (menjalankan, mengusahakan) rancangan (tugas dsb). Contoh ayat, Pelaksanaan KBSR (3M) tahap pertama sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. 5. Perkataan yang tepat ialah pelantikan, iaitu kata dasar lantik menjadi melantik( perbuatan) dan pelantikan (perihal melantik), dan peletakan jawatan, iaitu orang yang meletakkan jawatan/gelaran dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.04.2010 |
ASWT.. Saya ingin memohon huraian secara jelas mengenai pantun di bawah. Pohon maaf juga kalau saya tersalah tempat untuk bertanya. Berbanyak terima kasih. Yang merah itu saga, Yang kurik itu kundi, Yang indah itu bahasa, Yang molek itu budi. | Yang merah itu saga, Yang kurik itu kundi, Yang indah itu bahasa, Yang molek itu budi.
Secara umum, pantun di atas dikategorikan dalam Pantun Budi. Dalam baris 1 dan 2, dikenali sebagai pembayang atau sampiran. Pembayang pantun tersebut mengambil unsur tumbuhan, iaitu biji saga. Kundi juga adala sejenis biji saga yang digunakan untuk menimbang emas. Dalam baris 3 dan 4 pula dikenali sebagai maksud pantun yang menyatakan bahawa yang indah itu bahasa dan yang molek itu budi. Perkataan molek jika dirujuk adalah berkaitan dengan perbuatan yang berkaitan dengan budi. Jika dikaitkan dengan pembayang dan maksud pantun di atas, kita dapat lihat bagaimana kaitan tersebut dibuat oleh pencipta pantun ini. Dalam pembayang 1, penciptanya menegaskan bahawa biji saga itu berwarna merah dan jika dikaitan dengan maksud baris pantun ke 3, pencipta juga menegaskan bahasa yang indah itu bahasa. Manakala dalam pembayang ke 2 pula pencipta menyebut perkataan kundi yang digunakan untuk menimbang emas, iaitu sesuatu yang sangat berharga dan ini dikaitkan pula dengan maksud pantun dalam baris ke 4 yang menyatakan bahawa yang molek itu budi. Cuba lihat bagaimana pencipta tersebut mengaitkan kundi dengan budi, iaitu kundi yang dijadikan alat untuk menimbang emas dan budi pula ssesuatu yang sangat berkaitan dengan akal dan pekerti yang secara simbolik sangat dipandang tinggi oleh orang Melayu. Begitulah serba ringkas huraian daripada pantun di atas. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.07.2009 |