| Saya ingin memohon pencerahan DBP berhubung maksud ayat ini yang dipetik dari undang-undang bertulis di Malaysia : "Lembaga hendaklah menimbangkan rayuan daripada mana-mana orang yang terkilan dengan penjalanan kuasa melantik dan menaikkan pangkat itu". Maksud "menimbang" di sini adakah termasuk membuat keputusan tentang rayuan tersebut? Terima kasih. | Untuk makluman tuan, dalam Kamus Dewan perkataan menimbangkan bermaksud memikirkan untuk membuat kesimpulan, keputusan dan sebagainya. Data yang diberikan ini bukan khusus kepada bidang perundangan, sebaliknya digunakan dalam ungkapan umum. | Tatabahasa | 06.02.2015 |
| tuan pandangan orang tua-tua harus diambil kira dan ditimbang sebelum sebarang tindakan diambil. tuan, mengikut jawaban buku, ditimbang adalah salah. tetapi saya merujuk kamus bahawa menimbangkan sama dengan menimbang maka, saya kekeliruan bahawa sama ada ayat itu betul atau tidak. tq | Merujuk Kamus Dewan, salah satu makna menimbangkan ialah menimbang, iaitu memikirkan (merenungkan) dengan teliti akan baik buruk sesuatu. Berdasarkan makna tersebut, ayat itu betul. | Tatabahasa | 19.09.2011 |
| Yang manakah penggunaan kata kerja yang betul? Menimbangkan permohonan tersebut atau mempertimbangkan permohonan tersebut. | kedua duanya boleh diterima pakai. | Tatabahasa | 03.11.2007 |
| 1. Contoh Ayat: Sukacita kiranya pihak tuan dapat menimbang dan meluluskan syor di atas. Mengapa kita perlu menggunakan perkataan 'menimbang dan meluluskan' tetapi bukan 'menimbangkan dan meluluskan'? Saya perlukan penjelaskan kenapa imbuhan 'kan' untuk katakerja yang pertama (menimbang) digugurkan. 2. Sila komen ayat berikut: Dalam usaha menambahbaik amalan 5S.....Dalam usaha ke arah penambahbaikan amalan 5S....ayat yang mana lebih sesuai? Betulkan penggunaan perkataan menambahbaik tersebut? 3. Perkataan penambahbaikan dirapatkan kerana ia diapit oleh imbuhan pe dan kan...bagaimana pula dengan perkataan menambahbaik atau menambah baik? 4. Apakah perbezaan perkataan PERLAKSANAAN dan PELAKSANAAN? 5. Adakan perkataan PERLANTIKAN dan PELANTIKAN juga mempunyai maksud yang berbeza? 6. Bagaimana pula dengan perkataan PERLETAKAN JAWATAN atau PELETAKAN JAWATAN. | Jawapan bagi soalan-soalan tersebut adalah seperti yang berikut: 1. Imbuhan 'kan' digugurkan bagi perkataan menimbang dalam ayat tersebut kerana ayat yang menerima imbuhan 'kan' ialah kata kerja transitif, iaitu memerlukan objek atau penyambut dalam ayat. Contoh ayat, Sukacita kiranya pihak tuan dapat menimbangkan syor di atas. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194-196. 2. Ayat yang betul ialah Dalam usaha menambah baik amalan 5S..... 3. Perkataan menambah baik boleh digunakan dan dieja dua perkataan kerana menerima satu imbuhan, iaitu 'me...' pada kata dasar tambah baik, manakala perkataan penambahbaikan dieja satu perkataan kerana menerima kata kerja berapitan, iaitu 'pe...an'. 4. Perlaksanaan bermaksud hasil drpd melaksanakan (mengerjakan, menyelesaikan) sesuatu rancangan (tugas dsb). Contoh ayat, meninjau perlaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga. Pelaksanaan pula ialah perbuatan atau proses melaksanakan (menjalankan, mengusahakan) rancangan (tugas dsb). Contoh ayat, Pelaksanaan KBSR (3M) tahap pertama sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. 5. Perkataan yang tepat ialah pelantikan, iaitu kata dasar lantik menjadi melantik( perbuatan) dan pelantikan (perihal melantik), dan peletakan jawatan, iaitu orang yang meletakkan jawatan/gelaran dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.04.2010 |
| maksud kritis | Kritis ialah kata Indonesia bermaksud tidak dgn begitu sahaja menerima atau mempersetujui sesuatu (menimbangkan buruk baiknya terlebih dahulu). | Makna | 18.08.2008 |
| Salam pagi, Ayat yang manakah lebih gramatis: 1) Kita harus mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti 2) Kita harus menimbangkan perkara tersebut dengan teliti 3) Kita harus timbangkan perkara tersebut dengan teliti. terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah Kita harus mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti.
| Tatabahasa | 13.10.2015 |
| Contoh ayat: Anggota Perbadanan dipohon untuk menimbang dan meluluskan cadangan .......... soalan - sama ada penggunaan "dipohon" itu tepat atau tidak dan jika salah, mohon mencadangkan ayat yang tepat...TQ | Penggunaan yang tepat adalah seperti yang berikut: Anggota Perbadanan dimohon untuk menimbangkan dan meluluskan cadangan .... Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat , halaman 1040 dan 1220. | Tatabahasa | 31.03.2009 |
| Apa sudah jadi dengan laman karyanet? Apakah e-buku yang diterbitkan dan tidak boleh lagi dilanggan akan diterbitkan oleh DBP dalam bentuk buku biasa? | Tuan boleh mendapatkan naskah bercetak (POD) bagi e-buku yang diterbitkan dalam Karyanet. Sila berikan tajuk buku tersebut dan kami akan membuat semakan sama ada tajuk tersebut masih ada dalam simpanan. Pihak kami juga sedang menimbangkan untuk menerbitkan e-buku tersebut dalam bentuk buku biasa jika didapati ada keperluan. | Lain-lain | 09.12.2010 |
| saya nak tanya apakah perbezaan perkataan sekitaran dan persekitaran? (jika boleh sila berikan contoh ayat) terima kasih. | Maksud Persekitaran: kawasan di sekeliling sesuatu tempat, kawasan sekitar: Ayat: Tiba-tiba sahaja muncul matahari dan menerangi persekitarannya. Maksud Sekitaran: keadaan di sekeliling (sesuatu), keadaan dan sebagainya yang menjadi seperti latar belakang (seseorang atau sesuatu) Ayat: 1. Kita tidak dapat mengelakkan daripada menimbangkan aspek bahasa seperti sekitaran dan latar belakang bahasa murid. 2. Sahsiah dan tingkah laku individu boleh menjadi negatif atau positif bergantung kepada keturunan dan suasana sekitaran keluarganya; | Makna | 11.03.2014 |
| Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya wakil dari Universiti Malaysia Pahang, sedang mencari dana untuk melancarkan aktiviti amal yang akan kami jalankan di Vietnam. Antara aktiviti yang akan kami lakukan ialah mengajar anak-anak di sana Bahasa Inggeris serta membina perpustakaan mini untuk mereka. Diharap pertanyan ini dapat dipertimbangkan.Sekian,Terima kasih.Disini juga saya ada sertakan surat memohon tajaan dari pihak DBP. | Untuk makluman tuan, DBP bukanlah organisasi yang menjana keuntungan dan membantu pihak luar melaksanakan program khidmat sosial. Walau bagaimanapun DBP boleh menimbangkan untuk membantu pihak yang berhasrat melaksanakan program memartabatkan bahasa Melayu sama ada di dalam ataupun di luar Negara. | Lain-lain | 19.05.2015 |