Saya soem salroh belajar bahasa melayu saya ingin bertanya tentang apakah makna meningkatkan? | Meningkatkan bermaksud meninggikan kedudukan (taraf dan lain-lain), membesarkan (pengeluaran dan lain-lain), memperhebat | Makna | 11.11.2015 |
Salam, apakah makna perkataan "ditingkatkan"? | Ditingkatkan ialah bentuk pasif bagi kata kerja meningkatkan yang bermaksud meninggikan taraf, kedudukan dan sebagainya. | Makna | 17.05.2013 |
1. Adakah kata 'buruk' digunakan untuk menggambarkan buah-buahan? 2. Adakah 'meningkatkan harga' digunakan untuk menunjukkan kenaikan harga? | 1. Antara frasa adjektif yang boleh digunakan untuk menggambarkan keadaan buah-buahan ialah busuk dan rosak. Kata adjektif buruk tidak sesuai untuk menggambarkan sifat/keadaan buah-buahan. 2. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, meningkatkan bermaksud meninggikan kedudukan (taraf dan lain-lain), membesarkan (pengeluaran dan lain-lain), memperhebat: daya usaha ini akan ~ kemungkinan pertumbuhan ekonomi; kerjasama antara parti-parti komponen BN perlu ditingkatkan lagi. Manakala menaikkan pula bermaksud menjadikan naik; meletakkan di tempat yang tinggi; meninggikan: ~ bendera. 2 meletakkan barang ke atas kereta, kapal dll: Kuli sedang sibuk ~ barang-barang ke kapal. 3 menjadikan lebih tinggi (pangkat, taraf hidup dsb). 4 menjadikan bertambah kuat (bkn semangat, kemarahan dan sebagainya): Kejayaan abangnya telah ~ semangat Amin untuk belajar bersungguh-sungguh. 5 menjadikan naik (berkenaan adunan kuih); mengembangkan: Serbuk penaik dicampurkan sedikit untuk ~ adunan itu. ~ gaji meninggikan gaji. ~ harga meninggikan harga. Frasa yang lebih sesuai ialah menaikkan harga yang menunjukkan kenaikan harga barg/meninggikan harga. | Tatabahasa | 13.02.2015 |
Adakah pekerjaan/proses kerja semasa anda melibatkan *alat yang menghasilkan bunyi bising ATAU mendedahkan anda kepada bunyi bising yang memerlukan anda meninggikan suara anda apabila bercakap dengan orang lain sepanjang minggu kerja anda? (*cth: mesin rumput, panyelenggara mesin/enjin/jentera, mesin pengabutan dsb) Adakah bahasa soalan di atas betul ? | Soalan yang diberikan merupakan sebahagian daripada kandungan dokumen soal selidik. Untuk makluman pihak tuan, DBP menyediakan semakan dokumen bahasa Melayu dengan kadar RM8 satu muka surat (saiz huruf 12; Arial/ Times New Roman; langkau 2 baris). Sila e-melkan dokumen tersebut kepada fadhilahbahar@dbp.gov.my untuk sebut harga dan maklumat lanjut. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 11.08.2022 |
Betulkah perkataan ini... menaik taraf (tidak ditemui dalam kamus dewan) atau menaraf? | Perkataan yang betul ialah menaik taraf - untuk maksud meningkatkan/meninggikan kedudukan (taraf, perkhidmatan dan lain-lain) | Tatabahasa | 19.05.2008 |
1.Mengapakah kata 'Peningkatan harga' boleh digunakan, tetapi kata 'meningkatkan harga' tidak boleh digunakan dalam pembinaan ayat? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "meningkatkan" bermaksud meninggikan kedudukan (taraf dan lain-lain), membesarkan (pengeluaran dan lain-lain), memperhebat (daya usaha).Manakala "peningkatan" bermaksud 'perbuatan meningkatkan". Oleh itu, ayat yang sesuai ialah "peningkatan harga", bukan "meningkatkan harga" (boleh diganti dengan "menaikkan harga"). | Tatabahasa | 28.02.2015 |
1.Beza mengangkat dan mengangkatkan dalam ayat 2. Penggunaan harus, patut dan mesti dalam ayat 3. Beza menjadi dan menjadikan dalam ayat 4. Beza memberI Dan memberikan dalam ayat | 1. Mengangkat bermaksud menggerakkan ke atas, menaikkan, meninggikan 2. membawa pergi atau membawa dari satu tempat ke tempat lain: 3. melantik, menaikkan (kedudukan, taraf, pangkat): Perkataan mengangkatkan pula bermaksud mengangkat untuk. Contohnya tolong angkatkan saya peti itu sebentar; ~ topinya akan memberi hormat. 2. Perkataan harus bermaksud: 1. tidak boleh tidak, tidak dapat tidak, mesti, patut, wajib; 2.boleh jadi, mungkin; 3. tidak mustahil (berlaku, terjadi, dsb) atau mungkin; dan 4. boleh dilakukan dan boleh pula ditinggalkan. Manakala perkataan mesti bermaksud: 1. tidak boleh tidak, wajib; 2. tentu; dan 3. patut, wajar. Berdasarkan makna tersebut dalam keadaan tertentu perkataan harus boleh saling berganti dengan perkataan mesti seperti ayat Kita mempunyai kepentingan sendiri yang harus/mesti dijaga. Manakala dalam keadaan yang lain pula kedua-dua perkataan tersebut tidak dapat bertukar ganti, seperti Harus seorang musuh itu bertukar menjadi seorang kawan dan Apa-apa yang dilakukan Kamal mestilah Aini tahu. 3. Perkataan menjadikan bermaksud menggunakan sebagai; membuat: Mereka telah menjadikan gua itu tempat persembunyian mereka. 2 melantik atau mengangkat sbg: 3 menyebabkan; menimbulkan: 4 mencipta; mewujudkan: Perkataan menjadi pula bermaksud dipilih atau diangkat sebagai; bekerja atau bertindak sbg 2 berubah kepada rupa (keadaan, bentuk dll) yang lain. 3 hidup (tumbuh) dengan suburnya; mendatangkan hasil yang banyak: 4. Perkataan "memberi" dan "memberikan" merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan "memberi" hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala "memberikan" hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa, seperti memberi adiknya sebuah buku cerita dan memberikan taklimat kepada peserta.
| Tatabahasa | 22.07.2018 |
Apakah perbezaan penggunaan kata angkat dan angkut dalam ayat bahasa Melayu baku dan padanan Inggeris - Melayu? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata angkat mempunyai 4 makna, dan makna pertama ialah meninggikan, menaikkan ke atas. Bagi kata angkut pula bermaksud mengangkat dan membawa.
| Makna | 14.11.2018 |
level up comunication skill level up selain daripada menggunakan perkataan - meningkatkan / tahap lebih tinggi apakah ayat yang lebih sesuai untuk digunakan? | Perkataan lain yang dicadangkan untuk padanan level up communication skill ialah meninggikan lagi tahap/menaikkan tahap/menambah baik kemahiran berkomunikasi. | Istilah | 10.03.2017 |
saya ingin bertanya, bolehkah pihak DBP senaraikan kelemahan dan kelebihan tulisan Rumi dan Jawi yang terkandung di dalam Memorandum ASAS 50 1954? Sekiranya tidak boleh, boleh pihak DBP cadangkan ke mana soalan ini harus ditujukan agar diperolehi jawapan? Terima kasih | Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) diwujudkan di Singapura pada tahun 1950. Tujuan penubuhannya adalah untuk meluaskan dan meninggikan mutu sastera Melayu, melindungi hak-hak dan kepentingan para penulis dan membuat pembaharuan dalam sastera Melayu. Walau bagaimanapun, kami tidak ada maklumat berkenaan kelemahan dan kelebihan tulisan Rumi dan Jawi dalam Memorandum ASAS 50 1954. Mungkin tuan boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui carian di Internet atau sumber-sumber yang boleh dipercayai. | Lain-lain | 01.09.2021 |