Salam, cuba damaikan maksud "ganda"; menurut kamus-kamus dalam internet: "Sekali ganda" bermaksud: 1 menjadi 2, 2 menjadi 4, 4 menjadi 8 "Double" pula diterjemahkan "dua kali ganda": 1 menjadi 2, 2 menjadi empat, 4 menjadi 8 Maka, "sekali ganda" = "dua kali ganda"? Agak mengelirukan. | Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, 'double' bermaksud berganda atau sekali ganda manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud sekali ganda ialah satu kali lebih banyak daripada yang asal (contoh: empat menjadi lapan) | Makna | 02.12.2021 |
Adakah DBP mempunyai pedoman pengejaan istilah berakhiran -phobia, -phobe, -philia dan -phile yang diserap masuk bahasa Melayu? Contohnya astraphobia menjadi astrafobia, xenophilia menjadi xenofilia, Islamophobe menjadi Islamofob (atau Islamofobiawan?) dan pedophile menjadi pedofil (atau pedofiliawan)? Terima kasih didahulukan. | Penulisan kata serapan mempunyai kaedah tertentu seperti yang terkandung dalam Pedoman Ejaan Umum Bahasa Melayu dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu. Antara lain, ph akan menjadi f, maka Islamophobia akan menjadi Islamofobia, astraphobia akan menjadi astrafobia, pedophilia akan menjadi pedofilia. | Ejaan | 19.04.2019 |
Apa kaedah membentuk kata bahasa Melayu daripada pinjaman/serapan bahasa Inggeris melibatkan -sion? Kenapa television menjadi televisyen, vision menjadi visi, profession menjadi profesion? | Untuk maklumat tuan/puan, sesuatu istilah dibentuk berpandukan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM, 2005). Dari segi pembentukan istilah, pinjaman/serapan bahasa Inggeris yang melibatkan -sion dipadankan dengan -sion, -si atau -syen. Oleh yang demikian, (profession - profesion, vision - visi dan television - televisyen). Lazimnya, kata yang terserap sepenuhnya dari segi ejaan dan bunyi adalah melalui penciptaan istilah (Nik Safiah et al., 2013). Selain itu, istilah asing tersebut telah sebati dalam pengucapan dan penulisannya dalam bahasa Melayu. | Istilah | 15.02.2024 |
Mengapakah ejaan betul chalet dan bukan calet? Bukankah ch menjadi c dalam bahasa Melayu baku? Chandelier menjadi candelier, chef menjadi cef. Mengapakah chalet mendapat pengecualian? | Pakar bidang telah memutuskan peminjaman perkataan chalet dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan bentuk ejaan dan sebutannya. | Istilah | 11.03.2019 |
Sila lengkapkan peribahasa yang berikut dengan betul. Jangan membuat apa-apa perubahan terhadap peribahasa yang diberi. Terima kasih. 1. Asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain, | Jawapan yang betul ialah, Asal kapas menjadi benang, Sudah benang menjadi kain; Barang lepas jangan dikenang, Sudah jadi orang lain. (Kurik Kundi Merah Saga, Kumpulan Pantun Lisan Melayu, DBP, 2005)
| Lain-lain | 13.01.2022 |
"ketika baharu menjadi penyelidik" atau "ketika baru menjadi penyelidik"? jika saya lihat dalam KDP "baru" membawa maksud belum ada sebelumnya, manakala "baharu" membawa maksud mempebaharu, untuk konteks "menjadi seorang" adakah perlu digunakan "baharu" atau "baru" | Kedua-dua perkataan, baru dan baharu boleh digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 12.09.2024 |
‘Jadi’ golongan kata apa? Apabila ditambah imbuhan, ‘menjadi’ ialah kata kerja aktif tak transitif. Apakah perbezaan antara penggunaan perkataan ‘menjadi’ dengan ‘menjadikan’? | Jadi ialah golongan kata kerja. Perbezaan penggunaan perkataan “menjadi” dengan “menjadikan” ialah apabila kata tersebut menerima awalan meN- dan apitan meN-...-kan. “Menjadi” ialah kata kerja tak transitif seperti contoh ayat: “Tan Sri Dr. Salma Ismail merupakan wanita Melayu pertama yang menjadi doktor.“ “Menjadikan” ialah kata kerja transitif seperti contoh ayat: “Pergolakan yang berlaku itu menjadikan negara tersebut kucar-kacir.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 851. | Tatabahasa | 27.09.2024 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adakah kata "obsess" boleh diterjemah menjadi "obses", dan "obses" dapat berfungsi menjadi kata kerja? Atau "obsess" diterjemah menjadi "obsesi", akan tetapi obsesi itu kata nama. Atau ada perkataan yang lebih tepat untuk menterjemah kata obsess? terima kasih | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 1554, “obses” merupakan kelas kata adjektif yang bermaksud asyik atau sentiasa memikirkan atau mengenangkan sesuatu, manakala “obsesi” merupakan kelas kata nama yang bermaksud keinginan atau kebimbangan yang keterlaluan terhadap seseorang atau sesuatu. | Tatabahasa | 13.05.2025 |
Salam sejahtera. Pihak tuan menyatakan bahawa kata relatif “yang” boleh menjadi sebahagian daripada predikat, tetapi tidak boleh menjadi penanda predikat. Frasa “tidak boleh menjadi penanda predikat” agak mengelirukan. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata relatif ialah perkataan yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Dengan ini, “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” adalah tidak gramatis. Saya mengatakan demikian kerana ayat ini bukan ayat tunggal mahupun ayat majmuk pancangan. Kalau ayat tunggal, yang mana subjek dan yang mana predikat? Kalau ayat majmuk pancangan relatif, yang mana klausa utama, yang mana klausa kecil? Sekian, terima kasih. | Penanda predikat yang dimaksudkan ialah pola ayat, iaitu Subjek + Predikat dan predikat boleh terdiri daripada Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif atau Frasa Sendi Nama. Kami bersetuju dengan pandangan tuan, frasa “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” adalah tidak gramatis kerana kerana tiada predikat melengkapkan ayat. Kami mohon maaf atas kekeliruan jawapan yang diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 29.11.2018 |
Adakah frasa "Mendepani Pertanian" bermaksud menjuarai pertanian? Terima kasih | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mendepani bermaksud 1. berada di depan sesuatu 2. berusaha tidak mahu ketinggalan; mendahului. Perkataan "menjuarai" pula bermaksud menjadi juara, menjadi johan 2. memperjuangkan (mempertahankan, menyokong dan sebagainya) dengan sesungguhnya. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini berbeza maksudnya. | Istilah | 31.10.2015 |