Assalamualaikum... Perkataan mentor-menti atau mentor menti tergolong dalam bentuk kata ganda atau kata majmuk? Terima kasih | Perkataan mentor menti merupakan dua morfem bebas, bukannya kata ganda atau kata majmuk. Mentor bermaksud pembimbing atau penasihat manakala menti bermaksud orang yang diberi tinjuk ajar. Sama juga dengan perkataan ibu bapa, suami isteri. Kata ganda ialah proses menggandakan kata dasar, kata majmuk pula terhasil daripada proses merangkaikan dua atau lebih kata dasar yang membawa maksud tertentu. Rujuk Tatabahasa Dewan halaman 76-79 untuk kata kata dan halaman 133-141 untuk kata majmuk. | Tatabahasa | 02.03.2014 |
1.kata 'mentor-mentee' atau 'mentor mentee'? 2. Dalam BM ada tak kata 'mentee'? | Istilah mentee telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu dan ejaan yang betul ialah menti. | Istilah | 20.05.2011 |
istilah perkataan mentor | Makna mentor ialah pembimbing atau penasihat (yg arif dan berpengalaman) kpd seseorang. | Makna | 24.09.2008 |
Program Mentor Mentee telah dijalankan di sekolah. Saya difahamkan bahawa perkataan sebenar 'Mentee' adalah 'Menti'. Sekarang saya sedang sediakan kertas kerja, saya ingin pastikan sama ada saya perlu menggunakan perkataan Mentee atau Menti. Mohon pencerahan. | Istilah mentee telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu dan ejaan yang betul ialah menti. | Ejaan | 29.08.2013 |
Aduan berhubung Juri dalam program mentor, TV3. Menggunakan bahasa yang bercampur aduk (BM/BI) yang boleh merosakkan bahasa Melayu terutama kepada golongan anak-anak muda. Beliau minta Kementerian Komunikasi dan Multimedia buat pemantauan. | Contoh pencemaran bahasa : "Saya fikir this is not good" - Beliau meminta supaya DBP/Kementerian Komunikasi Multimedia mengambil serius tentang perkara ini. | Lain-lain | 22.12.2014 |
Apakah istilah terbaik untuk 'coaching and mentoring? Istilah 'jurulatih dan mentor' dirasakan kurang tepat. Bolehkan ditukar kepada bidang bimbingan dan pementoran? Terima kasih. | Istilah "bimbingan" dan "pementoran" adalah betul dan boleh digunakan. | Istilah | 06.02.2014 |
Saya ingin mengetahui istilah yang betul untuk "talent pool" dan "talent bench strenght" serta "coaching and mentoring" | Kesemua istilah yang dikemukakan berkaitan pengurusan atau pentadbiran yang belum didaftarkan padanan nya dalam bahasa Melayu. Talent pool bermaksud pengurusan/program membangunkan kerjaya pekerja yang berpotensi. Berdasarkan istilah sumur /telaga minyak, saya cadangkan talent pool = sumur sumber manusia/sumur pekerja. Talent bench strenght = kekuatan tanda aras sumber manusia. Daripada istilah Coach = pembimbing, jurulatih, koc. mentor = mentor. Dicadangkan Coaching= bimbingan, kejurulatihan. | Istilah | 30.07.2011 |
bagaimanakah cara untuk saya jadi seorang penulis novel? | Ada pelbagai cara untuk menjadi seorang penulis novel. Antaranya saudara perlu banyak membaca novel karya orang lain terlebih dahulu mengikut tema yang menjadi minat saudara seperti kisah cinta, penyiasatan, sejarah, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, latar, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens, imbas muka, imbas kembali, pembahagian bab, dan unsur lain yang menjalin struktur sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, budaya, sains, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, akademi penulisn atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak panduan untuk saudara menulis. Mungkin saudara boleh mulakan dahulu dengan menulis cerpen untuk memantapkan penulisan saudara. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis fiksyen yang baik, mahu tidak mahu ia bergantung juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah bakat seni (kreatif) tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Semoga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti. | Lain-lain | 27.10.2010 |
salam. saya amat meminati dunia penulisan. saya pernah menghasilkan satu novel online. Tapi, daripada segi kualiti mungkin agak rendah kerana mungkin penggunaan struktur kata yang agak kurang bijak, tidak cukup puitis, kosa kata tidak meluas dan kadang-kadang pengakhiran cerita dapat diteka oleh pembaca. Saya betul-betul berminat untuk menjadi penulis dan menerbitkan buku. Saya berkehendakkan khidmat daripada DBP dalam memberi tunjuk ajar dan tips bagi menjadi seorang penulis. harap kepada respon. kerjasama tuan diucapkan terima kasih. | Salam. Tips untuk menjadi penulis, antara lain, saudara perlu banyak membaca karya orang lain terlebih dahulu. Jika saudara ingin menulis novel misalnya, maka bacalah novel yang temanya menjadi minat saudara, contohnya kisah cinta, penyiasatan, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, seting, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens; pembahagian bab, dan apa-apa sahaja yang menjalin sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga, banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak tips untuk saudara menulis. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis yang baik, maka mahu tidak mahu, ia terpulang juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah, bakat semula jadi (alami), tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Moga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti, insya-Allah. Wassalam. | Lain-lain | 05.05.2010 |