Dalam konsep qazaf, ada beberapa pendapat bercanggah dalam memberi makna qazaf tersebut. Versi pertama, qazaf bermaksud menuduh perempuan suci berzina (berdasarkan buku teks pendidikan islam kssm tingkatan 5). Versi kedua, menuduh perempuan solehah/baik berzina(melalui enjin carian Google). Adakah kedua-dua versi ini membawa kepada makna yang sama? | Khidmat Nasihat DBP tidak dapat menentukan takrif yang paling tepat antara kedua-dua sumber yang diberikan. Walau bagaimanapun, berdasarkan himpunan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, qazaf dari segi istilah ialah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan (Mukhtar al-Sihah), dan sebahagian ulama lagi mendefinisikan qazaf sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.
| Tatabahasa | 16.04.2022 |
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
Selamat sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Ibu menapis jus buah-buahan itu sebelum minum. 2. Mentol itu sudah rosak terbakar. 3. Dia menuduh syarikat itu atas masalah kontrak. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1. Ibu menapis jus buah-buahan itu sebelum diminum. 2. Mentol itu sudah rosak. 3. Dia memfailkan saman terhadap syarikat itu atas masalah kontrak. | Tatabahasa | 29.08.2012 |
apakah maksud simpulan bahasa bagi serkap jarang? saya sudah mencari di dalam kamus tapi tiada ,jadi saya berharap agar DBP boleh membantu saya .terima kasih | Maksud simpulan bahasa "serkap jarang" ialah menuduh (meneka dan lain-lain) secara sembarangan atau agak-agak sahaja | Makna | 12.06.2016 |
Petuduh itu tidak dapat memberikan bukti tentang tuduhannya itu. munsyi, bagaimana betulkan ayat ini? TQ | Untuk makluman, petuduh bermaksud orang yang dituduh. Penuduh pula bermaksud orang yang menuduh. Dalam konteks ayat yang diberikan, perkataan yang lebih sesuai ialah penuduh. | Tatabahasa | 07.02.2012 |
Rangkaian kata ''melakukan siasatan'' betul atau ''menjalankan siasatan'' yang betul? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, menjalankan bermaksud 1. mengusahakan (membuat) supaya berjalan (kereta, kereta api, mesin, perniagaan dan lain-lain). Contoh ayat: (a) Dia cuba menjalankan kereta itu tetapi tidak berjaya. (b) Setelah ayahnya meninggal dunia, Alilah yang menjalankan perniagaan itu. 2. mengerjakan (tugas dan lain-lain), melaksanakan. Contoh ayat: Pak Leman tidak berasa susah untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang penarik beca. Kata melakukan pula membawa maksud menjalankan (tugas), membuat (kerja dan lain-lain), mengerjakan. Contoh ayat: Kitalah yang berdosa kerana menuduh ia melakukan perkara yang bukan-bukan. Berdasarkan keterangan di atas, rangkaian kata "melakukan siasatan" dan "menjalankan siasatan" mempunyai maksud yang sama dan betul penggunaannya dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 09.07.2021 |