1. Sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk itu membuatkan orang kampung ________ melihatnya. Apakah perkataan itu, jika "tempang" salah. 2. Beratus-ratus bungkus tepung dandum disorokkan di gudang oleh peniaga yang tamak. Adakah ayat in betul? 3. Pinggan itu ditunjukkan oleh pelayan restoran kepada tetamu yang ingin mengambil makanan. Adakah ayat in betul? Terima kasih! | 1. Sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk itu membuatkan orang kampung meluat/menyampah melihatnya. 2. Beratus-ratus bungkus tepung gandum disorokkan di gudang oleh peniaga yang tamak. - ayatini kurang tepat, sila baiki ejaan dan penggunaan kata sendi nama di ditukar kepada di dalam. 3. Pinggan itu ditunjukkan oleh pelayan restoran kepada tetamu yang ingin mengambil makanan. - ayat ini juga kurang tepat. Ditunjukkan bermaksud diperlihatkan, sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih tepat dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 19.03.2012 |
menunjukkan sebab atau menunjuk sebab? | Kedua-duanya boleh digunakan. Namun begitu, frasa yang lebih tepat ialah menunjukkan sebab. | Ejaan | 13.06.2021 |
Adakah ayat ini betul? Ayah menunjuk ajar saya bermain layang-layang. | Ayat yang lebih gramatis ialah "Ayah mengajar saya bermain layang-layang." | Tatabahasa | 15.11.2013 |
Masukan ejaan untuk perkataan "Ta" yg menunjuk ke Huruf Jawi/Arab tO طاء salah, sepatutnya طاء dan bukannya تاء juga. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ta | Terdapat ralat dalam paparan di PRPM. Pihak kami akan membaiki paparan ejaan Jawi bagi kata ta (tho) ini. Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:2199), ta1 تاء kata nama 1 huruf ketiga dalam abjad Jawi yang ditulis dgn simbol ت 2 huruf ketiga dalam abjad Arab yang mempunyai nilai 400; ta maftuhah ta; ta marbutah huruf keempat dalam abjad Jawi yang ditulis dengan simbol ة , yang menjadi ha simpul apabila wakaf dan ta apabila wasal. ta2 طاء kata nama 1 huruf ke-18 dalam abjad Jawi yang ditulis dengan simbol ط 2 huruf ke-16 abjad Arab yang mempunyai nilai sembilan. Ejaan Jawi ini adalah berpandukan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi dan Kamus Dewan Perdana terbitan DBP yang terkini. | Ejaan | 26.02.2024 |
Bolehkah perkataan 'terhuyung hayang' digunakan untuk kapal atau perahu yang menunjuk bergerak ke kanan dan ke kiri setelah dipukul ombak? | Terhuyung-hayang biasanya digunakan untuk orang. Istilah yang tepat untuk merujuk perahu yang bergerak ke kiri dan ke kanan ialah beroleng-oleng. | Istilah | 19.04.2009 |
Salam sejahtera. Soalan saya mengenai kesahihan susunan ayat berikut, dan harap dapat menunjuk ajar cara tulis yang betul jika salah. Selain itu, turut dapat diperhatikan pada filem calitan darah adalah kewujudan sel darah merah terkecut. | Saya kurang jelas dengan maksud "darah merah terkecut" adakah ia merupakan istilah khusus dalam bidang perubatan atau perkataan "terkecut" ini merujuk kepada darah beku? maka ayat tersebut boleh ditulis seperti berikut: 1) Selain itu, pada filem calitan darah terdapat darah merah beku. 2). Selain itu, terdapat darah merah beku pada filem calitan darah. | Lain-lain | 21.09.2017 |
Salam sejahtera saya ucapkan kepada pihak DBP yang saya hormati. Saya ingin menunjuk ajar tentang penggunaan kata sendi "terhadap" dan "tentang/mengenai" dalam penggunaan kata sendi dengan benda abstrak dan benda konkrit. Apa yang saya kelirukan adalah seperti ayat di bawah: Soalan 1: a) Kesan terhadap pertanian b) Kesan tentang/mengenai pertanian Guru saya mengajar saya bahawa jika selepas kata sendi "terhadap" mestilah ada objek konkrit dan selepas kata sendi "tentang/mengenai" mesti mempunyai objek abstrak. Tetapi saya telah banyak merujuk buku lain dan saya mendapati penulis suka sangat menggunakan "terhadap" dengan objek abstrak. Sehubungan dengan itu, saya ingin menanyakan soalan yang kedua. Soalan 2: Pertanian, negara, negeri, daerah, wilayah dan kawasan ialah objek abstrak atau objek konkrit? Jadi apabila kita menggunakan perkataan "dalam" yang berfungsi untuk hadir sebelum objek abstrak, kita menggunakan "di dalam negeri/daerah/wilayah/kawasan, atau dalam negeri/daerah/wilayah/kawasan" ? Sekian sahaja soalan dan masalah saya. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menganalisis soalan saya walaupun sibuk. | Kata sendi nama “terhadap” digunakan digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contoh: i. Seorang ketua harus bersikap adil “terhadap” anak buahnya. ii. Tanamilah rasa belas kasihan “terhadap” binatang. Kata sendi nama “tentang” digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Contoh: i. Mereka berbincang “tentang” masalah negara. ii. Kami perlu merujuk ketua kami dahulu “tentang” kelewatan bayaran. Perkataan “mengenai” tergolong sebagai kata kerja yang bermaksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaan mengenai yang disamakan dengan tentang berfungsi sebagai kata sendi nama. Contoh: Antara laporan yang disediakan itu termasuklah ringkasan mengenai keperluan tenaga manusia dan keperluan kemudahan. Perkataan pertanian, negara, negeri, daerah, wilayah dan kawasan ialah objek konkrit. Oleh itu, perlu digunakan “di dalam”. | Tatabahasa | 27.04.2014 |
Bolehkah ayat bermula dengan ini? | Perkataan ini ialah kata ganti nama tunjuk umum yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk. Terdapat dua kata ganti nama tunjuk umum, iaitu ini (menunjuk pada yang dekat), dan itu (menunjuk pada yang jauh). Contoh dalam ayat: 1. Ini hasil nukilan penulis muda itu. 2. Itu buku biografi Pendeta Za'ba. | Tatabahasa | 15.08.2011 |
Apakah terjemahan yang paling tepat bagi "instructur" dalam bahasa Melayu? (Merujuk kepada orang yang bertanggungjawab menunjuk ajar cara-cara mengunakan alat senaman bina badan kepada ahli di gimnasium) | Padanan bahasa Melayu bagi perkataan instructor ialah pengajar atau jurulatih. | Istilah | 23.09.2007 |
1) Perubahan itu menunjukkan kepada kita bahawa kerajaan ada usaha untuk menangani masalah tersebut. 2) Perubahan itu menunjuk kepada kita bahawa kerajaan ada usaha untuk menangani masalah tersebut. Ayat mana satukah yang betul? Pada pendapat saya, ayat pertama baru betul, kerana menunjukkan ialah kata kerja transitif yg memerlukan objek, dan frasa bahawa bahawa kerajaan ada usaha untuk menangani masalah tersebut ialah subordinate clause yg boleh berdiri sebagai objek. Betulkah pengertian saya? | Ayat yang tepat ialah “Perubahan itu menunjukkan bahawa kerajaan telah berusaha untuk menangani masalah tersebut.” | Lain-lain | 28.11.2023 |