Saya ingin kepastian berkaitan tatabahasa beberapa ayat serta pertanyaan terjemahan yang akan saya kemukakan di bawah. 1. "Pada tahun 1942, pentadbiran British di Singapura telah menyerah kalah secara rasmi kepada / terhadap Jepun. Kata 'kepada' atau 'terhadap' yang lebih sesuai? 2. "Kedai itu beroperasi di bawah SOP yang ditetapkan" atau "Kedai itu beroperasi bawah SOP yang ditetapkan" Adakah SOP itu konkrit atau abstrak sebab saya keliru dengan penggunaan di kerana di digunakan menyatakan objek konkrit. SOP dikatakan konkrit? 3. Apakah terjemahan sesuai untuk "multiplayer mode" dan "single player mode". Ia merupakan istilah digunakan dalam permainan video. | 1. Jawapan yang betul ialah Pada tahun 1942, pentadbiran British di Singapura telah menyerah kalah secara rasmi kepada Jepun 2. Ya, SOP ialah konkrit. Oleh itu, ayat yang betul ialah Kedai itu beroperasi di bawah SOP yang ditetapkan. 3. Sehingga kini masih belum ada lagi istilah tersebut dalam data kami. Oleh yang sedemikian, sekiranya bersesuaian dengan konteks penggunaaan tuan/puan, kami mencadangkan multiplayer mode ialah mod berbilang pemain, manakala single player mode ialah mod pemain tunggal.
| Lain-lain | 16.10.2020 |
Sila semak struktur ayat-ayat berikut: 1. Jika ibu bapa hendak membawa anak keluar dari daerah Sandakan untuk bercuti semasa hari persekolahan, ibu bapa harus membawa surat memohon cuti berjumpa dengan guru besar. 2. Jika ibu bapa hendak membawa anak balik awal semasa hari persekolahan, ibu bapa harus berjumpa dengan kerani sekolah untuk mengisi Borang Kebenaran Balik Awal. Ibu bapa harus membawa Borang Kebenaran Balik Awal ke kelas anak dan menyerahkan borang tersebut kepada pengawal keselamatan sekolah sebelum keluar dari pintu sekolah. 3. Jika murid tidak dapat hadir pada kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum. Ibu bapa harus membawa anak berjumpa dengan Penolong Kanan I (kelas tambahan) atau Penolong Kanan III (aktiviti kokurikulum) dan mengisi Borang Kebenaran Balik Awal. Borang tersebut hendaklah menyerah kepada pengawal keselamatan sekolah sebelum keluar dari pintu sekolah. 4. Semua alat persekolahan murid mesti menulis nama atau melekat nama. Setiap hari Isnin, ada seorang guru bertugas di kantin B untuk murid menemukan barang-barang yang tercicir di sekolah. 5. Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia diadakan oleh pihak sekolah pada 2 Julai 2011(Hari Sabtu) . | 1. Jika ibu bapa hendak membawa anak keluar dari daerah Sandakan semasa hari persekolahan, ibu bapa harus mengemukakan surat memohon cuti dan berjumpa dengan guru besar. 2. Jika ibu bapa hendak membawa anak balik awal semasa hari persekolahan, ibu bapa harus berjumpa dengan kerani sekolah untuk mengisi Borang Kebenaran Balik Awal. Ibu bapa harus membawa Borang Kebenaran Balik Awal ke kelas anak dan menyerahkan borang tersebut kepada pengawal keselamatan sekolah sebelum keluar daripada pintu pagar sekolah. 3. Jika murid tidak dapat hadir ke kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum, ibu bapa harus membawa anak berjumpa dengan Penolong Kanan I (kelas tambahan) atau Penolong Kanan III (aktiviti kokurikulum) dan mengisi Borang Kebenaran Balik Awal. Borang tersebut hendaklah diserahkan kepada pengawal keselamatan sekolah sebelum keluar daripada pintu pagar sekolah. 4. Semua alat persekolahan murid mesti ditulis nama atau dilekatkan tanda nama. Setiap hari Isnin, seorang guru bertugas di kantin B dan murid-murid boleh menyerahkan barang yang dijumpai kepada guru tersebut. 5. Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia akan diadakan oleh pihak sekolah pada 2 Julai 2011(Hari Sabtu) . | Tatabahasa | 26.06.2011 |