menyuara pendapat @ menyuarakan pendapat... mane yg betul??? | Saudara Laila, Yang betul ialah 'menyuarakan pendapat'. Perkataan 'suara' menerima imbuhan meN yang membentuk kata kerja transitif, iaitu 'menyuarakan'. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut tentang perkara ini. | Tatabahasa | 08.08.2009 |
Siapakah individu-individu, kumpulan, organisasi utama yang menyuarakan pendapat mereka tentang masalah kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan? | Semua rakyat boleh bersuara untuk menyuarakan pendapat tentang masalah penggunaan bahasa di tempat awam tetapi hendaklah melalui saluran yang betul. Masalah penggunaan bahasa tersebut boleh dimajukan terus kepada pihak berkuasa tempatan dan juga kepada Bahagian Dasar Bahasa, DBP yang menyediakan khidmat pemantauan bahasa pada papan tanda dan media massa. | Tatabahasa | 04.09.2009 |
Salam sejahtera, di sini saya ingin menyuarakan satu ketidakpuashatian terhadap Laman DBP. Saya hanya seorang pelajar yang berumur 14 tahun, namun saya amat cinta terhadap bidang bahasa dan sastera. Walaubagaimanapun, saya bersekolah di sekolah mubaligh yang sudah semestinya mengguna bahasa Inggeris apabila berkomunikasi kecuali dalam subjek-subjek tertentu. Pelbagai program yang dianjurkan di sekolah berkait rapat dengan bahasa Inggeris. Justeru, saya amat berbesar hati apabila mendengar tentang Rakan Dewan yang dijalankan oleh pihak DBP. Sayangnya, ia memerlukan ahli yang berumur 18 tahun ke atas. Saya juga mempunyai cita-cita setinggi langit untuk menjadi ahli sasterawan yang berjaya dan bergaul serta dapat berbincang dengan karyawan, sasterawan dan cendekiawan yang hebat-hebatbelaka seperti Usman Awang. Harap pihak DBP dapat mendengar keluhan saya. Saya juga ingin bertanya mengapakah ahli Rakan Dewan mesti berumur 18 tahun ke atas? | Tahniah atas minat dan kecintaan saudara terhadap bahasa kebangsaan kita. Begitulah sepatutnya jati diri yang perlu ada pada setiap warga Malaysia. Tentang keahlian Rakan Dewan, ada baiknya suadara bertanya terus kepada bahagian yang berwenang, iaitu Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), DBP melalui talian 03-21479000/01/02 atau e-mel pertanyaan kepada Ketua PDM, Puan Kamriah binti Abu Samah, kamariah@dbp.gov.my. | Lain-lain | 20.10.2015 |
Nirmala Agung Jan 19th, 11:32pm Salam, saya seorang graduan yang bukan dari bidang bahasa. saya sedang berjinak-jinak untuk menjadi penulis, tujuan saya mengirim pesanan ini adalah untuk menyuarakan kerisauan tentang kandungan kamus dewan. saya berharap kata serapan arab dan inggeris. saya cuma risau nanti bahasa melayu di nusantara ini akan jadi bahasa inggeris pada akademik, sosial dan ekonomi (Malang tidak dapat dielak perkataan Sosial,ekonomi dan akademik adalah serapan dari barat) dan arab pada agama. anak muda-mudi kini semakin hanyut dan hanya tidak sampai sesuku per 100 dari perkataan melayu dari kamus dewan digunapakai. Saya berharap sangat pakar bahasa kembali waras dan sedar tanggungjawab mereka untuk anak cucu melayu di tahun-tahun yang jauh ke dihadapan.. sedangkan penulisan ini pun sudah rosak dengan kata serapan. Sekian,.. Nirmala agung | Antara konsep pembentukan istilah ialah mengambil istilah yang ada dalam pelbagai dialek dan kemudiannya barulah bahasa asing. Cara mengejanya adalah mengikut kaedah ilmiah pembentukan istilah. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik tidak terkecuali dalam hal ini dan menerima unsur/pengaruh daripada bahasa luar termasuk bahasa Inggeris atau bahasa yang lain juga mengikut konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun proses ini tidaklah dilakukan dengan sewenang-wenangnya, melainkan telah mematuhi syarat pembentukan istilah yang sedia ada. | Lain-lain | 19.01.2015 |
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Soalan saya. 1. Adakah sesuai penggunaan perkataan kepemimpinan dalam ayat ini? "namun sikap yang ada pada Ainur Mustika sudah berjaya untuk membuktikan bahawa walaupun wanita itu tidak terlibat secara langsung dalam proses kepemimpinan, mereka mampu menyuarakan pendapat seiring dengan pemimpin supaya cadangan mereka didengari." 2. Bolehkah saudara/saudari menjelaskan dengan terperinci perbezaan penggunaan istilah kepimpinan dan kepemimpinan?Saya kurang faham akan maksudnya dalam kamus dewan. 3. Adakah saya dikira salah jika menggunakan istilah kepimpinan jika sepatutnya istilah kepemimpinan saya gunakan? Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin dan kepemimpinan bermaksud keupayaan sebagai pemimpin. Pada pandangan kami apabila melihat kepada perbuatan perkataan kepimpinan yang digunakan, manakala apabila melihat kepada ketokohan dan digunakan dalam konteks yang lebih besar perkataan kepemimpinan lebih sesuai digunakan. Oleh itu, penggunaan perkataan tersebut mesti sesuai dengan konsep makna dan konteks penggunaannya. Dan perlu diingat kepimpinan dan kepemimpinan bukanlah suatu proses tetapi keupayaan. | Tatabahasa | 03.10.2013 |
Merujuk kepada soalan yang ditanya pada 10/07/2014 dan jawapan yang diberi pada hari yang sama. Soalan: Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? Jawapan: Boleh. Ini ialah soalan nilai murni yang keluar dalam peperiksaan percubaan Bahasa Melayu (SJKC) pada 8/7/2014, jawapan yang diberi oleh cikgu sekolah ialah bertimbang rasa, Walaupun saya menyuarakan pendapat saya dan jawapan yang diberi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dia tidak menerima jawapan taat kepada ibubapa. Apakah cara yang ada untuk saya rujuk kepada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang mengenai jawapan kepada soalan ini ? Apakah sumber atau personel yang boleh menolong saya dalam hal ini ? | Untuk makluman, dalam hal peperiksaan pihak yang menganjurkan peperiksaan dalam hal ini ialah pihak sekolah merupakan pihak yang berhak dalam hal ehwal peperiksaan termasuklah jawapan kerana sudah pasti pihak sekolah menyediakan soalan bersama dengan jawapan/ skema jawapan yang telah dipersetujui oleh pihak panitia. Jawapan kami sekadar pandangan kami, namun jawapan guru berdasarkan skema yang telah dipersetujui. Perlu diingat bahasa ialah sesuatu yang subjektif dan berkemungkinan boleh menerima pelbagai jawapan daripada satu soalan. Namun pihak penganjur mempunyai kuasa untuk memilih jawapan terbaik yang dirasakan betul berasaskan kewajaran tertentu. | Lain-lain | 15.07.2014 |
Salam Tuan. Saya ingin memohon agar pihak DBP dapat membuat saranan kepada Menteri Pelajaran Malaysia agar memperkenalkan semula Tulisan Jawi kepada murid-murid sekolah melalui subjek Bahasa Melayu. Ini kerana KPM sedang membuka ruang dialog kpd rakyat Malaysia dalam menggubal kurikulum pendidikan negara yang baharu. Tulisan Jawi yang kini hanya dipelajari oleh murid Melayu dalam pelajaran Agama Islam perlu diperluaskan ilmu tentangnya seperti awal tahun 1970an. Amatlah menyedihkan apabila tulisan yang indah ini semakin dilupakan oleh bangsanya sendiri. Saya beranggapan memang menjadi tanggungjawab DBP memastikan kegemllangan tulisan jawi dan Bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Sekian, terima kasih. | Kami bersetuju dengan pandangan puan. Molek kiranya kita bersama-sama dalam satu keluarga (Kementerian Pelajaran Malaysia) menyuarakan kepada pihak atasan agar perkara ini diambil perhatian dan tindakan. Hal ini elok dibangkitkan dalam suasana memartabatkan tulisan Jawi dan yang paling terbaharu Melaka akan melaksanakan papan tanda tulisan Jawi mulai bulan Jun 2012. | Lain-lain | 19.05.2012 |