Salam sejahtera, kata 'menyumbang' membawa makna (i) memberikan sumbangan / bantuan (ii) membekalkan tenaga, fikiran dsb. berdasarkan Kamus Bahasa Melayu. Tampaknya, makna atau takrif untuk kata 'menyumbang' bersifat positif: Semasa menjayakan majlis Hari Guru, banyak pelajar yang menyumbang; Diharapkan kalian dapat menyumbang kepada PIBG dengan membeli tiket-tiket konsert amal yang kami anjurkan. Malangnya, sesetengah pihak menggunakan kata ini untuk menyatakan maksud negatif: Kemalasan Muthu menyumbang kepada kegagalannya dalam peperiksaan SPM; Adakah terlintas dalam minda kita tentang faktor-faktor yang menyumbang ke arah gejala pemanasan global yang semakin meruncing ini? Persoalannya, bolehkah kata 'menyumbang' digunakan untuk menyatakan makna negatif dalam bahasa Melayu? Mengapa? Sekian. Salam hormat Kay Seven | Untuk makluman, makna “menyumbang” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah: 1. memberikan sesuatu kpd orang yg mengadakan keramaian (sbg bantuan, sokongan); 2. turut membantu atau menyokong (dgn tenaga, wang, dll). Kedua-dua makna tersebut tidak mengkhususkan kepada maksud positif sahaja. Oleh itu, perkataan “menyumbang” boleh juga digunakan dalam maksud negatif. | Makna | 22.12.2016 |
faktor menyumbang kepada kesalahan tatabahasa? | faktor yang menyumbang kepada kesalahan tatabahasa ialah kelemahan menguasai hukum tatabahasa dan kurangnya pengetahuan atau maklumat tentang bahan rujukan standard seperti Kamus, Buku Tatabahasa, tesaurus dsb. | Lain-lain | 31.07.2007 |
Salam sejahtera, saya difahamkan bahawa “yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” merupakan predikat ayat. Pertama, bolehkah kata relatif “yang” dapat membentuk predikat ayat? Kedua, antara ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu ialah ayat relatif. Ayat relatif ialah ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan ‘yang’. Persoalannya, adakah “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja.” itu ayat majmuk pancangan relatif? Penjelasan pihak tuan dapat meleraikan kemusykilan yang didepani penguna-penguna bahasa. Sekian, terima kasih. | 1. Kata relatif “yang” boleh menjadi sebahagian daripada predikat, akan tetapi tidak boleh menjadi penanda predikat. 2. Ayat “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja.” merupakan ayat majmuk pancangan relatif. Nota: Kami mohon maaf atas kekeliruan jawapan sebelum ini. | Tatabahasa | 23.11.2018 |
Salam sejahtera. Many factors may contribute to the failure to establish relationships between units of knowledge. Terjemahan: Banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan mewujudkan hubungan di antara cebisan pengetahuan. Mohon beri pendapat terjemahan yang dikemukakan. Sekian, terima kasih. | Terjemahan yang dicadangkan ialah Banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan mewujudkan hubungan antara unit pengetahuan. | Penyemakan dan penterjemahan | 22.09.2016 |
Salam sejahtera. “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja.” Ayat di atas merupakan ayat tesis atau ayat arahan yang lazim ditemukan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Dari aspek sintaksis, adakah ayat ini betul? Andai kata betul, yang mana subjek dan yang mana predikat? Sekian, terima kasih. | Ayat yang diberikan tidak mempunyai sebarang kesalahan. Subjek bagi ayat tersebut ialah "Terdapat beberapa faktor", manakala predikatnya pula iala "yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam karangan remaja. | Tatabahasa | 20.11.2018 |
Assalamualaikum. Pertanyaan saya. 1.Bagaimana ingin menyumbang karya atau penulisan kearah mana perlu dituju. 2. bagaimana Panduan penulisan yang baik 3. adakah dengan berkarya boleh menambahkan pendapatan saya. bagaimana? 4. saya bukanlah seorang mahir untuk berkarya cuma ada idea-idea kecil untuk sumbangan kearah kebaikkan. | Terima kasih atas pertanyaan Sdr. Sdr boleh menghantar karya Sdr kepada: Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 KUALA LUMPUR. Sila sertakan maklumat tentang diri Sdr untuk memudahkan pihak kami menghubungi Sdr semula. Sdr boleh merujuk buku-buku yang diterbitkan untuk mendapatkan maklumat panduan penulisan yang baik. Perkara ini bergantung pada bidang penulisan, peringkat pembaca, jenis penulisan dan sebagainya. Bergantung pada bahan tulisan Sdr. dari segi mutu penulisan, sasaran pembaca, persembahan dan pendekatan, dan pelbagai faktor lagi. Mudah-mudahan Sdr berjaya.
| Lain-lain | 19.04.2011 |
Saya berminat untuk menulis. Bagaimanakah saya boleh menyumbang karya dan adakah saya dibayar? | Bayaran untuk karya yang diterbitkan: i. Terbit di majalah a) Dewasa/umum = RM 300.00/siaran b) Remaja = RM 200.00/siaran c) Kanak-kanak = RM 100.00/siaran ii. Jurnal = RM 300.00/siaran iii. Tabloid = RM 100.00/siaran Karya sdr. boleh di hantar kepada Editor Dewan Sastera atau Editor Dewan Siswa atau Editor Dewan Pelajar (mengikut kategori cerpen), Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. Selamat berjaya! Salam. | Lain-lain | 27.02.2009 |
Assalamia;aikom, Saya adalah seorang penulis yang pernah menyumbang karya da;am penerbitan DEWAN BAHASA & PUSTAKA. Sebagai penulis saya menggunakan nama pena KASAJIZA A.S. Pada tahun 1970-80an ada antara karya saya diterbitkan oleh DBP melalui antologi puisi SAJAK SAJAK HADIAH SASTERA 71-73, majalah DEWAN SASTERA dan DEWAN MASYARAKAT. Saya sekarang dalam usaha menerbitkan antologi puisi perseorangan yang bakal diterbitkan oleh ITBM. Dengan ini saya ingin mengetahui ke bahagian manakah perlu saya menulis untuk memohon keizinan 'PELEPASAN HAKCIPTA' sajak sajak saya yang pernah diterbitkan oleh DBP itu untuk tujuan penerbitan antologi puisi saya tersebut. Sekian, Assalamualaikum w.r.t | Assalamualaikum, tuan. Terima kasih kerana bertanyakan hal ini. Untuk makluman tuan, alamatkan saja surat tuan itu kepada Ketua Bahagian, Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Aras 10 Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 KUALA LUMPUR. | Lain-lain | 19.08.2013 |
definisi kondusif dan kontruktif? | Kondusif bermakna sesuai, menyumbang atau menggalakkan. Konstruktif ialah membina. | Makna | 25.03.2007 |
penggunaan perkataan bagi 'masing-masing@respectively' Edisi Bahasa Melayu : Komponen utama menyumbang kepada penurunan ialah Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, Import Benar Semi Konduktordan Bilangan Unit Kediaman Diluluskan yang masing-masing mencatatkan negatif0.2%. Edisi Bahasa Inggeris : The main components that contributed to the decrease were Bursa Malaysia industrial Index, Real Imports Of Semi Conductors and Number of Housing Permits Approved which registered negative 0.2% respectively. Perkataan ini samada sesuai digunakan bagi tiga komponen yang mempunyai nilai yang sama seperti ayat diatas atau hanya sesuai digunakan bagi dua komponen sahaja. | Perkataan 'masing-masing'boleh digunakan dalam konteks tersebut dan tidak dihadpukan untuk dua komponen sahaja. | Tatabahasa | 20.06.2011 |