| Mana satukah ayat yang betul? (1) Ali tidak dibenarkan menzahirkan maklumat. (2) Ali tidak dibenar menzahirkan maklumat. (3) Ali tidak dibenarkan menzahir maklumat. Mohon penjelasan penggunaan imbuhan yang betul. | Menzahirkan bermaksud menyatakan, menerangkan dan menjelaskan, dan ketiga-tiga perkataan ini yang sering digunakan dalam ungkapan kami. Pembentukan kata yang betul ialah membenarkan, bentuk pasifnya ialah dibenarkan. Pembentukan kata yang betul juga ialah menzahirkan, menjelaskan dan menerangkan. Ayat yang gramatis, seperti Ali tidak dibenarkan untuk menjelaskan maklumat itu.
| Tatabahasa | 16.06.2016 |
| Saya ingin bertanyakan mengenai terjemahan seperti di bawah ke dalam bahasa Malaysia, bagi perkataan Bahasa Inggeris : Living Our Values. Bahasa Malaysia: Pilihan 1 - Menzahirkan Nilai Murni Pilihan 2- Zahirkan Nilai Murni Mohon juga nasihat serta kelulusan pihak DBP sekiranya terjemahan pada pilihan 1 atau 2 boleh digunakan atau tidak. | Kedua-dua frasa yang tuan kemukakan betul, namun sekiranya frasa ini merupakan visi, kami mencadangkan “Menzahirkan Nilai Murni”. | Penyemakan dan penterjemahan | 13.01.2015 |
| Apakah bahasa istana bagi perbendaharaan kata 'bercadang'? Terima kasih. | Tidak ada maklumat tentang perkara berkenaan, bagaimanapun dalam menzahirkan sesuatu lazimnya digunakan perkataan berhasrat yang kelihatan lebih santun. | Tatabahasa | 01.06.2016 |
| Harga bagi Pfizer adalah termasuk penghantarannya ke pelbagai kawasan untuk vaksinisasi. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 akan membincangkan sama ada pekerja asing dan ekspatriat diberikan pemvaksinan percuma untuk mengekang penularan COVID-19 dengan berkesan. Sidang media mengenai perkembangan perolehan Vaksin COVID-19 di bangunan Parlimen Nak tanya perkataan 'mengenai'' adakah salah atau betul?Bolehkah menggunakan'mengenai tentang' atau mengenai sahaja? Kita menzahirkan rasa simpati magsa banjir di beberapa negeri Dia mendengar taklimat banjir disampaikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi Beliau turut menghulur sumbangan bakul makanan kepada mangsa di dewan kolej berkenaan selain bertanya khabar dan meminta mereka bersabar terhadap musibah yang melanda. Adakah beberapa kesalahan tatabahasa atau kesalahan istilah yang salah?Jika ada kesalahan tatabahasa,sila Tuan beri penjelasan.Terima kasih. | Perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Contohnya: Tembakan pemburu itu mengenai sasarannya. Walau bagaimanapun, penggunaan "mengenai" yang disamakan dengan tentang serupa dengan penggunaan bentuk kata kerja lain seperti melalui, mengikuti dan menerusi, iaitu berfungsi sebagai kata sendi nama walaupun kata-kata ini sebenarnya tergolong dalam kata kerja. Penggunaan mengenai memadai digunakan dalam ayat. Penggunaan tatabahasa yang betul adalah seperti yang berikut: Kita menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri. Dia mendengar taklimat banjir yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi. Beliau turut menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada mangsa di dewan kolej berkenaan selain bertanya khabar dan meminta mereka agar bersabar dengan musibah yang melanda. | Tatabahasa | 07.01.2021 |
| Saya, Muhammad Zulkhairie bin Kamisan mewakili persatuan Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM merupakan pengarah projek Pesta Pantun Anjung Selatan yang sedang dirancang oleh pihak kami. Persoalannya, bolehkan kami melaksanakan program ini dengan bimbingan pihak DBP atau melaksanakan program ini dengan kolaborasi bersama pihak DBP? Mohon maklumat lanjut dari pihak DBP untuk persoalan saya. | Terlebih dahulu kami mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak IKMAR menzahirkan perancangan berkolaboratif dengan DBP apatah lagi program yang relevan dengan ilmu persuratan Melayu. Tahniah atas penganjuran program tersebut. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan pihak tuan berhubung dengan DBP Wilayah Utara melalui talian 04-5377 241 jika program tersebut dilaksanakan di USM atau di mana-mana sempadan geografi Wilayah Utara. Jika Pesta Pantun Anjung Selatan dilaksanakan di sempadan geografi Wilayah Selatan (di Johor atau Melaka), Pihak tuan bolehlah menghubungi Unit Sastera, DBP Wilayah Selatan melalui talian 07-2341813. | Lain-lain | 21.04.2022 |
| Assalamualaikum WBT, Bagaimanakah untuk mengeja ungkapan seperti "yeah" yang seerti dengan "yahoo" (dalam bahasa Inggeris) dalam bahasa Melayu? Adakah yei sebagaimana "hey" dalam bahasa Inggeris menjadi hei dalam bahasa Melayu? "Yeah" di sini ialah ungkapan apabila teruja memperoleh sesuatu dan seumpamanya, dan digunakan dalam dialog atau buku kartun kanak-kanak. Sekian, terima kasih. | Contoh ungkapan yang dinyatakan ialah kata seruan yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Ungkapan yeah ialah bahasa percakapan bagi perkataan ya, manakala ungkapan lain seperti yahoo dan yei ialah kata seru bagi menggambarkan perasaan gembira. Dalam bahasa Melayu ungkapan bagi menzahirkan perasaan gembira kata seru hore digunakan. | Istilah | 01.06.2012 |
| Salam, 1. Kenapa terjemahan dan padanan kata dlm kebanyakan kamus bahasa Inggeris-Melayu dan Google Translate dilihat tidak secekap dlm Kamus Online DBP - PRPM yg ada dlm terbitan DBP? Seolah-olah bahasa atau kosa kata dlm kamus Online DBP dilihat hanya hebat dan gah dlm kamus online itu semata-mata, bukan dlm semua terbitan kamus Inggeris-Melayu, bukan pula dlm Google Translate, malah bukan juga melalui penggunaannya dlm pertuturan sehari-hari. 2. Apakah peranan DBP dlm menyediakan maklumat, kemudahan, cadangan dan pembinaan bahasa Melayu dlm kemudahan "Google Translate"? dan kenapa terjemahannya juga banyak kekurangan dan kelihatan tiada kecekapan dan kekreatifan dlm istilah-istilah yg sedia ada dlm Melayu? tidak seperti bahasa Indonesia atau Melayu Riau yg kaya dgn kosa kata dan istilah. 3. Kenapa padanan kata "hello" dan "hi" dlm bahasa Inggeris hanya dipadankan dgn kata "helo" dan "hai"? sedangkan dlm masyarakat kita byk lagi kata yg dpt digunakan utk memadankan perkataan-perkataan itu spt "salam"; "selamat sejahtera"; "salam sejahtera"; "apa khabar"; "sejahtera" (singkatan drpd selamat sejahtera atau salam sejahtera); "jahtera" (singkatan drpd sejahtera, salam sejahtera atau selamat sejahtera); tabik (dlm masyarakat Nusantara); amboi (dlm peluasan makna kata selain makna lazim spt kata utk menzahirkan rasa kagum, hairan, kasihan atau utk mengusik, dsb.). Sekian, terima kasih! | 1. Terjemahan dan padanan kata dalam kamus bahasa Inggeris-Melayu (bukan terbitan DBP) dan Google Translate adalah terjemahan langsung berbeza dengan kamus dalam talian dalam PRPM yang kebanyakan kata dan istilahnya digubal bersama-sama pakar bahasa dan pakar bidang. Pemilihan padanan tersebut berbeza kerana penggunaan masyarakat dan pengguna bahasa mempunyai tingkat pengetahuan, sikap terhadap bahasa dan sumber rujukan bahasa yang berbeza. 2. DBP tidak mempunyai jalinan perkongsian data dengan Google Translate. Masih kurang penyumbang data dalam bahasa Melayu kepada Google Translate. Korpus penggunaan bahasa Melayu juga tidak seprolifik dan sekreatif penyumbang korpus bahasa Indonesia dan bahasa-bahasa lain di dunia. Keluarga Malaysia, khususnya orang Melayu perlu lebih banyak menulis dan menggunakan kata dan istilah dalam bahasa Melayu yang telah digubal. 3. Padanan kata hello dan hi dalam bahasa Inggeris hanya dipadankan dengan kata "helo" dan "hai" merupakan terjemahan langsung. Padanan ini boleh digantikan dengan perkataan lain seperti salam, selamat sejahtera, apa khabar dan sebagainya, mengikut kesesuaian konteks dan wacana yang ingin disampaikan kepada pembaca sasaran. Hal ini bergantung kepada kebijaksanaan dan kepekaan penterjemah untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada pembaca karya terjemahannya. Ada kalanya teks yang diterjemah tidak sesuai dengan kata padanan yang lazim digunakan dalam budaya masyarakat sasaran, maka terjemahan langsung lebih disarankan penggunaannya.
| Lain-lain | 02.08.2022 |