melintasi jalan raya yang merentas negeri. - betul. membina lebuh raya yang merentas negeri. - salahkah? Ini jugalah soalan PMR yang mengelirukan saya. Terima kasih diucapkan terlebih dahulu atas tunjuk ajar tuan/puan. | Kedua-dua ayat tersebut betul seperti yang saya cadangkan tadi, elok rasanya saudara berhubung terus dengan pihak yang menyediakan soalan tersebut. | Tatabahasa | 14.09.2011 |
apakah yang dimaksudkan dengan bahasa melayu merentas kokurikulum | Bahasa Melayu merentas kurikulum biasanya membawa maksud penggunaan bahasa Melayu yang betul dari segi tatabahasa bukan hanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, malahan dalam semua mata pelajaran lain. Tujuannya supaya bahasa Melayu digunakan secara betul dalam pengajaran dan pembelajaran. Begitu juga dalam kokurikulum, penggunaan bahasa Melayu mempunyai tujuan yang sama. Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Kurikulum dan bahagian pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran. | Makna | 19.10.2006 |
Banyak orang menyertai larian merentas desa. Dalam ayat itu "Banyak orang" adakah ayat yang betul ? Saya telah bertanya dengan ramai rakan saya yang berbangsa Melayu dan mereka beritahu saya hanya "Ramai orang" digunakan dalam bilangan orang dan tidak dibenar menggunakan "Banyak". Saya keliru dengan ayat tersebut di atas dalam buku latihan anak saya.. | Banyak orang menyertai larian merentas desa. Banyak boleh digunakan untuk manusia dan bukan manusia, manakala ramai hanya digunakan untuk manusia sahaja. | Tatabahasa | 11.07.2007 |
Banyak orang menyertai acara larian merentas desa. Pertanyaan saya adalah, adakah perkataan banyak boleh digunakan dalam ayat ini. Apakah perbezaan antara banyak dengan ramai? Terima kasih. | Banyak boleh digunakan untuk manusia dan bukan manusia dan banyak juga merujuk kepada bilangan, manakala ramai hanya untuk manusia sahaja dan ramai juga merujuk kepada suasana. | Tatabahasa | 11.07.2007 |
Tepatkah jika "jungle tracking" diterjermahkan kepada "meredah hutan" dalam bahasa Melayu? | Cadangan istilah kami ialah "merentas hutan". | Istilah | 08.03.2007 |
assalamualaikum.. 1. Tolong berikan pen ini kepada Alif. 2.Dia sering teringatkan adiknya di kampung. 3. Larian merentas desa itu akan saya sertai. Adakah ayat di atas betul, jika sebaliknya harap dapat penjelasan. Kata ganti nama bagi ibu, dia atau beliau. Terima kasih. | Ketiga-tiga ayat contoh yang diberikan adalah betul. | Tatabahasa | 23.07.2012 |
Rasanya sudah lama saya tidak mengunjungi laman ini. Salam Ramadan tuan. Pertanyaan saya - jika pusat beli-belah (bukan pusat membeli-belah), bagaimana pula dengan 'aktiviti merentas desa', 'gas memasak', 'aktiviti berlari setempat', aktiviti 'menulis karangan', (sekadar beberapa contoh). Tidakkah apa yang saya catatkan itu membawa maksud sama dengan 'pusat membeli-belah'? Mohon penjelasan tuan. Sekian, terima kasih. | Lazimnya dalam penamaan kita menggunakan bentuk kata nama seperti Pusat Beli-belah. Berdasarkan contoh yang tuan berikan frasa yang betul ialah aktiviti rentas desa dan aktiviti lari setempat. Walau bagaimanapun terdapat beberapa frasa penamaan yang tidak mengikut rumus tersebut kerana telah mantap penggunaannya dalam masyarakat seperti termasuklah pertandingan melukis dan pertandingan mengarang esei. Hal ini dianggap sebagai kekecualian dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 03.08.2012 |
(1) Salam tuan...sering kali kita mendengar orang menggunakan perkataan 'potluck' untuk makan beramai-ramai.Apa istilah bahasa Melayu yang paling tepat untuk menggantikan perkataan ini? Begitu juga perkataan 'check point' untuk acara merentas desa. (2) Kebiasaan saya dapati orang menulis b. untuk bin dan bt. untuk binti.Adakah cara penulisan tersebut betul?Harap dapat membantu.T.kasih tuan. | 1. Istilah bahasa Melayu untuk "potluck" ialah juadah bawaan. 2. Istilah untuk "check point" ialah tempat pemeriksaan. 3. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, ejaan singkatan untuk bin dan binti ialah b. dan bt. | Istilah | 28.04.2012 |
apakah beza melintas dengan melintasi? | perbezaannya dapat dilihat melalui definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Empat seperti berikut; melintas = 1. lalu (dgn cepat): seorang Pak Haji ~ di hadapan peminta sedekah itu; 2. merentas (mengikut jalan yg terdekat), memintas: kita harus berjalan melingkari padang ini kerana tidak dibenarkan ~; 3. memotong jalan, menyeberangi jalan: tidak dibenarkan ~ jalan di sini; 4. teringat (ternampak, terkenang, dll) sekejap: benda pertama yg ~ di kepala Jusoh ialah Semaun; melintasi = 1. lalu di, melalui, mengharungi: pelayaran ~ Atlantik; 2. pergi ke seberang, menyeberangi: habis sahaja makan, Ismail ~ jalan ini menuju lori balak; 3. menghindarkan (kesulitan dll), mengatasi; | Tatabahasa | 20.10.2012 |
salam saya mempunyai masalah mengenai mencari tema untuk majlis makan malam konvokesyen 2011. terdapat beberapa tema yang di uatrakan.. namun tidak mendapat sambutan. bolehkan oihka tuan dapat memberi sedikit idea istilah-istilah sastera yang ada kena mengena tentang graduan agar kami dapat membina ayat untuk majlis makan malam kami.... mohon perhatian pihak tuan/puan | Perkataan yang dicadangkan boleh dikaitkan dengan ilmu dan masa hadapan iaitu: 1. Mengungkai (mencari-cari untuk diselidiki) 2. Merentas 3. Meranduk (menempuh), misalnya Meranduk ranjau, meranduk arus 4. Mengorak 5. Gapura, Lawang (Pintu Gerbang) 6. Menyemai 7. Citra (imej) | Istilah | 22.04.2011 |