1. ejaan jawaban atau jawapan yang betul? 2. banyak orang atau ramai orang yang betul? 3. Untuk mengurangkan masalah disiplin, guru mesti merotan pelajar yang melakukan kesalahan. Soalan saya: Bolehkah memulakan ayat dengan "untuk"? Terima kasih. 4. Kita tidak patut memakai pakaian yang menjolok/mencolok mata. menjolok atau mencolok yang betul? Terima kasih. | 1. Ejaan jawaban dan jawapan kedua-duanya betul, dalam proses pengimbuhan kata dasar jawab + -an menghasilkan kata terbitan jawaban, tetapi kita biasa menyebutnya sebagai jawapan. 2. Banyak orang dan ramai orang, kedua-duanya betul. Lazimnya 'ramai orang' merujuk suasana orang yang ramai di sesuatu tempat manakala 'banyak orang' merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. 3. Kata "untuk" boleh digunakan pada permulaan ayat dalam konteks ayat songsang, iaitu apabila susunan frasa predikat mendahului frasa subjek. 4. Menjolok mata antara maksudnya ialah memberi malu atau menyakiti hati (kerana perbuatan yang tidak sopan, cara berpakaian dan sebagainya); manakala mencolok mata merupakan kata kiasan yang bermaksud menimbulkan rasa meluat dan sebagainya kepada sesiapa yang melihat kerana berlebih-lebihan (tentang pakaian, kelakuan dan lain-lain). Berdasarkan makna yang tersebut, menjolok mata dan mencolok mata, kedua-duanya betul tetapi lazimnya kita menerima pakai kata kiasan (mencolok mata) untuk menggambarkan perbuatan yang boleh menimbulkan rasa meluat kepada yang melihatnya. | Tatabahasa | 29.04.2011 |