Tuan, bagaimanakah pula dengan maksud ayat di bawah ini dengan penggunaan "merujuk"? 1. Kata sendi nama "kepada" menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, dan unsur mujarad. Adakah "sasaran" (pelaku) mempunyai mata untuk melihat dan membaca "manusia, haiwan, dan unsur mujarad" (objek) untuk mendapat keterangan lanjut? | Pada pandangan kami, manusia, haiwan dan unsur mujarad itulah yang dimaksudkan sasaran, iaitu hasil yang diperoleh daripada sesuatu usaha, bukan sasaran menjadi pelaku yang melihat manusia, haiwan dan unsur mujarad. | Tatabahasa | 13.12.2014 |
Mohon pengesahan. Ayat : Maklumat terperinci seperti di Rajah 1-1. 1) Penggunaan yang betul bagi ayat diatas : "Maklumat" atau "Penerangan" atau "Keterangan". 2) Penggunaan bagi merujuk rajah "di Rajah 1-1" atau "pada Rajah 1-1" atau "dalam Rajah 1-1" | 1) Merujuk Kamus Dewan maklumat sama maknanya dengan pemberitahuan, pengumuman dan keterangan, manakala penerangan bermaksud menerangkan atau menjelaskan sesuatu. Oleh itu, penggunaan perkataan tersebut berdasarkan makna yang hendak disampaikan. 2) Penggunaan yang betul ialah "pada Rajah 1-1" dan "dalam Rajah 1-1". | Tatabahasa | 21.08.2011 |
Apakah ejaan yang tepat bagi "pernyataan masalah" adakah "pernyataan " atau "penyataan" Mohon pencerahan dari pihak tuan. Terima kasih Ismail Sulaiman 0139359026 | Menurut data kami, perkataan pernyataan merujuk 1. kata-kata dan sebagainya yang menyatakan (mengumumkan) sesuatu, pemberitahuan, pemakluman; 2. kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dan sebagainya tentang sesuatu perkara, biasanya disiarkan melalui media. Manakala penyataan merujuk perbuatan melahirkan pendapat dan sebagainya. Pada pandangan kami, istilah yang lebih tepat merujuk pada soalan tersebut ialah pernyataan. | Makna | 29.11.2016 |
Yang mana betul: 1 "merujuk kepada" atau "merujuk pada" atau "merujuk"? 2 "...adalah termasuk" atau "...ialah termasuk"? 3 "...menjurus kepada" atau "...menjurus pada"? | Merujuk data kami, frasa yang betul ialah "merujuk". Untuk makluman, ialah dan adalah merupakan kata pemeri. kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 263. Pihak kami tidak dapat memberikan penerangan yang terperinci bagi soalah yang ketiga kerana kedua-dua perkataan "kepada" dan "pada" boleh digunakan dalam ayat dan bergantung kepada konteks. Oleh itu, sila berikan keseluruhan ayat untuk penerangan. | Lain-lain | 28.06.2016 |
Tuan, frasa yang menakah betul? Frasa: 1. (a) Merujuk perkara di atas 1. (b) Merujuk kepada perkara di atas. Antara ayat 2. (a) dan 2. (b), yang manakah betul? Ayat: 2. (a) Kata nama am merujuk kepada benda, orang atau konsep yg umum. 2. (b) Kata nama am merujuk benda, orang atau konsep yang umum. Persamaan yang terdapat dalam kedua-dua soalan, iaitu yang terdapat dalam frasa dan ayat yang diberikan ialah adakah kata "merujuk" perlu diikut oleh kata sendi nama "kepada" dan diikuti lagi oleh objek frasa nama seperti "perkara di atas", atau diikut terus oleh objek? Saya berpendapat, dalam frasa "merujuk kepada perkara di atas", kata sendi nama "kepada" ialah unsur sisipan yang berada di antara kata kerja transitif "merujuk" dengan objek frasa nama "perkara di atas". Unsur sisipan tidak dibenarkan terletak di antara kata kerja transitif dengan objek frasa nama, jadi patut digugurkan. Apakah pendapat tuan tentang hal ini? Apakah pandangan pula kumpulan penulis Tatabahasa Dewan tentang perkara ini? | Menurut buku Tatabahasa Dewan, selepas perkataan merujuk tidak perlu diikuti dengan kata sendi seperti "kepada" atau sebagainya. | Tatabahasa | 13.01.2015 |
1.Merujuk kepada surat tuan? 2.merujuk surat tuan? Frasa mana yang betul? Kalau dilihat dari KKT,1 betul kalau lihat dari KKTT, 2 betul.komentar munsyi 3.Ali menguruskan atau mengurus hal penting itu? | Frasa yang betul ialah merujuk surat tuan. Ali menguruskan hal penting itu. | Tatabahasa | 26.07.2010 |
Assalamualaikum. Ayat mana yang tepat dan benar : 1) Merujuk pada email terdahulu, saya dan.............. 2) Merujuk kepada email terdahulu, saya dan............ | Ayat yang betul ialah 'Merujuk kepada e-mel terdahulu, saya dan...' | Tatabahasa | 25.01.2011 |
1. Merujuk kepada penerangan tuan yang berikut: - Frasa "di kalangan" dan "dalam Kalangan" kedua-duanya betul, namun penggunaan yang paling gramatis ialah "dalam Kalangan". Hal ini berlaku demikian kerana kata sendi nama 'di' digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk tempat. Sementara kata sendi nama 'dalam' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian 'lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak'. Mengapakah kamus dewan edisi yang terbaru, iaitu edisi ke-4 masih tidak menggunakan "dalam kalangan"? Bilakah "dalam kalangan" bertukar menjadi "dalam kalangan"? Daripada pihak manakah yang dapat dirujuk apabila perubahan tatabahasa ini disahkan? Adakah calon SPM atau PMR patut menggunakan "dalam kalangan" dalam pemilihan tatabahasa yang tepat semasa menjawab soalan peperiksaan SPM dan PMR seperti ini? 2. Merujuk kepada jawapan yg diberikan tuan spt berikut:- (a) Sebilangan kecil peserta.... (b) Sebilangan kecil daripada peserta.... (c) Segelintir pelajar... (d) Segelintir daripada pelajar - keempat-empat frasa tersebut betul Adakah Kedua-dua ayat ini juga betul? (a) Sebahagian daripada hartanya didermakan. (b) Sebahagian hartanya didermakan. 3. (a) Para pelancong terpesona oleh keindahan alam. (b) Para pelancong terpesona dengan keindahan alam. (c) Para pelancong tertarik oleh keindahan alam. (d) Para pelancong tertarik dengan keindahan alam. | 1. Hal ini berlaku demikian kerana contoh ayat dalam Kamus Dewan bersumberkan korpus. Oleh itu, kami cadangkan untuk melihat makna kata eloklah merujuk kamus dan juga tahu membaca kamus termasuklah simbol-simbol yang digunakan. Untuk membina kata, frasa dan ayat eloklah merujuk buku Tatabahasa Dewan. Dalam buku Tatabahasa Dewan dijelaskan penggunaan kata sendi nama seperti di dan dalam serta eloklah kita membiasakan penggunaan yang betul. Perlu diingat kami menerima kedua-dua frasa di kalangan atau dalam kalangan, namun seperti yang dijelaskan frasa yang paling tepat mengikut hukum tatabahasa ialah dalam kalangan. Untuk tujuan peperiksaan, eloklah berhubung terus dengan Majlis Peperiksaan Malaysia melalui guru sekolah saudara. 2. Ayat-ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 10.08.2011 |
Cikgu, seorang guru pakar bahasa Melayu saya berkata bahawa "merujuk" perlu diikuti dengan kata sendi nama "kepada" kerana "merujuk" ialah kata kerja tak transitif. Jika belakang kata kerja tak transitif dihadiri dengan pelengkap, perlu ada kata sendi nama antara kata kerja tak transitif dengan pelengkap. Contoh penggunaan "merujuk" ialah: 1. merujuk kepada surat tuan 2. merujuk kepada buku Tatabahasa Dewan 3. merujuk kepada ajaran guru Tuan tolong berikan penjelasan tentang keadaan atau situasi ini. Adakah penerangan saya betul atau tidak? | Isu yang sebenarnya ialah sama ada "merujuk perkara" atau "merujuk kepada perkara", dan frasa "merujuk pada" sememangnya tidak gramatis. Mengikut rumus tatabahasa frasa "Merujuk perkara " sebagai gramatis kerana merujuk ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti objek daripada frasa nama, iaitu perkara. Walau bagaimanapun frasa "merujuk kepada perkara" telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat dan diterima. | Tatabahasa | 23.05.2014 |
Soalan 1 Merujuk kepada jawapan yang diberikan pada 24/12, bukankah dalam Kamus Dewan Edisi keempat, jarang=jarang-jarang, justeru, mengapakah ayat:Pelajar itu terpilih sebagai pelajar cemerlang kerana dia jarang ponteng sekolah, salah? Soalan 2 Merujuk kepada jawapan yang diberikan pada 24/12, imbuhan ter- dan sekali merupakan dua darjah penghabisan, justeru, mengapakah "terkenal sekali" adalah betul?Berikan penjelasan selanjutnya Soalan 3 Apakah perbezaan antara menasihati dan menasihatkan? Kemukakan beberapa contoh ayat yang menunjukkan penggunaannya. Soalan 4 Yang mana betul? a)Kita sepatutnya mendengar arahan guru kita b)Sepatutnya kita dengar arahan guru kita c)Kita sepatutnya mendengar arahan daripada guru kita d)Sepatutnya kita dengar arahan daripada guru kita Soalan 5 Yang mana betul?Berikan penjelasan a)Ikatan kain itu hampir terlucut daripada pinggangnya b)Ikatan kain itu hampir terlucut dari pinggangnya Soalan 6 Yang mana betul? Berikan penjelasan a)Memahami dengan lebih mendalam lagi tentang kebaikan melabur dalam saham amanah b)Memahami kebaikan melabur dalam saham amanah dengan lebih mendalam lagi Soalan 7 Apakah perbezaan antara pembelajaran dan pemelajaran?Berikan beberapa contoh ayat yang menunjukkan penggunaan kedua-dua istilah tersebut.Selain itu, ayat manakah yang betul? a)Sekolah seharusnya menyediakan suasana pembelajaran yang baik b)Sekolah seharusnya menyediakan suasana pemelajaran yang baik | 1. Pelajar itu terpilih sebagai pelajar cemerlang kerana dia jarang ponteng sekolah. - ayat ini betul 2. Yang betul ialah terkenal - kami mohon maaf atas kekeliruanyangtimbul. 3. Tidak ada perbezaan yang jelas antara menasihati dan menasihatkan, kedua-duanya bermaksud memberi nasihat atau tunjuk ajar. 4. Kita sepatutnya mendengar arahan daripada guru kita. ayat yang betul 5. Ikatan kain itu hampir terlucut daripada pinggangnya. - ayat yang betul 6. kedua-dua ayat ini betul. 7. Pembelajaran bermaksud proses belajar, untuk memperoleh ilmu pengetahuan (sesuatu kepandaian dll), manakala Pemelajaran bermaksud proses belajar untuk mengetahui sesuatu dengan mendalam. Berdasarkan makna tersebut pemelajaran memerlukan usaha yang lebih yang biasanya merujuk mereka yang terlibat dalam kerja penyelidikan. Oleh itu ayat yang tepat ialah - Sekolah seharusnya menyediakan suasana pembelajaran yang baik. | Tatabahasa | 24.12.2008 |